Bil elektrik anda melonjak sejak beberapa bulan lalu? Cuaca panas dan jerebu buat sebahagian isi rumah menggunakan penyaman udara lebih kerap, dan itulah antara punca utama bil melonjak mendadak kebelakangan ini.
Kerajaan kini menaikkan had perlindungan bil elektrik anda daripada 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800kWj sebulan. Ini bermakna anda boleh menggunakan lebih banyak elektrik setiap bulan, asalkan penggunaan anda tidak melepasi 800kWj. Perlindungan ini berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September sehingga 31 Disember 2026, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah ini diputuskan sebagai tindakan segera untuk kurangkan tekanan hidup rakyat. Beliau berkongsi pengumuman itu menerusi Facebook pada 17 September 2026. “Melalui langkah ini, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800kWj sebulan akan diberikan perlindungan melibatkan pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan,” katanya.
Kenapa Bil Elektrik Anda Boleh Naik Mendadak
Kalau bil anda naik ketara berbanding bulan biasa, cuaca panas dan jerebu berkemungkinan besar puncanya. Anwar berkata keadaan ini mendorong sebahagian isi rumah menggunakan elektrik lebih kerap, sehingga penggunaan bulanan mereka melepasi 600kWj.
Sebelum pengumuman ini, Anwar mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan isu kenaikan bil elektrik yang menjadi keresahan sebahagian pengguna sejak kebelakangan ini. Mesyuarat yang berlangsung kira-kira sejam di Kementerian Kewangan itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Kerajaan Terus Pantau Kos Tenaga
Anwar berkata, kerajaan akan terus memantau kos bahan api dan pasaran tenaga semasa, supaya keputusan tarif elektrik akan datang dapat mengimbangi kemampuan dan beban hidup rakyat, bekalan elektrik yang stabil, serta masa depan sektor tenaga negara. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Tenaga (ST) kerana membolehkan langkah ini dilaksanakan dengan pantas.
Cara Anda Boleh Kurangkan Bil Elektrik Walaupun Had Sudah Naik
Had 800kWj dapat membantu anda, tetapi penggunaan melebihi paras itu tetap akan dikenakan caj penuh tanpa pengecualian AFA, Caj Peruncitan dan SST. Susulan itu, mengambil langkah penjimatan elektrik tetap lebih berbaloi.
Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM, Profesor Ir Dr Mohd Zainal Abidin Ab Kadir ada berkongsi beberapa tip penjimatan elektrik seperti basuh baju, seterika dan masak sebelum 2 tengahari atau selepas 10 malam, iaitu waktu luar puncak. Tetapkan suhu penyaman udara antara 24 hingga 26 darjah Celsius, gunakan mod eco atau sleep. Selain itu, cabut soket barangan elektrik yang tidak digunakan, dan tukar kepada lampu LED. Pasang penstabil voltan untuk peti sejuk dan mesin basuh, elakkan soket bertindan, dan bersihkan penapis penyaman udara serta peti sejuk secara berkala supaya peralatan tahan lebih lama.
Pertimbangkan Pasang Sistem Solar
Kalau bil elektrik anda sentiasa tinggi, sistem solar mungkin berbaloi untuk dipertimbangkan, terutama untuk isi rumah dengan bil bulanan melebihi RM250. Sistem 4kW biasanya berharga RM15,000 hingga RM18,000, dengan jangka hayat 20 hingga 25 tahun dan pulangan modal dalam tempoh 5 hingga 8 tahun, sambil layak untuk rebat dan insentif kerajaan. Penjimatan bulanan boleh capai RM200 hingga RM300.
Kos pemasangan yang tinggi (biasanya RM12,000 hingga RM45,000 bergantung kapasiti sistem) sering menjadi penghalang utama pemilik rumah. Bank Muamalat kini tawar Pelan Bayaran Ansuran (IPP) menerusi Kad Kredit-i Visa, membolehkan anda bayar pemasangan solar secara ansuran bulanan tanpa caj keuntungan tambahan untuk tempoh enam atau 12 bulan.
Pastikan Penggunaan Anda Dalam Had 800kWj
Semak bil elektrik terkini anda dan pastikan penggunaan anda berada dalam had 800kWj sebelum 31 Disember 2026. Kalau penggunaan rumah anda hampir atau sudah melepasi paras itu, mula dengan langkah kecil seperti laraskan suhu penyaman udara dan cabut soket peralatan tidak digunakan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
