Shopee baru-baru ini mengumumkan Shopee Lindung Niaga, satu program bernilai RM150 juta yang direka khusus untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia hadapi tekanan operasi harian dan berkembang dalam jangka panjang.
Program ini merangkumi tiga fokus utama iaitu mengekalkan momentum jualan, memudahkan akses pembiayaan dan memperkukuhkan keupayaan penghantaran pesanan.
Baucar Penghantaran Percuma Tanpa Syarat Minimum
Salah satu langkah yang paling berkesan ialah pengenalan baucar penghantaran percuma tanpa had minimum pembelian. Ini secara langsung mengurangkan halangan bagi pembeli untuk membuat transaksi dan membantu penjual kekalkan kadar penukaran.
Untuk kategori barangan berat seperti perabot dan peralatan rumah, baucar sokongan tambahan turut disediakan bagi mengimbangi kos penghantaran yang lebih tinggi.
Pengasas jenama Moo Baby, Stephen Beh berkata, pelanggan lebih cenderung untuk membeli apabila tiada kos penghantaran yang dikenakan.
“Ini membantu kami tingkatkan penukaran, terutama untuk barangan berharga rendah,” katanya ketika berkongsi pengalamannya.
Pembiayaan Lebih Mudah Melalui SLoan dan Quick Funds
Dari segi pembiayaan, Shopee memperluas akses modal kerja melalui perkongsian dengan Monee. Ini merangkumi:
- SLoan untuk Penjual yang direka untuk memudahkan pembiayaan melebihi RM5 juta, dengan subsidi faedah 100% pada ansuran pertama untuk pengguna baharu.
- Quick Funds pula menawarkan diskaun 50% pada yuran pendahuluan dan percubaan percuma selama 20 hari untuk bantu penjual urus aliran tunai.
Dalam pada itu, pengasas Dashboxx Solutions, Nur Shafiqah Mokhtar pula menjelaskan tentang betapa pantasnya proses SLoan ini.
“Kelulusan dan pengeluaran selesai dalam masa bawah 24 jam. Kami terus tingkatkan operasi tanpa perlu risau tentang jurang aliran tunai,” kata Nur Shafiqah.
Percubaan Percuma 6 Bulan untuk Fulfilled by Shopee (FBS)
Shopee turut mengembangkan ekosistem pemenuhan pesanannya dengan memperluas akses kepada Fulfilled by Shopee (FBS).
Penjual yang layak akan menerima percubaan percuma selama enam bulan, yang merangkumi sokongan pergudangan dan logistik.
Menurut Shopee, penjual yang menggunakan FBS telah menyaksikan peningkatan purata sekitar 20% dalam trafik kedai mereka.
Pelaburan dalam AI untuk Kecekapan Penjual
Selain sokongan kewangan, Shopee turut melabur dalam alat digital untuk bantu penjual beroperasi dengan lebih efisien:
- Chat AI Assistant untuk urus komunikasi pelanggan
- Product AI Optimiser untuk tingkatkan paparan produk
- AI Model Try-On untuk pengalaman membeli-belah yang lebih baik
Naib Presiden Shopee Malaysia, Ian Ho, berkata Shopee Lindung Niaga bukan sekadar bantuan jangka pendek.
“Kami nak pastikan peniaga kecil dapat sokongan yang betul-betul berguna dan pada masa sama, pembeli pun masih boleh dapatkan barang keperluan dengan mudah,” katanya.
Matlamat keseluruhan Shopee Lindung Niaga adalah untuk mengukuhkan daya tahan PMKS dengan gabungkan bantuan jangka pendek dengan pelaburan jangka panjang dalam infrastruktur dan keupayaan digital.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
