Pasti ramai yang bersetuju bahawa Malaysia merupakan salah satu negara di Asia Tenggara yang menjadi tumpuan pelancong di serata dunia.
Pada tahun 2024 sahaja, Malaysia telah mengutip RM106.78 bilion daripada pelancong antarabangsa.
Persoalannya, dari mana sebenarnya pelancong-pelancong ini datang dan siapa yang paling banyak berbelanja di negara ini?
20 Negara Ini Bawa 96% Pelancong ke Malaysia
Mengikut data, 20 buah negara telah disenaraikan memiliki jumlah pelancong yang paling banyakdatang ke Malaysia pada tahun 2024 dan 2025, ia sekali gus menyumbang kira-kira 96% daripada jumlah ketibaan pelancong antarabangsa.
| Negara (2024) | Jumlah Pelancong |
| 1. Singapura | 18,855,680 |
| 2. Indonesia | 4,145,127 |
| 3. China | 3,725,894 |
| 4. Thailand | 2,268,182 |
| 5. Brunei | 1,732,119 |
| 6. India | 1,365,387 |
| 7. Filipina | 571,533 |
| 8. Korea Selatan | 553,165 |
| 9. Australia | 447,785 |
| 10. Taiwan | 423,117 |
| 11. Lain-lain | 405,084 |
| 12. UK | 390,035 |
| 13. Jepun | 367,182 |
| 14. Vietnam | 366,525 |
| 15. AS | 304,880 |
| 16. Perancis | 183,872 |
| 17. Jerman | 170,712 |
| 18. Bangladesh | 154,596 |
| 19. Myanmar | 147,133 |
| 20. Rusia | 130,998 |
| Jumlah 20 negara | 36,709,006 |
| Jumlah keseluruhan | 37,961,485 |
| Negara (2025) | Jumlah Pelancong |
| 1. Singapura | 21,076,783 |
| 2. China | 4,661,878 |
| 3. Indonesia | 4,266,358 |
| 4. Thailand | 2,501,009 |
| 5. Brunei | 1,588,615 |
| 6. India | 1,565,194 |
| 7. Filipina | 613,338 |
| 8. Korea Selatan | 558,503 |
| 9. Australia | 496,940 |
| 10. Lain-lain | 446,054 |
| 11. Taiwan | 445,635 |
| 12. UK | 429,974 |
| 13. Jepun | 416,492 |
| 14. Vietnam | 331,074 |
| 15. AS | 330,149 |
| 16. Bangladesh | 281,492 |
| 17. Myanmar | 235,490 |
| 18. Perancis | 228,173 |
| 19. Jerman | 188,928 |
| 20. Rusia | 139,733 |
| Jumlah 20 negara | 40,801,812 |
| Jumlah keseluruhan | 42,196,892 |
Secara keseluruhannya, Malaysia menerima 37.96 juta orang pelancong asing pada 2024, dan angka itu melonjak kepada lebih 42.19 juta pada 2025.
75% Perbelanjaan Datang dari Singapura, China dan Indonesia
Daripada RM106.78 bilion yang dikutip pada 2024, 20 negara teratas menyumbang RM98.36 bilion (92%). Singapura, China dan Indonesia sahaja telah menyumbang RM80.58 bilion, bersamaan 75% daripada jumlah keseluruhan.
Negara-negara lain dalam 20 teratas turut menyumbang RM17.77 bilion (16%), termasuk Australia, Korea Selatan, Jepun, Taiwan, AS, UK, Perancis, Jerman, Rusia, dan beberapa lagi.
Lebih 70% daripada jumlah perbelanjaan pelancong asing ini paling banyak dibelanjakan untuk tiga perkara iaitu membeli-belah, penginapan, serta makanan dan minuman
Bukan Semua Negara Besar Pelancong Berbelanja Besar
Apa yang lebih menarik dalam data tersebut, Pakistan, Kanada dan Belanda hanya menduduki tangga ke-21 hingga ke-23 dari segi bilangan pelancong, tetapi dalam senarai 20 negara yang berbelanja besar di Malaysia, ketiga-tiga negara ini termasuk dalam golongan 20 teratas.
Sebaliknya, Bangladesh, Myanmar, dan kategori “Lain-lain” walaupun tinggi dalam bilangan ketibaan, tidak tersenarai dalam 20 negara yang paling banyak berbelanja.
Perang Iran Tak Banyak Jejas Sasaran Malaysia
Konflik Iran-US menyebabkan banyak penerbangan dibatalkan, terutama yang menggunakan lapangan terbang Timur Tengah sebagai hab transit. Situasi ini memberi kesan kepada ketibaan pelancong dari Eropah dan Timur Tengah.
Namun kesan terhadap Malaysia dijangka terhad. Tujuh negara Timur Tengah yang diambil kira dalam analisis (Arab Saudi, Oman, Mesir, Iran, Iraq, UAE, Qatar) hanya menyumbang 175,192 pelancong pada 2024 dan 163,366 pada 2025, angka yang kecil berbanding jumlah keseluruhan.
Eropah juga menyumbang kurang daripada 3.1% pelancong bagi kedua-dua tahun.
Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong berkata Malaysia masih berdiri kukuh atas sokongan rantau terdekat.
“Asean kekal sebagai pasaran sumber utama, manakala China menunjukkan pemulihan yang stabil dengan peningkatan kapasiti penerbangan. India juga muncul sebagai pasaran berpotensi tinggi, menyumbang secara positif dari segi bilangan pelancong dan perbelanjaan,” katanya.
MATTA masih yakin sasaran Visit Malaysia Year 2026 iaitu 47 juta orang pelancong antarabangsa boleh dicapai.
Pelancong Tempatan Pun Tak Kalah
Pelancong domestik juga turut menyumbang dalam bidang pelancongan di Malaysia. Pada 2025, bilangan perjalanan domestik mencapai 290.1 juta, naik daripada 260.1 juta pada 2024 dengan perbelanjaan pelancongan dalam negara mencecah RM121 bilion.
Yang menariknya, walaupun bilangan pelancong asing jauh lebih sedikit (tiga hingga empat kali ganda kurang berbanding pelancong tempatan), jumlah perbelanjaan mereka hampir setara.
Pada 2024, 25.02 juta pelancong asing berbelanja RM102.2 bilion berbanding 93.3 juta pelancong tempatan yang berbelanja RM106.7 bilion. Perbezaannya cuma RM4.5 bilion.
Dengan kata lain, setiap pelancong asing berbelanja jauh lebih banyak setiap seorang berbanding pelancong tempatan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
