Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mencatatkan kadar penggunaan sebanyak 99% dalam kalangan hampir sembilan juta penerima bulanan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dengan nilai transaksi perbelanjaan di pasaran tempatan mencecah RM3.45 bilion setakat tahun ini.
Memetik laporan Bernama, MOF mendedahkan angka ini menerusi jawapan bertulis pada 16 Julai 2026 bagi membalas soalan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Aminolhuda Hassan tentang petunjuk prestasi utama STR dan SARA.
RM1.77 Bilion Ke Pasaran, Jadi Penanda Aras KPI Kerajaan
Bagi program SARA Untuk Semua pula, MOF melaporkan kira-kira 22 juta rakyat membuat perbelanjaan iaitu 87% daripada keseluruhan jumlah penerima, dengan nilai transaksi di pasaran tempatan melebihi RM1.77 bilion.
Menurut MOF, prestasi perbelanjaan penerima merupakan satu daripada petunjuk utama keberkesanan STR dan SARA dalam mengurangkan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah dan sederhana, yang turut memberi kesan gandaan kepada ekonomi tempatan.
Kredit MyKad Untuk 15 Kategori Barangan
SARA disalurkan sebagai kredit dalam MyKad dan hanya boleh digunakan di premis berdaftar sebagai Rakan Niaga SARA untuk membeli 15 kategori barangan asas, termasuk makanan asas, barangan kebersihan diri, barangan kebersihan rumah dan ubat-ubatan.
MOF berkata pendekatan ini membolehkan kerajaan memantau pelaksanaan program secara berkesan dan memastikan golongan sasar benar-benar memanfaatkan bantuan bagi tujuan yang dinyatakan.
Peruntukan STR Dan SARA Kini Cecah RM15 Bilion
Menurut MOF, peruntukan STR dan SARA meningkat kepada RM15 bilion pada 2026, berbanding RM10 bilion pada 2024. Ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial serta menyediakan bantuan secara lebih bersasar.
Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan kedua-dua program bantuan ini bagi memastikan ia disalurkan kepada golongan yang memerlukan dalam berdepan dengan cabaran kos sara hidup.
Semak Baki SARA Anda Dalam Portal Rasmi
Penerima SARA Bulanan 2026 [PDF] yang berstatus Miskin Tegar atau Miskin eKasih layak menerima RM200 sebulan (kategori isi rumah), RM150 sebulan (warga emas tiada pasangan), atau RM100 sebulan (bujang berusia 21 hingga 59 tahun). Penerima STR selain kategori dua kategori itu pula layak menerima kurang daripada kadar tersebut iaitu RM100, RM50, dan RM50 sebulan mengikut kategori yang sama. Program SARA Untuk Semua pula memberikan setiap rakyat Malaysia RM100 secara sekali sahaja yang dikreditkan dalam MyKad masing-masing.
Baki SARA dalam MyKad boleh disemak melalui portal rasmi SARA, aplikasi SARA yang tersedia di Google Play dan App Store atau resit pembelian yang memaparkan baki semasa dan baki selepas transaksi.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
