Boleh dikatakan makin ramai rakyat Malaysia yang mula menceburi bidang perniagaan di zaman ini. Namun, ada juga individu yang mahu menjadi usahawan tetapi tidak tahu bagaimana cara untuk mulakan perniagaan terutamanya berkaitan permohonan pembiayaan.
Nama-nama seperti TEKUN, AIM dan pelbagai skim pembiayaan belia sering menjadi buah mulut, tetapi masih ada yang tidak faham apa perbezaannya. Ada yang terus mohon TEKUN sebab nama itu yang paling kerap didengari. Malah, ada yang langsung tidak tahu tentang kewujudan AIM.
Jadi dalam artikel ini, kami akan jelaskan kepada anda setiap satu dengan jelas dan cuba membantu anda untuk memilih program yang paling sesuai dengan situasi anda.
Program-program Ini Bukan Untuk Orang Yang Sama
TEKUN, AIM, dan skim belia bukan bersaing antara satu sama lain. Setiap satu direka untuk kelompok usahawan yang berbeza.
TEKUN Nasional (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) disasarkan kepada usahawan Bumiputera yang sudah ada perniagaan atau ingin memulakan perniagaan dengan modal yang lebih besar. Berdasarkan syarat-syarat terkini di laman rasmi TEKUN, pembiayaan boleh mencecah RM100,000 dengan kadar keuntungan 4% setahun dan tempoh bayaran balik sehingga 10 tahun. Anda perlu mendaftarkan perniagaan dengan SSM dan memenuhi syarat kelayakan asas sebagai warganegara Bumiputera berumur 18 hingga 65 tahun (dengan syarat tempoh pembiayaan tamat sebelum anda mencapai umur 65 tahun). TEKUN turut menyediakan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) bagi masyarakat India yang memiliki syarikat 100% milik India. Skim khusus lain termasuk usahawan dalam talian melalui Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT) dan orang kurang upaya melalui skim SP-OKU.
Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pula melalui Skim Pembiayaan Ikhtiar (SPI) khusus untuk usahawan wanita daripada golongan berpendapatan rendah. Antara syarat kelayakannya, pemohon perlu seorang wanita warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,880 sebulan. Jumlah pembiayaan lebih kecil, biasanya bermula beberapa ratus ringgit hingga RM30,000 bergantung skim. AIM beroperasi berdasarkan konsep mikro kredit Islamik tanpa riba, namun ini tidak bermakna ia percuma. Berdasarkan garis panduan rasmi AIM, pembiayaan ekonomi dikenakan margin keuntungan sebanyak 10% setahun, lebih tinggi berbanding TEKUN dan BSN. Bayaran balik dibuat secara mingguan. Satu lagi ciri unik AIM ialah anda perlu menubuhkan kumpulan “Sahabat” seramai lima orang yang tiada tali persaudaraan rapat. Kumpulan anda kemudian akan menyertai Pusat, iaitu gabungan dua hingga sepuluh kumpulan dan semua urusan termasuk bayaran balik mingguan dibuat melalui Mesyuarat Pusat. AIM juga tidak mengenakan cagaran atau penjamin, menjadikannya lebih mudah diakses oleh mereka yang tiada aset atau rekod kredit formal.
Pembiayaan Belia tidak lagi disalurkan melalui satu program tunggal. Mengikut Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, had umur belia di Malaysia ialah 15 hingga 30 tahun, dan kerajaan kini menyediakan beberapa laluan berbeza untuk usahawan dalam kelompok ini.
Dari segi pembiayaan modal, Skim Pembiayaan Madani Belia BSN adalah antara yang paling ketara, menawarkan pembiayaan RM2,000 hingga RM100,000 kepada usahawan berumur 30 tahun ke bawah dengan kadar keuntungan 3.5% hingga 4% setahun dan tempoh bayaran balik sehingga 7 tahun. Satu syarat penting, perniagaan anda perlu sudah berdaftar dan beroperasi sekurang-kurangnya 6 bulan (berdasarkan kategori dan jenis perusahaan). dengan pemilikan sekurang-kurangnya 51%. Semak terus dengan BSN untuk kepastian.
Selain BSN, MARA juga menawarkan skim tersendiri seperti Skim PUTRA untuk golongan belia dan individu Bumiputera berumur 40 tahun ke bawah dengan pembiayaan sehingga RM100,000 dan Skim SEMAi khusus untuk lepasan institusi pendidikan MARA. Anda dinasihatkan untuk membandingkan kesemua pilihan ini sebelum membuat keputusan, kerana syarat dan kadarnya boleh berbeza bergantung kepada profil perniagaan anda.
Perlu dibezakan juga antara pembiayaan modal dengan sokongan perniagaan. Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) di bawah SME Corp adalah program latihan dan pembangunan keusahawanan yang turut menawarkan geran perniagaan sehingga RM15,000 kepada peserta yang berjaya. Pemohon mesti berumur 18 hingga 30 tahun dan sudah mendaftarkan perniagaan dengan SSM (kurang daripada 36 bulan) serta bersedia menanggung sekurang-kurangnya 10% kos sendiri iaitu RM1,500. Ambil perhatian, permohonan TUBE-S (2026) telah pun ditutup pada Februari 2026, jadi mereka yang berminat perlu menunggu pengambilan TUBE seterusnya dibuka.
Perbandingan Ringkas
| Program | Butiran | Maklumat |
| TEKUN Nasional | Sasaran | Usahawan Bumiputera (SPUMI untuk masyarakat India) |
| Jumlah pembiayaan | >RM10,000 – RM100,000 (TEKUN Niaga); RM1,000 – RM20,000 (SPOT) | |
| Kadar keuntungan | 4% setahun (SPOT: 3%) | |
| Tempoh bayaran | Sehingga 10 tahun (SPOT: sehingga 5 tahun) | |
| Kelebihan unik | Skim khusus: SPOT (online), SP-OKU, SPUMI (masyarakat India) | |
| AIM | Sasaran | Wanita B40 |
| Jumlah pembiayaan | Beberapa ratus – RM30,000 | |
| Kadar keuntungan | 10% setahun (5% bagi tempoh 6 bulan) | |
| Tempoh bayaran | Mingguan (ansuran pendek) | |
| Kelebihan unik | Sistem “Sahabat”, tanpa cagaran atau penjamin | |
| Skim Pembiayaan Belia | Sasaran | Belia Bumiputera |
| Jumlah pembiayaan | RM2,000 – RM100,000 | |
| Kadar keuntungan | 3.5% – 4% setahun (berbeza mengikut skim) | |
| Tempoh bayaran | Sehingga 7 tahun | |
| Kelebihan unik | Pelbagai pilihan tersedia: BSN Madani Belia, MARA PUTRA (40 tahun ke bawah) |
Maklumat di atas adalah gambaran umum berdasarkan maklumat terkini. Semak syarat semasa di laman rasmi setiap program sebelum memohon kerana kadar dan syarat boleh berubah.
Program Mana Yang Sesuai Untuk Anda?
Jika anda seorang wanita yang baru ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan, pendapatan isi rumah rendah dan modal yang diperlukan sekitar RM3,000 hingga RM5,000, AIM mungkin pilihan yang sesuai. Prosesnya berbeza daripada pinjaman biasa kerana anda tidak perlu rekod kredit yang sempurna, tetapi perlu bersedia untuk menubuhkan kumpulan Sahabat dan menghadiri Mesyuarat Pusat setiap minggu. Ambil kira juga margin keuntungan 10% setahun yang lebih tinggi berbanding program lain dalam senarai ini.
Kalau anda berumur 30 tahun ke bawah dan perniagaan anda sudah berdaftar serta beroperasi sekurang-kurangnya 6 bulan, BSN Madani Belia adalah pilihan yang sesuai. Pembiayaan boleh mencecah RM100,000 dengan kadar keuntungan serendah 3.5% setahun dan syaratnya direka mengikut profil usahawan muda. Jika anda perlukan latihan dan bimbingan di samping modal, Program TUBE menggabungkan latihan intensif dengan geran sehingga RM15,000.
Jika anda berumur antara 31 hingga 40 tahun pula, Skim PUTRA MARA adalah laluan yang lebih sesuai. PUTRA menerima pemohon sehingga umur 40 tahun dengan pembiayaan sehingga RM100,000, menjadikannya pilihan yang lebih luas skopnya.
Kalau anda ada perniagaan yang sudah berjalan atau sedang dalam peringkat persediaan yang lebih serius dan perlukan modal yang lebih besar, TEKUN adalah pilihan yang lebih sesuai. Skim SPOT di bawah TEKUN juga sesuai jika anda menjalankan perniagaan dalam talian melalui platform seperti Shopee atau Lazada, walaupun had pembiayaan SPOT adalah lebih kecil iaitu sehingga RM5,000 untuk peniaga tanpa SSM atau sehingga RM20,000 untuk yang sudah berdaftar dengan SSM.
Perkara Yang Ramai Terlepas Pandang
Boleh ke mohon lebih dari satu program? Secara teknikalnya ya. Syarat rasmi TEKUN sendiri membenarkan pemohon yang sudah mempunyai pembiayaan perniagaan dengan institusi lain seperti MARA dan AIM, selagi jumlah pembiayaan sedia ada itu tidak melebihi RM100,000. Namun, institusi biasanya akan semak komitmen kewangan semasa anda, jadi pastikan beban bayaran balik masih dalam kemampuan.
Macam mana kadar keuntungan ini dikira? Kadar keuntungan TEKUN dan BSN dikira atas jumlah pembiayaan asal sepanjang tempoh bayaran balik (kadar tetap atau rata), bukan atas baki yang semakin berkurangan seperti sesetengah pinjaman bank. Ini bermakna kos sebenar pembiayaan adalah lebih tinggi daripada angka peratusan yang dipaparkan. TEKUN juga mewajibkan simpanan sebanyak 5% daripada nilai pembiayaan setahun, jadi ambil kira kesannya kepada aliran tunai bulanan anda.
Adakah program-program ini beri kesan kepada rekod kredit anda? Jawapannya berbeza mengikut program, dan ini penting untuk anda faham sebelum menandatangani apa-apa.
BSN, sebagai institusi kewangan pembangunan yang disenaraikan sebagai peserta CCRIS di bawah Bank Negara Malaysia, akan melaporkan rekod pembayaran Madani Belia anda terus ke CCRIS. Ini bermakna jika anda gagal bayar, ia akan kelihatan dalam laporan kredit anda dan boleh menjejaskan permohonan pinjaman rumah atau kereta pada masa hadapan.
Untuk TEKUN dan AIM, kedua-duanya tidak dikenal pasti sebagai peserta CCRIS dalam senarai rasmi BNM. Bagi AIM khususnya, kawalan bayaran balik dilakukan melalui sistem kumpulan Sahabat di mana ahli-ahli saling menyokong dan memantau disiplin pembayaran antara satu sama lain. Untuk kepastian status pelaporan TEKUN, adalah lebih baik anda semak terus dengan pihak TEKUN.
Ada latihan atau bimbingan selepas dapat pembiayaan? Ya, AIM khususnya menyediakan bimbingan berterusan melalui sistem Sahabat dan pegawai lapangan. TEKUN turut ada program pembangunan usahawan.
Langkah Seterusnya
Sebelum memohon mana-mana program, ada tiga perkara yang patut anda buat terlebih dahulu.
Pertama, semak kelayakan anda secara jujur. Bukan sekadar umur dan kewarganegaraan, malah status pendapatan isi rumah, rekod kredit semasa dan sama ada perniagaan anda sudah berdaftar dengan SSM atau belum.
Kedua, kira kapasiti bayaran balik anda. Jumlah yang diluluskan bukan bermakna jumlah yang sepatutnya dipinjam. Ambil yang anda mampu bayar balik dengan selesa, bukan yang maksimum.
Ketiga, pergi ke kaunter atau laman web rasmi setiap program untuk semak maklumat terkini. Syarat dan kadar boleh berubah, dan sebaiknya tanya terus daripada bergantung kepada maklumat lama.
- TEKUN Nasional: tekun.gov.my
- Amanah Ikhtiar Malaysia: aim.gov.my
- BSN Madani Belia: bsn.com.my
- Program TUBE (latihan belia Bumiputera): smecorp.gov.my
Untuk makluman, selain program-program di atas, ada juga skim lain untuk usahawan Bumiputera seperti PUNB serta dana khas di bawah belanjawan negara. Pilihan lain termasuk SME Bank untuk PMKS secara umum dan Agrobank bagi usahawan dalam sektor pertanian, perikanan, atau agro-makanan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
