Kehilangan pekerjaan sememangnya antara situasi kewangan yang paling tertekan. Bila pendapatan tiba-tiba terhenti, bil, sewa dan perbelanjaan harian jadi terasa amat membebankan dalam masa yang singkat.
Di Malaysia, sekiranya anda diberhentikan kerja, anda mempunyai hak perundangan khusus dan akses kepada program-program kerajaan yang direka untuk merapatkan jurang kewangan sehingga anda mendapat pekerjaan seterusnya. Bertindak pantas mengikut tarikh akhir yang ditetapkan dapat melindungi kewangan anda dan membantu anda bangkit semula dengan lebih cepat.
Apa Yang Perlu Dibayar Oleh Majikan Apabila Anda Diberhentikan
Di bawah Akta Kerja 1955, faedah penamatan atau pemberhentian kerja anda bergantung pada berapa lama anda telah berkhidmat di syarikat tersebut. Berikut adalah kadar minimum yang ditetapkan undang-undang:
| Tempoh Perkhidmatan | Bayaran Pampasan |
| Kurang daripada 2 tahun | 10 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan |
| 2 hingga 5 tahun | 15 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan |
| Lebih daripada 5 tahun | 20 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan |
Ini merupakan faedah minimum yang diwajibkan oleh undang-undang. Kontrak pekerjaan atau Perjanjian Kolektif (CA) anda mungkin menyediakan terma yang lebih baik.
Pengiraan ‘gaji’ bagi pampasan pemberhentian merangkumi gaji pokok anda serta elaun tetap, tetapi tidak termasuk kerja lebih masa (overtime) atau bonus. Setiap bulan perkhidmatan anda dikira, jadi kalau anda sudah bekerja selama tiga tahun tujuh bulan, tujuh bulan tambahan itu tetap diambil kira dalam pengiraan pampasan anda.
Penyelesaian akhir anda sepatutnya merangkumi bayaran cuti tahunan yang belum digunakan termasuk gaji sehingga hari bekerja terakhir, bonus atau komisen yang belum dibayar (yang anda layak terima mengikut kontrak), serta bayaran tempoh notis, kecuali anda dikehendaki bekerja sepanjang tempoh notis tersebut.
Bolehkah Anda Berunding Pakej Pemberhentian Anda?
Dalam sesetengah keadaan, ya. Jika majikan anda memberhentikan pekerja disebabkan oleh penyusunan semula syarikat dan bukannya krisis kewangan, mungkin masih ada ruang untuk berbincang mengenai terma yang lebih baik. Lebih-lebih lagi jika anda telah lama berkhidmat atau memegang pengetahuan khusus yang diperlukan semasa fasa peralihan.
Sebelum menandatangani sebarang dokumen, baca surat pemberhentian kerja anda dengan teliti. Jika jumlah bayaran tidak sepadan atau alasan penamatan kelihatan tidak jelas, dapatkan nasihat daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) atau peguam undang-undang pekerjaan. Setelah anda menandatanganinya, amat sukar untuk mempertikaikan terma tersebut di kemudian hari.
Dapatkan surat pemberhentian rasmi, borang EA untuk tujuan cukai, penyata caruman KWSP, surat pengesahan pekerjaan, dan slip gaji terakhir daripada majikan sebelum anda tinggalkan syarikat. Dokumen-dokumen ini akan jadi bukti sejarah pekerjaan dan pendapatan anda, ia penting untuk permohonan kerja, permohonan pinjaman, dan tuntutan faedah pada masa hadapan.
SIP Menyediakan Bayaran Tunai Bulanan Semasa Anda Mencari Kerja
Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) atau LINDUNG KERJAYA di bawah kendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyediakan bayaran tunai bulanan untuk pekerja yang diberhentikan berdasarkan berapa lama anda telah mencarum. Kalau anda pernah mencarum melalui potongan slip gaji, berikut adalah kelayakan anda:
| Tempoh Caruman | Tempoh Faedah | Struktur Bayaran |
| 12-24 bulan | 3 bulan | 80% (bulan 1), 50% (bulan 2), 40% (bulan 3) |
| 24-36 bulan | 5 bulan | 80% (bulan 1), 50% (bulan 2), 40% (bulan 3-4), 30% (bulan 5) |
| Lebih daripada 36 bulan | 6 bulan | 80% (bulan 1), 50% (bulan 2), 40% (bulan 3-4), 30% (bulan 5-6) |
Kesemua peratusan adalah berdasarkan andaian gaji bulanan anda.
Walaupun bayaran ini tidak menggantikan keseluruhan gaji anda, ia membantu menampung perbelanjaan asas semasa anda mencari pekerjaan baharu. Anda juga akan mendapat akses kepada perkhidmatan penempatan pekerjaan dan program latihan percuma yang disediakan oleh PERKESO.
Anda ada 60 hari dari hari bekerja terakhir untuk membuat pendaftaran tuntutan. Jika anda terlepas tarikh ini, bermakna anda akan hilang faedah tersebut sepenuhnya.
Kami telah membincangkan keseluruhan proses tuntutan, dokumen yang diperlukan dan apa perlu dibuat sekiranya permohonan anda ditolak dalam panduan langkah demi langkah untuk menuntut faedah SIP.
Perlukah Anda Mengeluarkan Wang Daripada KWSP?
Simpanan KWSP anda boleh jadi jaringan keselamatan yang membantu, tetapi pengeluaran sepatutnya jadi pilihan terakhir. Sebelum menyentuh simpanan ini, gunakan dahulu bayaran pampasan anda, tuntut faedah SIP, kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu, dan pertimbangkan kerja sementara atau freelance.
Jika anda memang memerlukan akses dana ini, Akaun Fleksibel adalah pilihan yang paling mudah. Anda boleh keluarkan serendah RM50 untuk keperluan segera melalui aplikasi KWSP i-Akaun, dan wang biasanya akan diterima dalam tempoh tujuh hari bekerja. Akaun lain seperti Akaun Sejahtera pula direka untuk perumahan, pendidikan, dan penjagaan kesihatan, manakala Akaun Persaraan kekal ‘dikunci’ sehingga umur 55 tahun untuk lindungi simpanan jangka panjang anda.
Ingat, setiap RM1,000 yang dikeluarkan sekarang boleh berkembang jadi RM4,000 sehingga RM5,000 menjelang persaraan hasil faedah kompaun. Melindungi masa depan memang penting, tapi keperluan segera perlu diutamakan dulu. Keluarkan apa yang anda benar-benar perlukan sahaja, dan mulakan dengan Akaun Fleksibel sebelum pertimbangkan akaun lain.
Urus Kewangan Semasa Menganggur
Pakej pampasan anda mungkin nampak besar, tetapi ia boleh habis dengan cepat jika tidak diuruskan dengan teliti. Kira berapa lama duit anda boleh bertahan, jumlahkan bayaran pampasan, faedah SIP, simpanan, dan sebarang pengeluaran KWSP yang anda pertimbangkan. Selepas itu, kira perbelanjaan penting bulanan anda seperti sewa, kemudahan, makanan, bayaran pinjaman, insurans, dan pengangkutan.
Sekiranya duit anda hanya boleh bertahan tiga hingga empat bulan atau kurang, anda perlu bertindak segera. Perumahan (sewa atau ansuran rumah) perlu diutamakan dulu sebab anda perlukan tempat tinggal. Kemudahan penting seperti air, elektrik, dan pelan telefon asas datang seterusnya, diikuti makanan.
Selepas itu, utamakan bayaran hutang terutamanya pinjaman bercagar seperti pinjaman rumah dan kereta. Premium insurans perubatan pula perlu dikekalkan sebaik mungkin.
Apa Yang Perlu Dilakukan Mengenai Pinjaman Dan Hutang Kad Kredit
Jika anda ada pinjaman peribadi atau hutang kad kredit, hubungi bank anda segera. Kebanyakan bank tawarkan pilihan penstrukturan semula untuk pelanggan yang diberhentikan kerja termasuk tempoh pembayaran balik yang dipanjangkan, tempoh rehat pembayaran sementara, dan susunan pembayaran yang dikurangkan.
Sekiranya hutang anda sudah terlalu membebankan, cuba berjumpa dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), iaitu agensi kerajaan yang menawarkan kaunseling kewangan dan perkhidmatan penstrukturan semula hutang secara percuma.
Jurang Perlindungan Insurans Perubatan
Insurans perubatan syarikat anda biasanya tamat pada hari terakhir anda bekerja, atau pada penghujung bulan itu dan ini boleh tinggalkan anda dengan jurang perlindungan.
Untuk melindungi diri, anda ada beberapa pilihan. Anda boleh tukar insurans kumpulan kepada polisi individu jika jabatan sumber manusia (HR) membenarkannya, beli kad perubatan asas, atau mohon MySalam iaitu program insurans perubatan percuma kerajaan untuk isi rumah B40 yang berpendapatan bawah RM5,000 sebulan.
Patutkah Anda Ambil Mana-Mana Kerja Atau Tunggu Yang Sesuai
Apabila anda kehilangan pekerjaan, anda berdepan pilihan sukar: ambil apa sahaja pekerjaan yang ada untuk mendapatkan pendapatan dengan lebih cepat, atau tunggu jawatan yang betul-betul sesuai. Keputusan ini bergantung kepada berapa lama bayaran pampasan, faedah SIP, dan simpanan anda dapat tampung perbelanjaan penting.
Kalau simpanan anda hanya cukup untuk dua bulan atau kurang, anda ada tanggungan, atau industri anda semakin merosot, ambil sahaja kerja sementara atau kerja “penyambung hidup”, walaupun gaji lebih rendah. Ini boleh bantu lindungi kewangan anda sementara anda terus mencari kerja.
Sebaliknya, kalau anda mampu tampung empat hingga enam bulan perbelanjaan penting, keputusan anda untuk menunggu jawatan yang sepadan dengan kemahiran dan matlamat kerjaya anda mungkin pilihan yang lebih baik.
Gunakan tempoh ini untuk menyemak perbelanjaan penting anda, nilai semula hala tuju kerjaya anda, dan naik taraf kemahiran kalau perlu. Kalau anda urus kewangan dengan teliti sambil mencari peluang baharu, tempoh mencabar ini boleh membawa anda ke arah kedudukan kewangan dan profesional yang lebih kukuh.
Kalau anda perlu bandingkan produk kewangan sepanjang tempoh peralihan ini, anda boleh semak pinjaman peribadi, kad kredit, dan pilihan lain di RinggitPlus.
Mahu lebih banyak perkongsian dan tip kewangan? Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
