Tempah Buku Dari Perpustakaan Negara dan Terus Dapat di Pintu Rumah Dengan Quickbook2U@PNM

KONGSI

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di bawah Kementerian Perpaduan Negara telah melancarkan dua sistem digital baharu iaitu Quickbook2U@PNM dan Sistem Pengurusan Tempahan Ruang Sewaan (QuickKarel).

Matlamatnya kedua-dua sistem ini dibina adalah bagi memudahkan urusan dan memberi akses lebih meluas kepada perkhidmatan perpustakaan untuk rakyat Malaysia.

Apa Itu Quickbook2U@PNM?

Quickbook2U@PNM merupakan platform tempahan buku dalam talian yang dibangunkan oleh PNM. Pengguna boleh menempah buku dari koleksi perpustakaan tanpa perlu hadir secara fizikal.

Selepas tempahan dilakukan, buku akan dihantar terus ke lokasi pengguna melalui sistem penghantaran e-hailing.

Selain memudahkan urusan pengguna, sistem ini turut mengurangkan kos pengurusan dan keperluan sumber manusia di pihak perpustakaan. Masa maklum balas ketersediaan bahan juga menjadi lebih pantas.

Secara ringkas, anda boleh:

  • Cari dan tempah buku pada bila-bila masa, dari mana sahaja
  • Terima buku terus di pintu rumah tanpa perlu ke kaunter
  • Semak status ketersediaan bahan dengan lebih cepat

Apa Itu QuickKarel?

QuickKarel pula menangani masalah yang selama ini menyebabkan pengurusan ruang sewaan perpustakaan terasa lambat dan tidak efisien.

Dengan sistem baharu ini, tempoh masa untuk membuat tempahan bilik karel berkurang daripada 5 minit kepada 1 minit sahaja. Semakan kekosongan bilik kini boleh dibuat terus melalui aplikasi dan laporan pengurusan boleh disesuaikan mengikut keperluan setiap jabatan.

Masalah yang sebelum ini kerap berlaku dalam proses manual seperti kesilapan dalam butiran tempahan, kadar bayaran dan penjadualan kini dapat dikurangkan. 

Kedua-dua Ciri Ini Dapat Memudahkan Anda

Bagi pelajar, penyelidik, atau sesiapa yang kerap menggunakan kemudahan perpustakaan, kedua-dua sistem ini memudahkan urusan harian.

Tak perlu lagi ambil cuti kerja semata-mata nak pergi tempah buku. Tak perlu beratur panjang untuk dapatkan bilik karel. Semuanya boleh dilakukan dalam talian, dengan lebih mudah dan pantas.

Ini juga selaras dengan dasar pendigitalan perkhidmatan awam di bawah agenda Malaysia MADANI di mana perkhidmatan kerajaan perlu boleh diakses dengan lebih mudah oleh semua lapisan rakyat.

Cara Guna Quickbook2U@PNM

Perkhidmatan Quickbook2U@PNM boleh diakses melalui laman sesawang rasmi Perpustakaan Negara Malaysia di pnm.gov.my. Cari bahagian Quickbook@PNM untuk mula membuat tempahan.

Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan bilik karel pula, layari bahagian Perkhidmatan Bilik Karel di laman yang sama.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments