Pelancong dari China yang datang ke Malaysia kini boleh membuat pembayaran secara terus menggunakan WeChat Pay dengan hanya mengimbas kod QR DuitNow seperti biasa.
Ini bermakna, peniaga tempatan yang sudah menggunakan sistem pembayaran DuitNow boleh menerima lebih ramai pelanggan daripada negara Tanah Besar itu.
Lima Negara, Lima Sistem QR
Malaysia bukan satu-satunya negara yang terlibat. WeChat Pay kini menyokong sistem QR domestik di lima buah negara di Asia iaitu:
- Korea Selatan: ZeroPay
- Sri Lanka: LANKAQR
- Thailand: PromptPay
- Malaysia: DuitNow QR
- Singapura: SGQR+
Pengguna WeChat Pay dari China boleh imbas mana-mana kod QR ini semasa melancong tanpa perlu tukar aplikasi atau risau tentang pertukaran mata wang.
Peluang Untuk Peniaga di Malaysia Capai Lebih Banyak Jualan
Sebelum ini peniaga tempatan perlu berdaftar dengan platform tambahan untuk menerima pembayaran digital dari pelancong China atau hanya mengharapkan mereka mempunyai wang tunai.
Kini, sistem ini menghubungkan terus WeChat Pay dengan sistem DuitNow QR yang sudah sedia ada. Hanya perlu imbas kod QR dan transaksi terus diterima.
Kemudahan ini amat membantu untuk peniaga yang berada di kawasan pelancongan seperti Bukit Bintang, Petaling Street, Pulau Pinang, dan Langkawi yang kerap berurusan dengan pelancong China terutamanya semasa musim cuti.
Langkah Lebih Besar Ke Arah Pembayaran Serantau
WeChat menyatakan bahawa integrasi ini sebagai sebahagian daripada usaha mereka mengukuhkan kebolehoperasian (interoperability) antara ekosistem pembayaran digital serantau.
Negara-negara Asia sedang perlahan-lahan menghubungkan sistem pembayaran masing-masing supaya wang boleh bergerak merentasi sempadan dengan lebih mudah tanpa perlu bergantung pada wang tunai atau kad antarabangsa.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
