Bank Rakyat bakal menganjurkan Bank Rakyat EKVE Community Ride 2026, sebuah acara kayuhan komuniti yang bakal diadakan pada 23 Ogos 2026 di Lebuhraya East Klang Valley Expressway (EKVE). Acara ini menawarkan dua kategori kayuhan iaitu kayuhan komuniti 30km dan 60km bagi mereka yang mahukan cabaran.
Dalam sebuah sesi penglibatan media yang diadakan hari ini (8 Julai 2026) di Kuala Lumpur, kami telah dijemput untuk mengetahui lebih lanjut maklumat berkaitan penganjuran program tersebut yang dikongsikan sendiri oleh Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani.

Perkukuh Perpaduan Rakyat dan Semarak Aktiviti Riadah
Menurut Nizam, acara kayuhan komuniti dengan sokongan Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) dan EKVE ini merupakan inisiatif Bank Rakyat dalam usaha untuk memperkukuhkan perpaduan masyarakat di samping menyemarakkan aktiviti riadah di sekitar kawasan Lembah Klang dalam suasana santai dan inklusif.
“EKVE Community Ride 2026 ini juga merupakan acara pertama yang dianjurkan oleh Bank Rakyat di atas lebuh raya sekali gus menandakan kerjasama Bank Rakyat dan EKVE,” katanya.
EKVE Tawar Pemandangan Indah dan Cabaran Laluan
Ketika ditanya mengenai pemilihan Lebuhraya EKVE sebagai lokasi acara, Nizam memaklumkan bahawa lebuh raya yang baru dibuka itu menyajikan suasana serta pemandangan yang indah terutamanya di waktu pagi buat para peserta.
Lebuh raya berkenaan juga menghubungkan beberapa kawasan utama di sekitar Lembah Klang dan mempunyai laluan yang sedikit mencabar untuk para peserta seperti jalan berselekoh serta menurun dan mendaki menyebabkan ia menjadi pilihan utama. Bagi anda yang gemarkan cabaran dan tidak mahu laluan yang begitu mudah, EKVE Community Ride 2026 bagi kategori 60km adalah pilihan yang sesuai buat anda.
Sebagai panduan, Lebuhraya EKVE akan ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula jam 4:00 pagi sehingga 12:00 tengah hari pada hari acara bagi memastikan keselamatan para peserta.
Bank Rakyat Sasar 2,000 Hingga 2,500 Penyertaan
Nizam turut memaklumkan bahawa Bank Rakyat menyasarkan 2,000 sehingga 2,500 penyertaan. Setakat ini, sekitar 1,400 penyertaan telah diterima termasuk beberapa peserta daripada luar negara dengan berbaki hanya lagi tiga minggu lagi sebelum permohonan ditutup.
Difahamkan, Bank Rakyat EKVE Community Ride 2026 hanyalah acara kayuhan komuniti dan bukannya pertandingan, jadi tiada sebarang hadiah yang ditawarkan kepada mereka yang berjaya menamatkan kayuhan di tempat pertama, kedua atau ketiga. Bank Rakyat juga mempunyai perancangan untuk menjadikan acara kayuhan komuniti ini sebagai acara tahunan sekiranya mendapat sambutan yang memberangsangkan.
Apa Yang Peserta Akan Dapat Dalam Acara Ini?
Kesemua peserta sama ada penyertaan kayuhan komuniti 30km atau cabaran 60km akan menerima sehelai jersi berbasikal, sebuah pingat, makanan dan minuman serta satu beg cenderahati.

Selain itu, para peserta juga berpeluang untuk bertemu dengan beberapa pengayuh negara yang turut menyertai acara ini termasuk Harrif Saleh, Izzat Roslan, Loh Sea Keong dan Nur Aisyah Mohamad Zubir.
Ekspo Jualan Bank Rakyat turut akan berlangsung di perkarangan AEON BiG Ampang dengan menampilkan ruang jualan untuk dikunjungi peserta dan orang ramai. Turut disediakan reruai Bank Rakyat yang menawarkan khidmat nasihat kepada pengunjung mengenai produk dan perkhidmatan bank.
Had Umur dan Jenis Basikal Untuk Sertai Acara
Had umur yang ditetapkan untuk menyertai acara ini adalah 16 tahun ke atas, namun peserta yang berumur 18 tahun ke bawah perlulah mendapat kebenaran ibu bapa terlebih dahulu. Kesemua jenis basikal yang memenuhi kriteria keselamatan seperti memiliki brek juga boleh menyertai acara ini termasuk basikal elektrik (e-bike).
Tidak kiralah jenis basikal apa pun yang anda miliki selagi mana ia mempunyai brek, ia layak untuk menyertai Bank Rakyat EKVE Community Ride 2026. Bagi anda yang berusia 18 tahun ke bawah pula, dapatkan kebenaran ibu bapa terlebih dahulu sebelum mendaftarkan penyertaan anda.
Waktu Berlepas, Yuran Pendaftaran dan Cara Menyertai
Untuk makluman, kategori 30km akan berlepas bermula jam 7 pagi dan 60km pula pukul 6.30 pagi bermula dari Plaza Tol Ampang. Yuran pendaftaran bagi pemegang kad Bank Rakyat ialah RM70 untuk 30KM dan RM125 (60KM), manakala bagi bukan pemegang kad ialah RM75 (30KM) dan RM135 (60KM).

Anda yang berminat untuk menyertai acara kayuhan komuniti ini boleh mendaftar melalui laman web https://checkpointspot.asia sebelum permohonan ditutup pada 30 Julai ini. Anda juga boleh kunjungi laman web Bank Rakyat serta ikut media sosial rasmi @mybankrakyat untuk mendapatkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
