Hampir 39,000 Pekerja Diberhentikan, Namun Peluang Baharu Terus Terbuka

KONGSI

Seramai 38,953 pekerja di Malaysia telah diberhentikan kerja dalam tempoh antara Januari hingga Mei tahun ini. Angka itu direkodkan oleh Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan majoritinya adalah berumur 25 hingga 39 tahun.

Walau bagaimanapun, dalam tempoh hampir sama, bilangan rakyat yang bekerja sebenarnya menunjukkan peningkatan . Data terkini daripada laporan Tenaga Buruh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan jumlah penduduk bekerja meningkat daripada 16.77 juta pada Januari kepada 16.82 juta pada April. Ia kira-kira 50,000 pekerjaan baharu dalam masa 4 bulan. Jadi sementara sesetengah sektor melepaskan pekerja mereka, sektor lain pula sedang sibuk mengambil masuk pekerja-pekerja baharu.

Siapa Yang Paling Terkesan?

Pekerja lelaki mendahului dengan 60.4% atau 23,536 kes manakala pekerja wanita pula hanya 39.6% (15,417 kes) yang direkodkan.

Sektor yang paling terjejas adalah sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor serta perkhidmatan pentadbiran dan sokongan. 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, kebanyakan pekerja yang diberhentikan bukan kerana syarikat tutup, tetapi mereka sedang menyusun semula struktur dan mengubah cara operasi.

Kenapa Pekerja Yang Diberhentikan Meningkat Pada Awal Tahun?

Jumlah pekerja yang diberhentikan paling tinggi adalah pada suku pertama 2026. Dalam tempoh itu, seramai 24,100 pekerja telah hilang pekerjaan. Jumlah tersebut merupakan 47% lebih tinggi berbanding sekitar 16,500 kes pada tempoh sama tahun 2025.

Januari mencatatkan angka paling tinggi iaitu 10,700 kes sebelum menurun kepada 7,500 pada Februari dan 5,900 pada bulan Mac. Trend itu berterusan ke April dengan 4,708 kes hanya dalam 16 hari pertama.

Corak penurunan ini sebenarnya memberi petunjuk bahawa kebanyakan syarikat sudah menyelesaikan urusan penyusunan semula pada awal tahun, mungkin seiring dengan perancangan bajet atau menyesuaikan diri dengan perubahan permintaan dari pasaran luar. 

Peluang Pekerjaan Semakin Meningkat, Cuma Bukan Di Tempat Sama

Meskipun jumlah pekerja yang diberhentikan kelihatan tinggi, asas pasaran pekerjaan di Malaysia masih kukuh. Kadar pengangguran pada April 2026 ialah 3% iaitu naik sedikit daripada 2.9% berbanding bulan sebelumnya. Tenaga buruh negara pula mencapai 17.33 juta orang dengan kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9%. 

Untuk makluman, sektor yang mengambil dan sektor yang melepaskan pekerja adalah berbeza. Kilang dan jawatan sokongan pejabat semakin mengecil, namun sektor perkhidmatan, makanan dan minuman, perhotelan, maklumat dan komunikasi, pengangkutan serta bidang teknologi pula terus perkembang. Sektor pembuatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan turut menambah pekerja, cuma ianya dalam jumlah lebih kecil.

Oleh kerana itu Ramanan menegaskan bahawa kerajaan perlu pantas dalam usaha memindahkan pekerja terjejas ke sektor yang sedang memerlukan tenaga kerja. Memandangkan majoritinya golongan muda yang berkelayakan, fokus diberikan kepada melatih semula mereka dengan kemahiran yang dicari industri sedang berkembang.

Apa Yang Anda Patut Lakukan Jika Hilang Pekerjaan?

Langkah pertama, failkan tuntutan SIP secepat mungkin. Skim kerajaan ini memberi anda elaun bulanan sehingga 6 bulan sementara mencari kerja baharu selain turut menanggung kos latihan serta kaunseling kerjaya. Ingat, tuntutan mesti dibuat dalam tempoh 60 hari dari hari terakhir anda bekerja.

Selepas itu, manfaatkan laman web dan aplikasi seperti MYFutureJobs untuk mencari kerja. Anda juga boleh semak laman Labour Market Exchange (LMX) dan MyFutureJobs Galaxy bagi melihat sektor mana yang sedang membuka peluang serta kemahiran apa yang dicari.

Perkeso juga menjalankan program latihan khusus untuk sektor yang sedang berkembang, merangkumi sokongan peralihan kerjaya, latihan kemahiran dan tindakan awal dalam industri berisiko. Selagi ekonomi terus mewujudkan pekerjaan baharu seperti awal tahun ini, peluang itu memang ada untuk sesiapa yang bersedia merebutnya.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemaskini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen