DOSM: 98.3% Rakyat Malaysia Guna Internet Pada 2025, Dari Warga Emas Hingga Gen Z

KONGSI

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan 97.1% isi rumah mampu mengakses internet pada 2025. Jumlah ini menunjukkan peningkatan jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya serta membuktikan bahawa hampir keseluruhan rakyat Malaysia kini mempunyai akses terhadap rangkaian Internet.

Laporan yang dikeluarkan pada 23 April 2026 ini mengukur penggunaan dan akses ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) dalam kalangan individu dan isi rumah di seluruh Malaysia termasuklah dikawasan bandar serta luar bandar.

Hampir Semua Isi Rumah Ada Telefon, TV, dan Radio

Dari segi peralatan asas, 99.5% isi rumah dilaporkan mempunyai akses kepada telefon mudah alih, radio, dan televisyen. Akses komputer turut naik kepada 92.6%.

Walau bagaimanapun, laporan terbabit mendedahkan langganan TV berbayar turun kepada 62.0% dari 67.1% pada 2024 dan penggunaan telefon rumah pula dilihat semakin menyusutkepada 27.6%. Namun perkara ini tidak menghairankan kerana kebanyakan orang sudah beralih ke perkhidmatan penstriman dan komunikasi melalui telefon pintar.

Jurang Antara Bandar dan Luar Bandar Masih Ada, Tetapi Kecil

Isi rumah di bandar masih lagi mencatatkan angka yang lebih tinggi dalam semua kategori:

KategoriBandarLuar Bandar
Telefon mudah alih99.8%98.8%
Televisyen99.7%98.9%
Radio99.8%98.6%
Internet99.0%tiada data
Komputer95.3%65.5%
Langganan TV berbayar64.4%53.9%
Telefon rumah31.0%15.9%

Perbezaan paling ketara adalah pada komputer iaitu 95.3% di bandar berbanding 65.5% di luar bandar. Ia  mungkin mempunyai kaitan dengan keperluan kerja dan pembelajaran dalam persekitaran bandar.

98.3% Rakyat Malaysia Guna Internet, Termasuk Warga Emas

Pengguna internet individu pula naik kepada 98.3% pada 2025 dari 98.0% pada tahun sebelumnya. Penduduk di kawasan bandar mencatatkan 99.2% sementara luar bandar 95.7%.

Lebih menarik lagi, laporan itu turut menunjukkan golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas mencatatkan kadar penggunaan internet sebanyak 92.3%. Ini bermakna jurang digital antara generasi muda dan tua semakin mengecil.

Golongan muda dan belia pula hampir kesemuanya menggunakan internet. Individu berusia 20 hingga 24 tahun dan 30 hingga 34 tahun mencatatkan kadar melebihi 99.5%.

Jika dibandingkan mengikut jantina, penggunaan dalam kalangan lelaki adalah 98.7% manakala penggunaan dalam kalangan perempuan pula adalah 97.8%.

Apa Yang Rakyat Malaysia Lakukan Semasa Layari Internet?

Media sosial kekal mendominasi apabila sebanyak 99.7% pengguna internet di Malaysia aktif fi platform seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

Selain itu, 94.8% memuat turun kandungan seperti muzik, video, dan permainan manakala 94.6% mencari maklumat tentang barangan dan perkhidmatan.

Peratusan 94.6% itu dilihat agak menarik dari sudut perniagaan. Ini bermakna kebanyakan pengguna internet turut membeli belah secara dalam talian dan perkara ini seharusnya diberi perhatian oleh para peniaga.

Kemahiran Digital Rakyat Malaysia Makin Meningkat

Kemahiran digital rakyat Malaysia juga semakin meningkat. Lebih 90% individu menguasai tugasan asas seperti menyalin fail, menguruskan data digital dan menghantar kandungan dalam mesej.

Dalam kalangan orang muda berumur 15 hingga 24 tahun, lebih 80% sudah menguasai pelbagai kemahiran digital asas

Penggunaan Telefon Mudah Alih dan Komputer Terus Naik

Penggunaan telefon mudah alih dalam kalangan individu mencapai 99.6%, dengan sokongan kukuh dari kawasan bandar (99.8%) dan luar bandar (99.1%).

Penggunaan komputer pula meningkat kepada 81.5% secara keseluruhan didorong oleh lonjakan di bandar (87.0%) dan luar bandar (65.5%).

Untuk makluman, Malaysia juga pada baru-baru ini menduduki tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 oleh Open Data Watch (ODW) mengatasi 197 negara. Ini satu lonjakan besar dari kedudukan ke-67 dalam penilaian 2022/23.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments