Kad Kredit CIMB Kini Sokong Apple Pay, Tawar Pulangan Tunai Sehingga RM118

KONGSI

CIMB Malaysia kini menyokong Apple Pay selepas hampir empat tahun ciri ini pertama kali diperkenalkan di Malaysia. Bank ini pernah menyatakan hasrat untuk menyokong Apple Pay sejak separuh kedua 2023, tetapi baru direalisasikan pada 21 Julai 2026. Sempena pelancaran ini, CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad turut menganjurkan kempen pulang tunai.

Kad CIMB Yang Disokong Apple Pay

Menurut soalan lazim (FAQs) CIMB [PDF], kebanyakan kad kredit-i CIMB menyokong Apple Wallet. Kaedah yang paling disyorkan untuk mengaktifkan Apple Pay ialah melalui aplikasi CIMB OCTO, dengan pilih “Tambah ke Apple Wallet” dan ikuti langkah pengesahan pada skrin. Anda juga boleh menambah kad terus dalam Apple Wallet menggunakan fungsi sentuhan NFC, atau kemasukan manual yang memerlukan pengesahan tambahan melalui SMS OTP atau SecureTAC.

Tiada caj tambahan dikenakan untuk guna Apple Pay. Satu kad kredit CIMB boleh ditambah pada maksimum lima peranti Apple, dan setiap peranti perlu ditambah secara berasingan. Jika anda tukar peranti Apple baharu, kad perlu ditambah semula sebelum boleh digunakan.

Kad Yang Tidak Disokong Apple Wallet

CIMB Petronas Visa Infinite-i dan CIMB Petronas Visa Platinum-i tidak disokong pada Apple Wallet. Ciri ini juga tidak tersedia untuk kad debit CIMB, Kad CIMB Platinum Business, Kad Rakan Kongsi CIMB dan Kad Fuel Tanker. 

Pulangan Tunai RM118 Hanya Untuk Kad Baharu Ditambah 

CIMB menawarkan pulangan tunai sehingga RM118 sempena pelancaran Apple Pay ini, dengan pecahan RM68 untuk Kad Kredit CIMB Mastercard-i dan RM50 untuk Kad Kredit CIMB Visa-i. Kempen ini berlangsung dari 21 Julai hingga 14 September 2026.

Menurut Terma dan Syarat (T&C) CIMB [PDF], pulangan tunai ini hanya untuk pemegang kad yang menambah Kad Kredit CIMB-i ke Apple Pay buat kali pertama. Jika anda sudah menambah kad CIMB ke Apple Wallet sebelum 21 Julai 2026, anda tidak layak untuk kempen ini.

Untuk layak menerima pulangan tunai, anda perlu membuat lima transaksi Apple Pay dengan nilai sekurang-kurangnya RM50 setiap satu. Kesemua transaksi mesti dilakukan dalam jenis kad yang sama, iaitu Mastercard dengan Mastercard atau Visa dengan Visa. Transaksi merentasi dua skim kad tidak akan digabungkan.

Kempen Dibahagi Kepada Dua Bulan Kempen

Tempoh kempen dipecahkan kepada dua kitaran. Bulan Kempen 1 bermula 21 Julai dan berakhir 17 Ogos 2026, manakala Bulan Kempen 2 bermula 18 Ogos dan berakhir 14 September 2026. Kesemua lima transaksi yang layak mesti dilakukan dalam bulan kempen yang sama. Transaksi yang tertinggal ke bulan kempen seterusnya tidak akan dikira bersama.

Pulangan tunai turut tertakluk kepada had kuota mengikut prinsip ‘siapa cepat dia dapat’. Kad Mastercard dihadkan kepada 2,400 unit setiap bulan kempen dan 4,800 unit sepanjang tempoh kempen, manakala kad Visa dihadkan kepada 1,740 unit setiap bulan dan 3,480 unit keseluruhan. Pemegang kad yang lewat memenuhi syarat berkemungkinan tidak menerima pulangan tunai walaupun sudah melakukan lima transaksi yang layak.

Transaksi Judi, Ansuran Dan Fi Bank Tidak Dikira 

Beberapa jenis transaksi dikecualikan daripada kempen ini. Antaranya transaksi judi atau kuasi tunai, ansuran bulanan, fi dan caj bank, transaksi yang dibatalkan atau dipertikaikan, serta transaksi di negara Kesatuan Eropah.

Bila Pulangan Tunai Akan Dikreditkan

Pulangan tunai akan dikreditkan ke akaun kad kredit anda dalam tempoh 16 minggu selepas tempoh kempen tamat. Jika pulangan tunai anda belum diterima selepas tempoh itu, anda perlu memaklumkan CIMB dalam tempoh lapan minggu berikutnya. Kad kredit anda juga mesti kekal aktif dalam Apple Wallet dan tidak tertunggak sepanjang tempoh ini, jika tidak anda akan hilang kelayakan.

Untuk mengetahui terma dan syarat penuh kempen ini, anda boleh semak di laman web rasmi CIMB.

Bagi anda yang berminat untuk memiliki kad kredit CIMB boleh semak dan mohon di RinggitPlus.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.  

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen