Sebanyak 9,603 kes penipuan pelaburan dengan kerugian mencecah RM1.47 bilion telah direkodkan pada tahun 2025 menjadikan ianya satu peningkatan yang mendadak berbanding tahun sebelumya.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti lima kaedah utama yang digunakan oleh sindiket ini dan kebanyakannya bermula di media sosial.
5 Taktik Sindiket Pelaburan Palsu
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, tampil mendedahkan modus operandi yang sering digunakan oleh sindiket.
Berikut adalah lima taktik sindiket pelaburan:
- Syarikat palsu (clone firms): Meniru syarikat sah untuk nampak lebih dipercayai
- Janji pulangan tinggi dalam masa yang singkat: Tawaran yang terlalu bagus untuk jadi kenyataan
- Skim Ponzi: Keuntungan awal dibayar guna wang pelabur baharu, bukan keuntungan sebenar
- Penipuan percintaan (love scam): Mangsa diperdaya melalui hubungan emosi sebelum dipujuk melabur
- Platform kripto palsu: Mangsa disuruh hantar wang ke dompet digital sindiket
Macam Mana Sindiket Ini Beroperasi?
Biasanya ia bermula di platform Facebook atau Instagram. Setelah mangsa terpedaya, sindiket akan beralih ke aplikasi WhatsApp atau Telegram dan tambah mangsa ke dalam kumpulan pelaburan palsu yang diuruskan oleh “peniaga profesional” rekaan mereka.
Mangsa akan nampak keuntungan dalam akaun pada platform palsu itu, namun apabila cuba mengeluarkan wang, tiba-tiba ada yuran pemprosesan, cukai, atau caj lain yang perlu dibayar terlebih dahulu.
Selain media sosial, sindiket kini semakin banyak menggunakan mata wang kripto seperti USDT (Tether) untuk menerima bayaran melalui platform haram supaya lebih sukar dikesan.
Bilangan Kes dan Jumlah Kerugian
| Tahun | Bilangan Kes | Kerugian |
| 2024 | 6,337 | RM848.6 juta |
| 2025 | 9,603 | RM1.47 bilion |
| Jan–Mac 2026 | 2,204 | RM246.7 juta |
Hanya dalam tiga bulan pertama tahun ini sahaja, kerugian sudah mencecah RM246.7 juta, menunjukan bahawa jenayah ini masih lagi berleluasa berlaku di Malaysia.
Pelaburan saham mencatat jumlah kes tertinggi, diikuti kripto dan emas. Sindiket sengaja menyasarkan instrumen pelaburan yang popular.
Siapa Yang Paling Terdedah Kepada Penipuan?
Golongan yang paling ramai menjadi mangsa ialah mereka yang berusia 41 hingga 50 tahun, diikuti kumpulan 51 hingga60 dan 21 hingga 30. Difahamkan, kumpulan usia ini aktif dalam kewangan dan pelaburan, dan mempunyai simpanan yang lebih besar untuk disasarkan.
Dari segi pekerjaan, pekerja swasta menduduki tangga teratas menjadi mangsa diikuti penjawat awam dan mereka yang bekerja sendiri.
Cara Lindungi Diri Anda
Rusdi menggesa orang ramai untuk berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan berikut:
- Jangan mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa yang singkat.
- Buat semakan terlebih dahulu sebelum melabur, semak sama ada syarikat atau individu tersebut berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau Bank Negara Malaysia (BNM).
- Jangan buat sebarang pembayaran ke akaun yang mencurigakan, termasuk akaun milik individu yang tidak berdaftar.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
