71,000 Pemilik Kenderaan Di Sabah Masih Belum Mohon Tambahan Kuota BUDI Diesel

KONGSI

Seramai 71,000 pemilik kenderaan pacuan empat roda, iaitu trak pikap dan jip, di Sabah masih belum tuntut tambahan kuota 100 liter BUDI Diesel, lapor Bernama.

Setakat 22 Ogos 2026, sekitar 49,000 daripada kira-kira 120,000 pemilik kenderaan layak yang sudah mendaftar untuk manfaat ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud dedahkan angka ini, sambil menyeru anda dan pemilik kenderaan lain yang masih belum mohon supaya bertindak segera.

Kerajaan Nilai Kuota Mengikut Jumlah Yang Mohon 

Menurut Mustapha, kerajaan perlu tahu dulu berapa ramai pemilik kenderaan yang benar-benar guna kuota tambahan ini, sebelum boleh nilai sama ada kuota perlu ditambah lagi. “Jadi kita harapkan baki yang belum membuat permohonan itu dapat mendaftarkan kenderaan mereka supaya boleh guna tambahan 100 liter tersebut dan barulah kita boleh lihat berapa kuota yang diperlukan sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program MADANI Kita Bersama Komuniti Darau @Sepanggar di Kota Kinabalu pada 22 Ogos.

Jimat RM257 Dengan Tambahan Kuota 100 Liter

Untuk tarikh 20 Ogos hingga 26 Ogos 2026, harga diesel tanpa subsidi ialah RM4.67 seliter, manakala melalui BUDI Diesel anda cuma perlu membayar RM2.10 seliter iaitu perbezaan sebanyak RM2.57 bagi setiap liter.

Kalau kuota asas 200 liter anda sudah habis dan anda tidak mohon tambahan 100 liter ini, anda terpaksa mengisi diesel pada harga penuh RM4.67 seliter. Dengan tambahan kuota BUDI Diesel, 100 liter tambahan itu dapat menjimatkan anda sebanyak RM257 berbanding harga pasaran.

Peniaga Turut Minta Tambahan Kuota

Peniaga dan syarikat turut memohon supaya kuota diesel bagi kategori kenderaan tertentu ditambah, dan permintaan ini kini sedang diteliti oleh Kementerian Kewangan.

Mustapha berkata kerajaan telah mendapatkan pandangan pelbagai pihak mengenai pelaksanaan BUDI Diesel. Kajian terperinci akan dijalankan sebelum sebarang langkah seterusnya diumumkan.

Perubahan Lain Bakal Menyusul Dalam 1 Hingga 2 Bulan

Perkara ini turut dilaporkan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada 18 Ogos 2026. Beliau melaporkan angka kelayakan dan permohonan yang sama bagi pemilik kenderaan pacuan empat roda, termasuk trak pikap dan jip, di Sabah.

Amir Hamzah turut dilaporkan berkata kerajaan dijangka mengumumkan beberapa penambahbaikan kepada pelaksanaan BUDI Diesel dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang, terutamanya berkaitan proses permohonan dan syarat kelayakan.

Kuota BUDI Diesel Juga Boleh Dipindah Kepada Ahli Keluarga

Kalau kenderaan pacuan empat roda yang anda guna didaftarkan atas nama ibu, bapa, atau ahli keluarga terdekat yang lain, kerajaan sudah meluluskan lebih 5,000 permohonan pemindahan kuota BUDI Diesel kepada ahli keluarga seperti suami atau isteri, ibu atau bapa, anak, dan adik-beradik, setakat Julai 2026. Permohonan boleh dibuat menerusi portal BUDI MADANI atau di mana-mana pejabat LHDN.

Pemindahan ini bersifat muktamad dan sehala. Sebaik kuota dipindahkan, pemilik asal tidak lagi boleh membeli diesel bersubsidi walaupun memiliki kenderaan diesel lain.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.  

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen