RM850,000 Diperuntukkan Bagi Saringan Kanser Percuma Untuk Rakyat Melaka

KONGSI

Kerajaan Negeri Melaka menerusi Melaka Bioteknologi Corporation telah memperuntukkan kos sebanyak RM850,000 untuk melaksanakan saringan kanser secara percuma kepada penduduk di negeri itu yang berusia 40 tahun ke atas menerusi Program MBio Sihat tahun ini. Jumlah ini telah dinaikkan daripada RM700,000 setahun pada tahun 2024 dan 2025.

Menurut laporan Bernama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, peningkatan peruntukan ini bertujuan untuk memastikan lebih ramai rakyat berpeluang menjalani saringan awal. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Oh My Health pada 2 Ogos lalu.

Saringan Guna Ujian Darah, Kesan Kanser Peringkat Awal

Saringan yang ditawarkan hanyalah ujian darah, tetapi ia mampu mengesan penanda kanser pada peringkat awal antaranya bagi kanser hati, kanser kolon, kanser ovari dan kanser prostat. Namun, keputusan saringan ini bukan diagnosis muktamad. Jika keputusan menunjukkan sebarang risiko, anda tetap perlu berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Kuota 8,500 Orang Hampir Habis

Ngwe menjangkakan seramai 8,500 individu akan berpeluang menjalani saringan percuma yang menelan kos sebanyak RM100 bagi setiap individu untuk tahun ini, dan kuota tersebut kini dikatakan sudah hampir habis. “Setakat ini, kita dapat lihat sambutan yang sangat baik, sekali gus menunjukkan tahap kesedaran rakyat bagi mengesan penyakit kanser pada peringkat awal adalah tinggi,” katanya.

Saringan Banyak Dijalankan Menerusi Program WTUR 

Pada tahun ini dan tahun lepas, saringan kanser banyak dijalankan menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WTUR) dan program kesihatan lain. Sebagai contoh, pada edisi Program Oh My Health anjuran swasta tahun lepas, iaitu acara berasingan daripada perasmian terbaharu, seramai 400 peserta turut menjalani saringan berkenaan.

Anda Perlu Hadir Ke Kaunter Dengan Membawa Salinan MyKad 

Kenyataan rasmi setakat ini tidak menyatakan cara untuk memohon. Walau bagaimanapun, semakan kami di laman web Melaka Bioteknologi Corporation mendapati anda perlu hadir ke kaunter pendaftaran dengan membawa satu salinan MyKad. Anda kemudiannya akan menerima plastik sampel berisi tiub darah untuk dibawa ke kaunter pengambilan darah yang telah ditetapkan.

Anda juga tidak perlu berpuasa dan boleh makan serta minum seperti biasa sebelum menjalani saringan. Keputusan saringan akan dimaklumkan kepada anda melalui WhatsApp dalam bentuk laporan ujian darah (PDF) dalam tempoh yang ditetapkan.

Di dalam laman sesawang yang sama, anda boleh rujuk kalendar yang disertakan untuk melihat tarikh serta lokasi program berkenaan dijalankan. Buat masa ini tiada tarikh atau lokasi yang dinyatakan untuk masa hadapan. Anda perlu semak dari semasa ke semasa.

Melaka Kumpul 29,000 Beg Darah Setahun

Selain saringan kanser, Ngwe turut kongsi bahawa sebanyak 29,000 hingga 30,000 beg darah berjaya dikumpul setiap tahun di Melaka bagi memastikan bekalan darah mencukupi untuk keperluan pesakit di negeri itu.

Jumlah ini dikumpul menerusi 300 hingga 400 program derma darah setahun yang dijalankan pelbagai pihak secara bergerak atau di Pusat Pendermaan Darah Hospital Melaka.

“Melaka merupakan negeri kedua terbaik di Malaysia dari aspek bekalan darah kerana kita aktif melaksanakan program derma darah dan secara purata, kita dapat kumpul sebanyak 82 beg darah sehari,” katanya.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen