Kerajaan mahu lebih ramai penerima SARA dapat menggunakan bantuan mereka tanpa perlu bergantung kepada kedai di kawasan bandar. Kini, lebih banyak kedai kecil di kampung dan kawasan pedalaman boleh menerima transaksi MyKad dan bilangan itu akan terus bertambah.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan perkembangan ini selepas mengunjungi pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Manggatal Baru, Kota Kinabalu semalam (23 Jun).
Lebih 13,500 Rangkaian Kedai SARA Di Malaysia
Lebih 13,500 kedai berdaftar di bawah program SARA di seluruh negara dan lebih 6,500 daripadanya adalah melibatkan pengusaha kedai kecil. Kerajaan menyasarkan untuk menaikkan bilangan kedai kecil itu kepada 10,000 buah kedai.
Di Sabah sahaja, 1,493 kedai sudah menyertai program ini. Bukan hanya di bandar, tetapi perluasan itu turut merangkumi kawasan kampung dan juga pedalaman.
Kelebihan Gunakan MyKad Untuk SARA
Dengan MyKad sebagai mekanisme penebusan, anda boleh terus membeli barangan keperluan di kedai berdekatan rumah tanpa perlu bersusah payah ke bandar. Lebih 150,000 produk kini tersedia untuk ditebus di seluruh rangkaian SARA. Ini termasuk barangan sejuk beku seperti daging dan ayam yang sudah dimasukkan sebelum ini.
Langkah untuk memperluaskan rangkaian SARA ke kawasan kampung dan pedalaman bukan hanya untuk memudahkan penerima bantuan ini. Malah ia juga dapat menjimatkan kos pengangkutan mereka yang selama ini terpaksa ditanggung hanya untuk ke bandar.
Barangan Basah Masih Belum Ada
Buat masa ini, barangan basah belum disenaraikan dalam program SARA. Amir Hamzah menyatakan kerajaan perlu memastikan kualiti barangan terlebih dahulu sebelum boleh meluaskan kategori produk tersebut.
Kerajaan juga sedang mengkaji cara mengurangkan kos pendaftaran untuk kedai kecil. Tidak semua kedai kecil ada sistem pembayaran sendiri, jadi kerajaan sedang mencari jalan untuk menyediakan sistem tempat jualan (POS) kepada mereka supaya lebih banyak kedai boleh sertai rangkaian SARA.
Kadar Bantuan SARA Mungkin Dinaikkan
Amir Hamzah turut menyebut kemungkinan kenaikan kadar bantuan SARA pada masa hadapan tetapi ia bergantung kepada kejayaan kerajaan mengurangkan ketirisan dan meningkatkan hasil negara.
“Lagi banyak kita kurangkan ketirisan, lebih banyak ruang kita ada, kita boleh melihat cara untuk menambah bila kita ada hasil,” katanya.
Selain membantu golongan yang memerlukan, program itu turut memberi manfaat kepada usahawan tempatan apabila produk mereka dipasarkan melalui rangkaian kedai SARA.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
