Bank Rakyat Tawar Pembiayaan SME SRF Sehingga RM750,000 Untuk PMKS

KONGSI

Bank Rakyat menawarkan Kemudahan Bantuan Penstabilan PMKS atau SME Stabilisation Relief Facility (SME SRF), pembiayaan sehingga RM750,000 untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat konflik geopolitik di Asia Barat. Kadar pembiayaan juga tidak melebihi 3.75% setahun termasuk fi jaminan dengan tempoh maksimum lima tahun.

Permohonan dibuka dari 15 Mei 2026 sehingga 31 Disember 2026 atau sehingga peruntukan habis digunakan, mengikut mana yang lebih awal.

SME SRF Merupakan Sebahagian Dari Pakej Bantuan RM5 Bilion BNM

SME SRF ialah sebahagian daripada pakej bantuan RM5 bilion yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan disalurkan melalui 20 institusi kewangan yang menyertainya, termasuk Bank Rakyat. 

Tujuannya adalah untuk memberikan bantuan kewangan jangka pendek dan mengurangkan tekanan aliran tunai yang dihadapi PMKS.

Apa Yang Ditawarkan Oleh SME SRF

Ciri PembiayaanButiran
Jumlah pembiayaanSehingga RM750,000
Kadar pembiayaanTidak melebihi 3.75% setahun (termasuk fi jaminan)
Tempoh pembiayaanSehingga 5 tahun
Jenis pembiayaanPembiayaan Bertempoh-i (Term Financing-i)
CagaranTiada cagaran diperlukan

Program ini tidak memerlukan cagaran, pembiayaan disokong dengan jaminan sehingga 80% daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagan Berhad (SJPP). Ini bermakna PMKS yang tidak mempunyai aset cagaran mencukupi masih berpeluang mendapat kelulusan.

Siapa Yang Layak Memohon

Untuk layak memohon SME SRF di bawah Bank Rakyat, perniagaan anda perlu memenuhi syarat berikut:

  • Menepati definisi PMKS yang dikeluarkan oleh SME Corporation Malaysia
  • Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa atau pejabat daerah di Sabah dan Sarawak, atau badan berkanun bagi penyedia perkhidmatan profesional
  • Pegangan saham oleh Syarikat Tersenarai Awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (jika ada) tidak melebihi 20%
  • Rakyat Malaysia yang bermastautin di Malaysia memegang sekurang-kurangnya 51% pegangan saham dalam PMKS tersebut
  • Aktiviti perniagaan dan tujuan pembiayaan mematuhi Syariah
  • Ekuiti pemegang saham positif bagi Syarikat Sdn Bhd (pengecualian terpakai untuk pemilikan tunggal atau perkongsian)
  • Rekod CTOS dan CCRIS yang memuaskan

Syarat di atas merupakan keperluan minimum. Terma dan syarat tambahan mungkin terpakai berdasarkan penilaian Bank Rakyat.

Dokumen Yang Perlu Disediakan

Sediakan dokumen berikut sebelum memohon:

  • Dokumen yang disahkan, seperti Borang 24, Borang 49, dan Memorandum dan Tataurusan Persatuan atau Perlembagaan, jika berkaitan
  • Bagi Syarikat Sdn Bhd, penyata kewangan teraudit terkini atau akaun pengurusan terkini, mengikut mana yang berkaitan dan disahkan oleh setiausaha syarikat
  • Bagi pemilikan tunggal atau perkongsian, penyata kewangan terkini yang disahkan oleh pemilik
  • Salinan penyata bank enam bulan terkini
  • Sebarang dokumen tambahan yang diperlukan oleh Bank Rakyat

Tempoh Kelulusan Dan Cara Memohon

Bank Rakyat menyatakan proses kelulusan mengambil masa 14 hari bekerja dari tarikh dokumen lengkap dikemukakan sehingga Surat Tawaran dikeluarkan.

Anda boleh memohon secara dalam talian dengan melayari portal QR2E dan laman web rasmi Bank Rakyat. Anda juga boleh menghubungi atau mengunjungi mana-mana Pusat Perbankan Perniagaan (Business Banking Centre, BBC) Bank Rakyat yang berdekatan.

Adakah Pembiayaan Ini Sesuai Untuk Anda?

Bagi PMKS yang sedang terjejas dengan konflik di Asia Barat, manfaat dari segi kadar tidak melebihi 3.75% setahun, jaminan kerajaan dan tiada cagaran menjadikan ia tawaran yang berbaloi untuk dipertimbangkan oleh para usahawan. Ciri tanpa cagaran juga amat membantu perniagaan kecil yang biasanya sukar melepasi syarat aset.

Namun, pembiayaan ini tetap perlu dibayar semula kerana ia bukanlah bantuan percuma. Pastikan aliran tunai perniagaan anda mampu menampung ansuran bulanan sebelum memohon. Memandangkan peruntukan RM5 bilion ini dikongsi seluruh negara dan berkemungkinan boleh habis digunakan sebelum 31 Disember 2026, perniagaan yang benar-benar memerlukan bantuan sebaiknya perlu berbincang dengan Bank Rakyat dan menyediakan dokumen lebih awal.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.   

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen