Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) kini telah memperluaskan lagi skop kemudahan e-Rayuan Taksiran menerusi portal MyTax dengan membolehkan pembayar cukai membuat rayuan bukan sahaja Taksiran Tambahan, tetapi juga Taksiran Anggaran, Taksiran Disifatkan dan Taksiran Kurangan. Kemudahan ini telah mula diperkenalkan pada Jun 2026.
Perkara ini dikongsikan sendiri oleh Pengarah Bahagian Dasar dan Pemantauan di Jabatan Resolusi Pertikaian LHDN, Zanariah Ahmad dalam program Klinik Cukai terbitan Bernama Radio pada 21 Julai 2026.
Bila Rayuan untuk Taksiran Anggaran, Disifatkan dan Kurangan Dibenarkan
Taksiran Anggaran (best judgment assessment) dikeluarkan apabila pembayar cukai gagal mengemukakan Borang Nyata, atau mengemukakannya selepas tempoh yang ditetapkan. Anda kini boleh merayu kategori ini menerusi e-Rayuan Taksiran.
Taksiran Disifatkan pula terbahagi kepada dua, iaitu Disifatkan Kena Cukai dan Disifatkan Tidak Kena Cukai. Zanariah berkata kategori ini pada asasnya tidak boleh dirayu. Namun rayuan masih dibenarkan jika pembayar cukai tidak bersetuju dengan layanan cukai berdasarkan Ketetapan Umum, atau pendirian, ketetapan serta amalan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) yang berkuat kuasa ketika taksiran dibuat.
“Taksiran Kurangan juga pada asasnya tidak boleh dirayu kerana ia bukan merupakan taksiran di bawah Seksyen 2 Akta Cukai Pendapatan 1967. Namun, sekiranya terdapat isu baharu yang tidak pernah dibangkitkan sebelum ini, pembayar cukai masih boleh mengemukakan rayuan terhadap taksiran berkenaan,” katanya.
Rayuan Turut Boleh Dibuat Terhadap NPTKC dan Cukai Pegangan
Zanariah berkata pembayar cukai juga boleh merayu terhadap Notis Pemberitahuan Tidak Kena Cukai (NPTKC) yang dikeluarkan hasil audit atau siasatan, walaupun notis itu bukan notis taksiran. Bagi cukai pegangan, rayuan boleh dibuat jika pembayar tidak bersetuju dengan pengenaannya. Bagaimanapun, cukai berkenaan perlu dijelaskan terlebih dahulu kepada KPHDN sebelum rayuan dikemukakan.
Bayaran Balik dan Pelantikan Ejen Cukai Boleh Dirayu Dalam 30 Hari
Rayuan turut dibenarkan terhadap jumlah bayaran balik yang dipertikaikan, mengikut Seksyen 111(1) Akta Cukai Pendapatan 1967. Ia perlu dikemukakan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis bayaran balik diterima.
Individu yang dilantik sebagai ejen cukai di bawah Seksyen 68(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 juga boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 30 hari selepas menerima notis pelantikan, jika tidak bersetuju dengan pelantikan itu.
Borang Q Untuk Buat Rayuan, Mohon Lanjutan Dengan Borang N Jika Terlewat
Rayuan hendaklah dikemukakan menggunakan Borang Q, iaitu borang yang ditetapkan di bawah undang-undang, dalam tempoh 30 hari. Jika terlewat, pembayar cukai boleh memohon lanjutan masa melalui Borang N seperti diperuntukkan di bawah Subseksyen 100(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Tambah Zanariah, walaupun e-Rayuan Taksiran sudah diperkenalkan, prosedur manual melalui Borang Q dan Borang N masih berkuat kuasa kerana sistem itu belum dilaksanakan sepenuhnya. Pembayar cukai hanya boleh memilih satu saluran, sama ada dalam talian atau borang manual di pejabat LHDN.
Guna Borang Yang Betul, Sertakan Dokumen Sokongan untuk Melancarkan Proses Rayuan
Zanariah berkata rayuan lebih mudah diproses jika pembayar cukai mematuhi tempoh yang ditetapkan, guna borang yang betul, serta berikan alasan jelas disertai dokumen sokongan. Permohonan juga perlu dilengkapkan dalam satu sesi sahaja.
Sekiranya anda sedang mencari panduan penuh proses e-Filing, rujuk Panduan Cukai Pendapatan 2026 (YA 2025) kami. Anda juga boleh membaca artikel berkaitan cukai pendapatan yang lain untuk maklumat lanjut.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
