Apa Yang Boleh Dituntut Ibu Bapa Untuk Perbelanjaan Perubatan Di Bawah Pelepasan Cukai

KONGSI

Jika anda sedang membesarkan anak-anak atau menjaga ibu bapa yang sudah tua, besar kemungkinan anda sudah membelanjakan sebahagian duit untuk penjagaan kesihatan tahun ini. Namun apabila tiba musim pemfailan cukai, banyak resit ini telah dilupakan, sekali gus menyebabkan anda terlepas pelepasan cukai yang sepatutnya layak anda terima.

Hal ini kerap berlaku kerana perbelanjaan perubatan terbahagi kepada beberapa kategori pelepasan. Setiap kategori mempunyai had tuntutan tersendiri, dan sesetengahnya mempunyai sub-had yang lebih kecil yang mudah terlepas pandang.

Angka-angka di bawah adalah untuk Tahun Taksiran (YA) 2026, iaitu perbelanjaan layak yang dibuat antara 1 Januari hingga 31 Disember 2026.

Kategori Perubatan Yang Boleh Anda Tuntut

Pelepasan cukai berkaitan perubatan ini terbahagi kepada tiga kategori utama. Ada satu lagi kategori keempat, tetapi ia untuk premium insurans, bukan rawatan.

Kategori PelepasanTuntutan Maksimum (RM)
Perbelanjaan perubatan untuk diri sendiri, pasangan, atau anak10,000
Rawatan dan penjagaan perubatan untuk ibu bapa dan datuk nenek8,000
Peralatan sokongan asas untuk individu kurang upaya6,000
Premium insurans pendidikan dan perubatan4,000

Bagi kebanyakan ibu bapa, kategori RM10,000 inilah yang paling kerap digunakan. Ia merangkumi rawatan penyakit serius, rawatan kesuburan, vaksinasi, pemeriksaan dan rawatan pergigian, serta pemeriksaan perubatan untuk anda, pasangan, dan anak-anak.

Tetapi beberapa perbelanjaan ini ada had lebih kecil tersendiri di dalam kategori RM10,000 ini. Dan di sinilah ramai yang tersilap membuat tuntutan.

Kategori RM8,000 pula untuk rawatan perubatan, penjagaan keperluan khas, dan penjagaan di pusat jagaan (nursing home) untuk ibu bapa atau datuk nenek anda. Mereka tidak perlu jadi pembayar cukai untuk anda buat tuntutan ini. Tapi mereka mesti bermastautin di Malaysia, dan tuntutan itu perlu disahkan oleh pengamal perubatan berdaftar.

Rawatan pergigian untuk ibu bapa lebih terhad berbanding kategori RM10,000 untuk diri sendiri, pasangan, dan anak-anak. Hanya rawatan asas yang layak, cabut gigi, tampalan  dan scaling. Rawatan kosmetik dan ortodontik tidak layak, jadi perbelanjaan seperti crown atau brace tak boleh dituntut di bawah pelepasan ini.

Pelepasan RM6,000 untuk peralatan sokongan merangkumi barangan seperti kerusi roda, alat bantuan pendengaran, mesin dialisis, dan anggota badan tiruan. Individu kurang upaya berkenaan mestilah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jadi pastikan pendaftaran diselesaikan seawal mungkin sebelum musim pemfailan cukai.

Di Mana Sub-Had Boleh Menjejaskan Tuntutan Anda

Di dalam kategori-kategori utama tadi, ada beberapa had yang lebih kecil lagi. Walaupun anda belum habiskan pelepasan keseluruhan, had individu ini tetap terpakai.

Jenis PerbelanjaanTuntutan Maksimum (RM)Kategori Pelepasan
Vaksinasi1,000Pelepasan perubatan RM10,000
Pemeriksaan dan rawatan pergigian, bukan kosmetik1,000Pelepasan perubatan RM10,000
Pemeriksaan perubatan penuh, konsultasi kesihatan mental, ujian COVID-19, dan saringan penyakit1,000Pelepasan perubatan RM10,000
Penilaian, diagnosis, intervensi awal, dan pemulihan untuk anak berusia 18 tahun ke bawah yang mempunyai ketidakupayaan pembelajaran10,000Pelepasan perubatan RM10,000
Pemeriksaan perubatan penuh dan vaksinasi untuk ibu bapa dan datuk nenek1,000Pelepasan ibu bapa RM8,000

Contohnya, kalau isi rumah anda membelanjakan RM1,600 untuk pemeriksaan dan rawatan pergigian bukan kosmetik bagi empat ahli keluarga, anda cuma boleh menuntut RM1,000 sahaja. Baki RM600 tidak boleh dituntut, walaupun jumlah perbelanjaan perubatan anda tahun itu jauh lebih rendah daripada had RM10,000.

Sub-had pemeriksaan RM1,000 ini yang selalunya buat ramai isi rumah terkejut, sebab ia lebih daripada sekadar pemeriksaan tahunan. Konsultasi kesihatan mental dengan pakar psikiatri, ahli psikologi klinikal, atau kaunselor berdaftar pun berkongsi had RM1,000 yang sama, bersama ujian COVID-19, saringan penyakit, dan pemeriksaan perubatan penuh.

Jadi kalau anda membelanjakan RM2,000 untuk konsultasi kesihatan mental yang layak bagi anak anda sepanjang tahun, hanya RM1,000 boleh dituntut di bawah sub-had ini.

Pelepasan bagi masalah pembelajaran merangkumi penilaian, diagnosis, intervensi awal, dan rehabilitasi untuk anak berumur 18 tahun dan ke bawah yang mempunyai keadaan seperti autisme, ADHD, atau sindrom Down. Berbeza dengan sub-had lain, pelepasan ini boleh menggunakan sepenuhnya keseluruhan limit RM10,000 pelepasan perubatan secara bersendirian.

Pelepasan vaksinasi pula merangkumi sebarang vaksin yang berdaftar dengan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA), termasuk vaksin rutin kanak-kanak serta vaksin seperti influenza, pneumokokus, dan HPV. Had RM1,000 ini terpakai untuk keseluruhan isi rumah dan bukannya mengikut bilangan anak. Oleh itu, keluarga yang memvaksin beberapa orang anak akan mencapai had ini dengan lebih cepat.

Berapa Banyak Yang Boleh Anda Jimatkan Daripada Pelepasan Perubatan

Pelepasan cukai berfungsi mengurangkan pendapatan bercukai (chargeable income) dan bukannya mengurangkan jumlah bil cukai akhir anda secara terus. Oleh itu, nilai penjimatan bergantung kepada tangga (bracket) cukai anda.

Contohnya, pelepasan layak sebanyak RM3,900 boleh mengurangkan cukai anda sekitar RM936 kalau anda dikenakan cukai pada kadar 24%, dan sekitar RM312 kalau kadar cukai anda 8%.

Untuk menyemak sama ada anda masih mempunyai baki pelepasan, anda perlu menambah perbelanjaan mengikut kategori, bukan sekadar melihat jumlah perbelanjaan kasar. Katakan keluarga anda membelanjakan RM900 untuk rawatan gigi, vaksinasi, dan pemeriksaan kesihatan, serta RM3,000 lagi untuk program intervensi awal anak. Keseluruhan RM3,900 ini layak dituntut kerana RM900 tersebut masih di bawah sub-had RM1,000, manakala RM3,000 berada di bawah pelepasan masalah pembelajaran.

Simpan juga resit-resit kecil. Resit vaksinasi RM120 mungkin nampak tidak terlalu penting, lebih-lebih lagi kalau ia cuma satu daripada beberapa suntikan rutin anak anda. Tetapi kumpulkan beberapa resit sepanjang tahun, jumlahnya boleh menjadi sebahagian besar daripada had vaksinasi RM1,000.

Premium Insurans Bukan Perbelanjaan Perubatan

Premium yang anda bayar untuk kad perubatan sendiri atau pelan perubatan anak tidak termasuk dalam kategori perbelanjaan perubatan RM10,000. Sebaliknya, ia dituntut di bawah pelepasan insurans pendidikan dan perubatan, dengan had berasingan RM4,000. Insurans hayat pula ada kategori tersendiri, sama seperti caruman KWSP.

Pelepasan insurans RM4,000 ini sebenarnya merangkumi lebih daripada apa yang namanya cadangkan. Ia termasuk kad perubatan, pelan kemasukan hospital, pelan penyakit kritikal untuk anda, pasangan, atau anak-anak, serta caruman takaful dan premium insurans konvensional. Perlindungan perubatan berkumpulan juga layak, kalau anda yang membayarnya.

Sekiranya rider penyakit kritikal digabungkan dengan polisi insurans hayat, premium tersebut boleh dituntut sepenuhnya di bawah pelepasan insurans hayat. Walau bagaimanapun, peraturan 60% terpakai bagi pelan penyakit kritikal yang berasingan atau rider yang dilampirkan pada polisi kemalangan diri.

Cara mudah nak susun resit, tengok sahaja kepada siapa anda bayar. Bil kepada hospital dan klinik masuk dalam perbelanjaan perubatan, manakala bayaran kepada syarikat insurans masuk dalam premium insurans. Pelepasan dikira berdasarkan jumlah yang anda bayar, bukan berapa besar perlindungan polisi anda. Contohnya, pelan perubatan dengan perlindungan RM200,000 tapi premium tahunan RM1,800, hanya beri anda pelepasan cukai RM1,800 sahaja.

Panduan kami tentang cara menuntut pelepasan premium insurans ada menghuraikan kategori pelepasan insurans yang berbeza dengan lebih terperinci.

Apa Lagi Yang Tidak Dikira

Pelepasan cukai perubatan secara amnya untuk perbelanjaan diri sendiri, pasangan, dan anak-anak anda sahaja. Rawatan untuk ibu bapa dan datuk nenek pula dituntut di bawah pelepasan RM8,000 yang berasingan.

Perbelanjaan untuk adik-beradik, sepupu, atau saudara ipar tidak layak dituntut, walaupun anda sendiri yang menanggung kosnya.

Selain itu, perbelanjaan yang sama tidak boleh dituntut dua kali. Sebagai contoh, jika anda telah menuntut kos pemeriksaan perubatan di bawah pelepasan perubatan, anda tidak boleh menuntut jumlah yang sama sekali lagi di bawah kategori pelepasan lain.

LHDN mewajibkan pembayar cukai menyimpan dokumen sokongan selama tujuh tahun dari akhir Tahun Taksiran berkenaan. Jika anda gagal mengemukakannya semasa audit, pelepasan tersebut boleh dibatalkan dan anda boleh dikenakan penalti sehingga 100% daripada jumlah cukai yang terkurang bayar.

Menguruskan Perkara Ini Sebelum Memfailkan Cukai

Daripada menunggu sehingga musim pemfailan cukai, lebih baik susun resit anda mengikut kategori pelepasan yang betul dari sekarang. Jika resit tidak menyatakan secara terperinci rawatan yang diterima, minta pihak klinik atau hospital mengeluarkan resit yang lebih terperinci. Resit yang terperinci amat membantu menyokong tuntutan anda sekiranya diminta oleh LHDN kelak.

Pastikan anda memberikan maklumat peribadi semasa membuat pembayaran sekiranya penyedia perkhidmatan kesihatan anda mengeluarkan e-Invois. Langkah ini lebih mudah berbanding memintanya kemudian, sekali gus memastikan rekod selari dengan butiran pembayaran anda.

Kalau anda telah memenuhi had RM1,000 untuk pemeriksaan dan rawatan pergigian tahun ini, temu janji rutin seterusnya pada bulan Disember tidak lagi layak untuk pelepasan tambahan. Sebaliknya, jika temu janji tersebut dijadualkan pada bulan Januari tahun berikutnya, ia akan dikira dalam Tahun Taksiran baharu dengan had yang telah diperbaharui (reset). Perkara yang sama terpakai untuk vaksinasi dan pemeriksaan perubatan penuh.

Sebelum menempah temu janji yang tidak mendesak pada penghujung tahun, semak dahulu baki pelepasan yang telah anda gunakan. Menangguhkan temu janji beberapa minggu sahaja mungkin membolehkan anda menuntut jumlah penuh berbanding terikat dengan sub-had yang telah capai limitnya.

Untuk perkara lain yang boleh anda tuntut, baca panduan lengkap kami tentang pelepasan cukai dan rumusan kami tentang perubahan terkini.

Mahu lebih banyak perkongsian dan tip kewangan? Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen