Kadar pengangguran di Malaysia naik kepada 3% pada April 2026. Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini, seramai 511,800 orang individu yang tidak bekerja. Angka ini mungkin kelihatan masih terkawal, namun ada dua tekanan lain yang sedang berlaku pada masa sama iaitu harga arang batu global meningkat dan fenomena El Niño yang dijangka berlarutan sehingga pertengahan 2027.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir membentangkan ketiga-tiga isu ini dalam taklimat ekonomi bulanan pada 11 Jun 2026 yang lalu.
Bilangan Individu Yang Telah Dibuang Kerja Naik Pada Mei
Kadar pengangguran 3% daripada DOSM [PDF] mengira kesemua individu yang tidak bekerja dan sedang mencari peluang pekerjaan. Angka yang lebih tepat dan terkini adalah dari PERKESO, iaitu melalui data tuntutan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang merekodkan pekerja yang telah dibuang kerja.
Pada Mei 2026, sebanyak 7,766 pekerja telah mengemukakan tuntutan SIP dan secara tidak langsung telah menaikkan bilangan tuntuan SIP kepada 8.4% berbanding 7,162 pada April. Ini menunjukkan pasaran kerja terus melemah memasuki bulan Jun tahun ini.
Walau bagaimanapun, penempatan kerja melalui portal MYFutureJobs pula semakin meningkat sebanyak 19% kepada 14,366 pada Mei daripada 12,119 pada bulan sebelumnya. Sesetengah majikan dilihat masih mengambil pekerja, namun situasi syarikat memecat pekerja juga turut meningkat pada masa yang sama.
Harga Arang Batu Naik Boleh Jadi PuncaBil TNB Meningkat
Antara 1 hingga 3 Jun, harga arang batu global naik 8.2% kepada AS$142.62 setiap tan metrik, bersamaan lebih kurang RM580 setiap tan. Arang batu adalah salah satu bahan bakar penjanaan elektrik di Malaysia. Apabila harganya naik, kos untuk menjana elektrik turut meningkat.
Sesetengah pengeluar boleh bertukar antara gas asli dan arang batu mengikut yang mana lebih murah. Tapi pilihan itu kurang berkesan apabila harga arang batu naik secara menyeluruh seperti sekarang.
Sejak Julai 2025, tarif elektrik Malaysia disemak setiap bulan di bawah mekanisme Pelarasan Bahan Api Automatik (Automatic Fuel Adjustment,AFA). Sekiranya harga arang batu kekal tinggi, kos tambahan itu boleh memberi kesan terhadap bil TNB anda.
El Niño Boleh Beri Kesan Kepada Harga Sayur dan Makanan Segar
El Niño dijangka bermula pada bulan ini dan akan berterusan hingga sekurang-kurangnya pertengahan 2027. Hujan di sesetengah negeri dijangka turun antara 40% hingga 60%. Keadaan ini turut menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan air, pengeluaran makanan dan permintaan elektrik.
Semasa El Niño berlaku pada tahun 2015 hingga 2016, suhu yang telah melebihi 37°C telah menyebabkan penutupan sementara 250 buah sekolah di utara Semenanjung. Pengeluaran minyak sawit juga jatuh antara 16% hingga 18%. Jika keadaan yang sama berulang, hasil tanaman boleh merosot antara 8% hingga 10%.
Harga barangan segar biasanya yang paling awal terasa kesannya. Harga sayur-sayuran sudah pun meningkat sepanjang tahun ini dan musim kemarau yang berpanjangan akan memburukkan lagi bekalan.
Ketiga-tiga tekanan yang berlaku serentak bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh, tetapi ia juga bukan bermaksud anda perlu panik. Namun, ia adalah masa yang sesuai untuk anda semak semula bajet, kurangkan hutang yang tidak perlu dan pastikan simpanan kecemasan anda benar-benar mencukupi.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemaskini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
