Lebih 9,000 orang penduduk di Kampung Bahagia terjejas selepas kejadian kebakaran besar yang melanda kawasan tersebut pada 19 April lalu sehingga memusnahkan kira-kira 1,000 buah rumah.
Terbaharu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bekerjasama dengan Airbnb untuk menyediakan 50 unit penginapan sementara selama 28 hari secara percuma untuk mangsa.
Langkah ini diambil susulan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan ke semua mangsa telah ditutup sejak 2 Mei lalu.
KPKT Sudah Pernah Bekerjasama Dengan Airbnb
Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata pendekatan ini bukanlah sesuatu yang baharu bagi pihak mereka.
“Seperti yang kami lakukan semasa kejadian letupan di Putra Heights, Selangor, kami bekerjasama dengan Airbnb untuk menyediakan perumahan sementara. Kami melakukan perkara yang sama di sini untuk mangsa kebakaran Kampung Bahagia,” katanya.
Menurut Aiman Athirah, bilangan unit akan dikaji semula dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan.
RM3.7 Juta Dipercepatkan untuk Penyelenggaraan Perumahan
Selain bantuan segera, KPKT melalui Jabatan Perumahan Negara turut mempercepatkan peruntukan RM3.7 juta untuk program penyelenggaraan perumahan di Sandakan termasuk projek perumahan rakyat (PPR) sedia ada.
Ujar Aiman Athirah, terdapat 70 unit yang perlu diselenggara. Selepas kerja-kerja itu selesai, keutamaan penempatan akan diberikan kepada mangsa kebakaran.
Tiga Pilihan Perumahan Jangka Panjang Sedang Dipertimbangkan
KPKT juga telah berbincang dengan kerajaan negeri Sabah untuk mengenal pasti pilihan perumahan yang lebih sesuai untuk jangka masa panjang kepada mangsa. Antara yang sedang dikaji:
- Residensi Pr1ma Borneo Cove: 30 unit kosong yang boleh diperuntukkan segera, tertakluk kepada penyelarasan dengan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).
- Residensi Elopura: 750 unit, kini 92% siap dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang akhir tahun ini. Perumahan ini boleh dijadikan PPR untuk mangsa kebakaran.
Penduduk Kampung Atas Air Perlu Latihan Kecemasan
Di sebalik isu perumahan, Aiman Athirah turut menekankan keperluan mendesak yang sering terlepas pandang iaitu latihan penyelamatan dan pencegahan kebakaran untuk penduduk di perkampungan atas air di Sabah.
“Penduduk sebenarnya merupakan pihak pertama yang bertindak balas sebelum pasukan bomba tiba. Oleh itu, ada keperluan untuk menambah bilangan pasukan bomba sukarela, terutama di kawasan rumah terapung,” katanya.
Kerajaan Beri Bantuan Segera, Bank Rakyat Tawar Penangguhan Pinjaman
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut melawat lokasi kejadian telah mengumumkan bantuan segera sebanyak RM1,500 bagi setiap keluarga. Kementerian Pendidikan juga akan memberikan RM300 kepada 454 pelajar dari 12 sekolah di sekitar Sandakan yang turut terjejas.
Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) menawarkan penangguhan bayaran ansuran pembiayaan sehingga enam bulan kepada pelanggannya yang terjejas akibat kes kebakaran yang berlaku di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
