Cara Membezakan Pelepasan Gaya Hidup dan Pelepasan Sukan

KONGSI

Bermula Tahun Taksiran 2024 dan seterusnya, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah memindahkan peralatan sukan dan keahlian gim keluar daripada pelepasan gaya hidup umum kepada pelepasan sukan yang berasingan dengan hadnya yang tersendiri iaitu sebanyak RM1,000. 

Ia merupakan satu perubahan yang masih baharu, jadi masih ramai pembayar cukai yang menganggap bahawa raket badminton atau keahlian Fitness First dimasukkan di bawah pelepasan gaya hidup sebanyak RM2,500 yang sama seperti komputer riba dan buku-buku. Hakikatnya, perkara tersebut tidak lagi terpakai sekarang.

Kesilapan dalam memilih kategori boleh menyebabkan anda terlepas hak yang sepatutnya boleh dituntut. Jadi untuk memastikan anda mendapat manfaat sepenuhnya, berikut adalah panduan ringkas untuk pelepasan cukai bagi gaya hidup dan sukan.

Dua Pelepasan Berasingan, Dua Had Berasingan

Pelepasan gaya hidup membenarkan anda menuntut sehingga RM2,500 untuk diri sendiri, pasangan atau anak. Pelepasan sukan pula diletakkan di bawah kategori berasingan dengan had RM1,000. Ia turut merangkumi perbelanjaan untuk ibu bapa anda selagi mana mereka bermastautin di Malaysia. Disebabkan kedua-dua pelepasan tersebut kini diletakkan secara berasingan, pembayar cukai yang berbelanja dalam kategori-kategori ini boleh menuntut sehingga RM3,500.

PelepasanHad (Bermula YA 2025)Jenis Perbelanjaan Yang Diambil Kira
Gaya HidupRM2,500Buku, jurnal, majalah, dan akhbar (cetak atau elektronik); komputer peribadi, telefon pintar, dan tablet; langganan internet bulanan yang didaftarkan atas nama anda sendiri; kursus peningkatan kemahiran / pembangunan diri
SukanRM1,000Peralatan sukan untuk aktiviti di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997; yuran keahlian gim; yuran kemasukan atau sewaan kemudahan sukan; yuran latihan sukan; yuran pendaftaran untuk pertandingan berlesen

Kedua-dua kategori ini merangkumi lebih daripada sekadar pembelian biasa. Dari segi gaya hidup, bahan bacaan termasuk penerbitan elektronik dan bukannya bahan bercetak sahaja, manakala pelepasan bagi peranti pula merangkumi tablet atau telefon pintar, bukan terhad kepada komputer riba sahaja.

Bagi pelepasan sukan pula, latihan sukan turut dikira. Ini termasuk kejurulatihan, kelas, klinik dan bengkel untuk mana-mana daripada 103 jenis sukan yang digazetkan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997, dari akuatik dan badminton sehinggalah sukan bermotor dan e-sukan.

Pakaian sukan, termasuk jersi dan kasut sukan, tidak layak di bawah mana-mana pelepasan kerana LHDN menganggap ia sebagai pakaian bukannya peralatan. Basikal bermotor dikecualikan daripada pelepasan sukan. Keahlian kelab yang ada kemudahan gim juga tidak layak, memandangkan pelepasan ini khusus untuk yuran gim yang berasingan, bukannya pakej country club.

Kedua-Dua Pelepasan Ini Tidak Lagi Boleh Digabung

Sebelum ini, jika anda membeli peralatan sukan bernilai RM3,000, anda akan menuntut RM2,500 di bawah gaya hidup dan baki RM500 lagi di bawah pelepasan sukan tambahan yang lama. Kedua-duanya boleh digabungkan kerana peralatan sukan dianggap sebagai sebahagian daripada pelepasan gaya hidup.

Kini peraturannya telah berubah. Perbelanjaan sukan tidak boleh dipindahkan ke dalam elaun gaya hidup anda, dan perbelanjaan gaya hidup juga tidak boleh dipindahkan ke dalam sukan. Jika komputer riba anda sahaja sudah menggunakan kesemua had gaya hidup sebanyak RM2,500, keahlian gim anda masih mempunyai keseluruhan pelepasan sukan sebanyak RM1,000 untuk digunakan. Jika perbelanjaan sukan anda melebihi RM1,000, lebihan tersebut akan terbatal begitu sahaja dan tidak boleh dimasukkan semula ke dalam gaya hidup. 

Satu Contoh Tuntutan Yang Jelas

Katakan anda telah berbelanja seperti yang berikut sepanjang tahun iaitu RM3,200 untuk komputer riba baharu, RM150 untuk buku, RM850 untuk keahlian gim tahunan dan RM400 untuk tempahan gelanggang badminton. 

Komputer riba dan buku jumlahnya RM3,350 di bawah gaya hidup, tetapi had hanya membenarkan anda untuk menuntut RM2,500 sahaja. Keahlian gim dan tempahan gelanggang pula jumlahnya RM1,250 di bawah sukan, dihadkan kepada RM1,000. Jadi, jumlah pelepasan anda dari kedua-dua kategori ini ialah RM3,500.

Sekiranya anda tersilap meletakkan yuran gim dan gelanggang di bawah kategori gaya hidup, anda akan cuba menuntut RM4,600 di bawah had RM2,500. Jadi anda akan hilang lebihan itu, malah langsung tidak menuntut pelepasan sukan RM1,000 tersebut.

Simpan Resit Yang Betul Untuk Setiap Kategori

LHDN meminta anda menyimpan dokumen sokongan selama tujuh tahun, ini bermakna anda harus mempunyai resit rasmi daripada perniagaan yang berdaftar. Bagi keahlian gim, gim tersebut perlulah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Bagi latihan sukan pula, penyedia latihan perlu berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan atau Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Slip deposit tunai (bank-in), tangkap layar pemindahan wang dan pengesahan pembayaran WhatsApp tidak diterima secara meluas jika dikemukakan begitu sahaja, jadi raket terpakai yang dibeli daripada penjual biasa biasanya tidak boleh dituntut melainkan penjual tersebut boleh mengeluarkan resit cukai yang rasmi. 

Sekiranya ini merupakan kali pertama anda memfailkan cukai, cara paling mudah untuk memastikan kategori yang betul adalah dengan mengasingkan dahulu resit kepada dua kumpulan sebelum membuka MyTax. Apa-apa sahaja yang anda baca, taip atau gunakan untuk melayari internet dimasukkan di bawah gaya hidup, manakala apa-apa sahaja yang digunakan untuk sukan atau senaman dimasukkan di bawah sukan.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen