STR Fasa 3 Mula Disalurkan Kepada 5.3 Juta Penerima

KONGSI

Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 mula dimasukkan ke akaun penerima pada 15 Ogos 2026. Kerajaan telah memperuntukkan RM1.2 bilion untuk fasa ini, melibatkan 5.3 juta penerima. Bilangan penerima Fasa 3 meningkat 300,000 berbanding lima juta pada awal tahun. Daripada jumlah itu, 3.9 juta adalah isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana rendah, manakala 1.4 juta lagi warga emas tiada pasangan.

Berapa Anda Boleh Terima

Jumlah bayaran anda bergantung kepada pendapatan isi rumah dan bilangan anak. Isi rumah berpendapatan RM2,500 dan ke bawah layak menerima antara RM200 hingga RM600. Isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 pula layak menerima antara RM150 hingga RM250. Jika anda warga emas tiada pasangan, anda layak menerima RM150.

Jumlah STR Anda Boleh Capai RM3,300 Setakat Ogos 2026

Dengan Fasa 3 ini, jumlah keseluruhan STR yang disalurkan bagi tiga fasa 2026 mencecah RM3.6 bilion. Termasuk SARA bulanan, jumlah keseluruhan bantuan anda boleh capai RM3,300 secara terkumpul setakat Ogos 2026 melalui STR Fasa 1 hingga Fasa 3. Jumlah ini tidak termasuk bayaran one-off SARA untuk Semua yang diberikan kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Kerajaan memperuntukkan RM15 bilion untuk STR dan SARA tahun ini, jumlah tertinggi setakat ini. STR masuk setiap suku tahun, SARA pula setiap bulan. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bilangan isi rumah penerima STR meningkat daripada 3.7 juta kepada 3.9 juta pada Fasa 3. Beliau berkata ini mencerminkan usaha kerajaan membantu golongan yang terkesan dengan kos sara hidup.

Cara Anda Terima Bayaran

Penerima dengan akaun bank akan menerima wang secara kredit terus mulai 15 Ogos. Mereka yang tiada akaun bank pula boleh kutip bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara.

Anda juga boleh memohon atau membuat rayuan STR pada bila-bila masa sepanjang tahun melalui portal rasmi STR di bantuantunai.hasil.gov.my. Soalan lazim berkaitan SARA pula boleh disemak di sara.gov.my.

Semak Portal Rasmi, Elak Penipuan

Kementerian Kewangan mengingatkan anda supaya berhati-hati dengan pautan palsu. Semak status permohonan atau bayaran anda hanya melalui portal rasmi STR.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen