1.18 Juta Pelajar IPT Kini Boleh Menebus Baucar Buku MADANI RM100

KONGSI

Seramai 1.18 juta pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) warganegara Malaysia kini boleh menebus Baucar Buku MADANI bernilai RM100. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah membuka penebusan menerusi portal MySiswaPlace pada jam 11 pagi tadi (15 Julai 2026).

Tak Semua Pelajar IPT Layak Tebus Baucar Ini

Kelayakan Baucar Buku MADANI terhad kepada pelajar yang menuntut di IPT di bawah seliaan KPT, merangkumi Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS). Pelajar antarabangsa tidak layak menerima baucar ini.

Pelajar juga perlu berstatus aktif sebagai pelajar pada tarikh yang ditetapkan KPT, serta sedang mengikuti pengajian di peringkat Sijil, Asasi, Diploma, Diploma Lepasan Ijazah, Sarjana Muda, Sarjana, Doktor Falsafah atau kursus profesional bertaraf Diploma ke atas yang diiktiraf oleh kerajaan atau badan profesional berkaitan. Mod pengajian sama ada sepenuh masa atau separuh masa turut diterima.

Pelajar yang tidak pasti tentang status kelayakan mereka boleh menghubungi pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) di institusi masing-masing. 

Semakan dan Penebusan Boleh Dibuat Dalam Talian

Menerusi portal MySiswaPlace, pelajar boleh membuat semakan kelayakan, menjana baucar, menebusnya, serta terus membeli bahan bacaan secara dalam talian dengan mudah dan selamat.

Menurut kenyataan KPT, inisiatif ini diteruskan oleh kerajaan bagi meringankan kos pembelian bahan bacaan, memperluaskan akses pelajar kepada sumber ilmu berkualiti serta menyokong budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan mahasiswa.

Lebih 300 Rakan Niaga Terlibat

MySiswaPlace menghimpunkan lebih 300 rakan niaga berdaftar yang terdiri daripada penerbit dan penjual buku tempatan. Pelajar boleh memilih daripada pelbagai kategori bahan bacaan, termasuk buku akademik, buku rujukan, bahan ilmiah, e-buku dan penerbitan umum.

KPT turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan kerajaan meneruskan inisiatif Baucar Buku MADANI. Kementerian turut menggesa semua pelajar yang layak segera menebus Baucar Buku MADANI.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen