Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi laporan Anggaran Penduduk Semasa 2026 [PDF] mendedahkan populasi warga emas di Malaysia kini mencecah 4.2 juta orang atau 12.3% daripada jumlah penduduk (data permulaan). Menjelang 2036, angka penduduk berusia 60 tahun ke atas ini dijangka melepasi 15% iaitu ambang yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara tua secara rasmi mengikut Dasar Warga Emas Negara.
Populasi keseluruhan Malaysia pula dianggarkan 34.4 juta orang pada 2026, naik daripada 34.2 juta pada 2025. Daripada jumlah ini, 31 juta (90.2%) ialah warganegara dan 3.4 juta (9.8%) bukan warganegara.
Nisbah Tanggungan Umur Tua Meningkat Kepada 11.9
DOSM turut mengukur golongan berusia 65 tahun ke atas secara berasingan untuk mengira nisbah tanggungan umur tua. Kumpulan ini bertambah kepada 2.9 juta orang, atau 8.4% daripada populasi, berbanding 2.7 juta orang (8.0%) pada 2025. Nisbah tanggungan umur tua, iaitu bilangan penduduk 65 tahun ke atas berbanding setiap 100 penduduk berusia bekerja, meningkat daripada 11.4 pada 2025 kepada 11.9 pada 2026.
Sebaliknya, nisbah tanggungan jumlah (gabungan golongan muda dan tua) pula menunjukkan sedikit penurunan daripada 42.1 pada 2025 kepada 42.0 pada 2026. Bilangan kanak-kanak berusia 0 hingga 14 tahun turut menurun daripada 7.4 juta (21.6%) kepada 7.3 juta (21.2%) dalam tempoh yang sama, yang turut menyeimbangkan jumlah keseluruhan tanggungan yang perlu disara rakyat Malaysia.
Umur Median Naik Kepada 31.7 Tahun
Umur median rakyat Malaysia meningkat daripada 31.3 tahun pada 2025 kepada 31.7 tahun pada 2026. Populasi berusia bekerja, iaitu 15 hingga 64 tahun, kekal stabil pada 70.4% daripada jumlah penduduk, atau 24.2 juta orang.
DOSM turut mencatatkan bahawa pertambahan semula jadi penduduk, iaitu perbezaan antara kelahiran dan kematian, terus menunjukkan trend menurun. Ini disebabkan oleh kadar kesuburan yang rendah serta peningkatan bilangan kematian tahunan.
Kelahiran Menurun, Simpanan Persaraan Jadi Lebih Penting
Tanggungjawab untuk menjaga ibu bapa yang semakin menua sambil membesarkan anak memberi sedikit cabaran buat mereka yang mahu mengutamakan simpanan persaraan. Dengan nisbah tanggungan umur tua yang semakin meningkat, caruman KWSP sahaja mungkin tidak mencukupi untuk persaraan yang selesa.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
