Anda Boleh Semak Rumah Sebelum Beli Guna Portal TEDUH

KONGSI

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggesa anda, sebagai bakal pembeli rumah, semak status pemaju dan projek menerusi portal serta aplikasi TEDUH sebelum membuat keputusan pembelian, menurut kenyataan KPKT yang dipetik Bernama pada 7 September 2026.

Sejak dilancarkan pada 11 Ogos 2017, portal ini sudah direkodkan lebih 45 juta pelawat setakat Ogos lalu.

Apa Yang Anda Boleh Semak Di TEDUH

TEDUH dibangunkan oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN). Anda boleh guna portal ini untuk semak status lesen pemaju, Permit Iklan dan Jualan (APDL), dan kemajuan projek perumahan swasta.

Anda Boleh Semak Status Projek Lewat, Sakit Atau Terbengkalai

TEDUH turut memaparkan status sesuatu projek sama ada ia lewat, sakit atau terbengkalai, berserta harga jualan yang diluluskan. Anda juga boleh menyemak kelulusan Lanjutan Masa (EOT), sahkan kesahihan dokumen berkaitan projek, dan hantar aduan terus kepada JPN kalau ada masalah dengan pemaju.

KPKT Nak Anda Jadikan “Semak Sebelum Beli” Sebagai Tabiat

Menurut KPKT, kempen #TEDUHBersama bertujuan membudayakan amalan “semak sebelum beli” dalam kalangan bakal pembeli rumah seperti anda. Ini langkah awal untuk elak anda berurusan dengan pemaju tanpa lesen atau tandatangan perjanjian pembelian tanpa tahu kedudukan sebenar sesuatu projek.

Ketua JPN Ingatkan Bakal Pembeli Rumah Buat Semakan Dulu

Ketua Pengarah JPN, Dr Tan Awang Besar, turut mengingatkan anda supaya buat semakan dahulu sebelum membeli rumah kerana ia antara komitmen kewangan terbesar dalam hidup seseorang. “Langkah mudah ini penting bagi membantu pembeli mendapatkan maklumat yang sahih, membuat keputusan dengan lebih yakin serta mengurangkan risiko berdepan masalah pada kemudian hari,” katanya.

Anda boleh akses Portal TEDUH menerusi teduh.kpkt.gov.my atau muat turun aplikasi mudah alih TEDUH di Google Play atau App Store.

OTP Bakal Beri Anda Lebih Banyak Pilihan Jika Projek Berisiko Gagal 

Selain TEDUH, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebelum ini turut umumkan mekanisme Option to Purchase (OTP) yang dijangka diperkenalkan menjelang akhir tahun ini, bagaimanapun ia masih di peringkat cadangan dan belum berkuat kuasa. 

Di bawah cadangan tersebut, pemaju dan anda sebagai pembeli akan diberi tempoh tertentu untuk menilai semula kemajuan projek. Jika pemaju merasakan projek berisiko untuk gagal, pemaju berhak menawarkan jalan keluar kepada anda dengan deposit dikembalikan sepenuhnya mengikut terma perjanjian. Anda juga mempunyai hak berasingan untuk menarik diri, contohnya jika jumpa hartanah lain yang lebih sesuai, walaupun tempoh khusus untuk hak ini belum disahkan. 

Bagi anda dan pasangan yang salah seorang merupakan kakitangan kerajaan serta sedang merancang untuk mendapatkan pinjaman rumah, artikel kami berkenaan perbezaan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dan pinjaman bank boleh membantu anda.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen