Kerajaan negeri Selangor akan memberikan bantuan tunai bulanan sebanyak RM100 kepada 50,000 isi rumah berpendapatan rendah di bawah inisiatif Baucar Kita Selangor. Pembayaran bermula 30 Jun dan berlangsung selama enam bulan.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Pekaj Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 bernilai RM140 juta yang diumumkan pada 16 April untuk membantu penduduk menghadapi kenaikan kos sara hidup.
Adakah Anda Antara Penerima?
Berdasarkan kenyataan Bahagian Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, kumpulan yang dikenal pasti sebagai penerima adalah:
- Isi rumah miskin dalam pangkalan data eKasih
- Pekerja yang diberhentikan kerja
- Golongan rentan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
- Ibu tunggal yang memenuhi syarat kelayakan
Memetik Bernama, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan penerima juga akan dikenalpasti melalui semakan pangkalan data sedia ada termasuk Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
Permohonan tidak dibuka kepada umum. Mereka yang layak akan menerima SMS secara berperingkat bermula 23 Jun untuk membuat pengesahan maklumat dan mengemukakan permohonan melalui Portal Baucar Kita Selangor berserta dokumen sokongan yang diperlukan.
Orang ramai dinasihatkan menunggu pengumuman rasmi kerajaan negeri pada 22 Jun sebelum mengambil sebarang tindakan berkaitan program ini.
Subsidi Pengangkutan RM30 Sebulan Melalui Aplikasi Nine
Selain bantuan tunai, kerajaan Selangor turut menawarkan subsidi pengangkutan awam bulanan sebanyak RM30 kepada 50,000 pengguna melalui aplikasi Nine, berkuat kuasa serta-merta.
Subsidi ini boleh digunakan untuk rangkaian van transit (demand-responsive transit) negeri selama enam bulan dan akan diperluaskan kepada LRT dan KTM Komuter. Jika anda menggunakan pengangkutan awam setiap hari, subsidi ini dapat menjimatkan duit poket anda.
120,000 Pelajar Dapat Sarapan Percuma
Kerajaan negeri juga akan melaksanakan program sarapan percuma untuk 120,000 pelajar yang memerlukan di 965 buah sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Kerajaan negeri menegaskan program ini tidak menggantikan Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang sedia ada, sebaliknya dilaksanakan sebagai tambahan kepada pelajar lain yang layak. Program RMT sendiri melibatkan kira-kira 55,000 pelajar. Sarapan percuma ini pula akan disediakan dua hingga tiga kali seminggu, bergantung kepada kesesuaian sekolah masing-masing.
Bagi ibu bapa, program sebegini sememangnya dapat menjimatkan perbelanjaan harian anak-anak mereka.
Tambahan Peruntukan RM5 Juta Untuk Program Jelajah Ehsah Rahmah 2026
Program Jelajah Ehsan Rahmah 2026 melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor mendapat tambahan peruntukan RM5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM10 juta. Program ini akan diadakan dua kali di setiap kawasan DUN bermula bulan ini.
Fasa 2 pakej yang sama, yang memberi tumpuan kepada sektor perindustrian negeri, akan dibentangkan dalam mesyuarat khas DUN Selangor pada 19, 22 dan 23 Jun.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
