Subsidi RM30 Sebulan Selangor Kini Kini Boleh Digunakan Di KTM Komuter

KONGSI

Kerajaan Negeri Selangor telah memperluaskan lagi Subsidi Pengangkutan Awam Selangor RM30 Sebulan kepada perkhidmatan KTM Komuter, berkuat kuasa 1 Oktober 2026. Pada fasa awal, subsidi ini ditawarkan untuk Rapid KL On-Demand dan Kumpool.

Menurut laporan Bernama, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han berkata perluasan ini membolehkan manfaat subsidi dinikmati  lebih ramai pengguna. Dalam kenyataan yang sama, lebih daripada 90% penerima sebelum ini memilih Rapid KL On-Demand. Individu bagi kategori usia 26 hingga 35 tahun pula menjadi pengguna terbesar, iaitu sebanyak 35%.

Pemohon Mesti Pengundi Berdaftar Di Selangor

Anda mestilah menjadi pengundi yang berdaftar di Selangor untuk memohon. Kelayakan ditentukan berdasarkan status pendaftaran pengundi anda, bukan alamat kediaman atau lokasi tempat bekerja semata-mata.

Sebanyak 50,000 kuota disediakan di bawah inisiatif subsidi tambang ini.

Tiga Perkhidmatan KTM Komuter Diliputi

Subsidi ini boleh digunakan untuk KTM Komuter Sektor Lembah Klang, KTM Komuter Sektor Utara dan Perkhidmatan Shuttle Selatan.

Cara Mohon Subsidi RM30 Melalui Aplikasi Nine

Permohonan perlu dibuat melalui aplikasi Nine dalam tiga langkah, tertakluk kepada syarat permohonan. 

Muat turun aplikasi Nine, daftar akaun anda dan hantar permohonan. Semasa memohon, pastikan anda memilih KTM Komuter sebagai perkhidmatan pengangkutan pilihan.

Jika permohonan anda diluluskan, subsidi RM30 sebulan akan dikreditkan secara automatik ke dalam e-dompet Nine anda.

Bayaran Tiket KTM Komuter Melalui Nine

Anda boleh membeli tiket atau pas perjalanan melalui aplikasi KTMB Mobile atau KITS Style dengan memilih Nine sebagai kaedah pembayaran.

Dilaksanakan Menerusi Pakej Daya Tahan Selangor

“Dengan memasukkan KTM Komuter ke dalam skim ini, kami menyasarkan untuk memberi impak yang lebih besar kepada komuniti di Selangor serta menggalakkan pemanfaatan rangkaian pengangkutan awam secara menyeluruh,” kata Ng dalam kenyataan pada 1 Oktober 2026.

Perluasan ini dilaksanakan menerusi Pakej Daya Tahan Selangor, iaitu inisiatif untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya pekerja dan pelajar yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk perjalanan harian.

Inisiatif itu diuruskan oleh Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB), syarikat milik Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor), dengan kerjasama penyedia perkhidmatan pengangkutan dan platform pembayaran digital.

Subsidi Berjalan Hingga Disember 2026

Kerajaan Negeri Selangor menyeru pengundi Selangor yang layak untuk segera mengemukakan permohonan bagi mengurangkan kos perjalanan harian. Jika anda menaiki KTM Komuter secara kerap, ambil perhatian bahawa kuota subsidi ini terhad.

Laporan Bernama tidak menyatakan sama ada penerima sedia ada Rapid KL On-Demand atau Kumpool perlu menghantar permohonan baharu, atau boleh menukar perkhidmatan pilihan kepada KTM Komuter. Ia juga tidak menyebut sama ada kredit subsidi boleh digunakan untuk tiket yang dibeli di kaunter stesen.

Untuk pilihan pas pengangkutan bersubsidi lain, rujuk artikel kami di RinggitPlus mengenai skim pas My50.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen