Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) menawarkan penangguhan bayaran ansuran pembiayaan sehingga enam bulan kepada pelanggannya yang terjejas akibat kes kebakaran yang berlaku di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah.
Kebakaran tersebut memusnahkan kira-kira 1,000 buah rumah dan menjejaskan lebih 9,000 penduduk.
Produk Pembiayaan Yang Layak
Penangguhan ini meliputi produk-produk berikut:
- Pembiayaan Perumahan-i
- Pembiayaan Peribadi-i
- Pembiayaan Kenderaan-i
- Sewa Beli Kenderaan-i
- Pembiayaan Mikro-i
- Pajak Gadai-i
- Kad Kredit-i
Semua permohonan tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan oleh Bank Rakyat.
Syarat Kelayakan
Untuk layak memohon, dua syarat perlu dipenuhi:
- Akaun pembiayaan masih belum tamat tempoh atau matang.
- Pelanggan terjejas dan terkesan akibat insiden kebakaran tersebut.
Sediakan dokumen-dokumen berikut semasa memohon:
- Permohonan rasmi pelanggan.
- Dokumen pengenalan diri.
- Laporan polis atau dokumen pengesahan daripada pihak berkuasa.
Cara Memohon
Untuk pembiayaan umum, hubungi Bank Rakyat melalui mana-mana saluran berikut:
- E-mel ke telerakyat@bankrakyat.com.my (Subjek: PERMOHONAN PENANGGUHAN BAYARAN ANSURAN PEMBIAYAAN UNTUK MANGSA BENCANA KEBAKARAN DI KAMPUNG BAHAGIA, SANDAKAN)
- Kunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat (SB) yang berdekatan.
- Hubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di 1300 800 800.
Bagi pemegang Kad Kredit-i:
- E-mel ke kkredit@bankrakyat.com.my (subjek e-mel sama seperti di atas)
- Kunjungi Pusat Kad Bank Rakyat atau cawangan yang berdekatan.
- Hubungi Pusat Kad Bank Rakyat di 03-26936880.
Permohonan dibuka mulai 22 April 2026 hingga 30 Jun 2026. Kelulusan akan dimaklumkan dalam tempoh selewat-lewatnya 3 hari bekerja.
Bank Rakyat menyifatkan tawaran ini sebagai langkah proaktif untuk meringankan beban kewangan pelanggan semasa menghadapi situasi sukar.
Kerajaan Beri Bantuan Kewangan Untuk Meringankan Beban
Kerajaan turut bersimpati dengan musibah yang menimpa mangsa-mangsa dan telah tampil menghulurkan bantuan untuk meringankan beban dihadapi mereka.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir melawat lokasi kejadian mengumumkan bantuan wang tunai RM1,500 untuk setiap keluarga.
Bantuan ini akan disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Kementerian Pendidikan juga memberikan RM300 kepada 454 pelajar dari 12 sekolah di sekitar Sandakan yang turut terjejas. Wang ini khusus untuk membeli baju seragam, buku dan keperluan persekolahan lain.
Selain bantuan kewangan, pelajar-pelajar ini juga akan:
- Diberi kelonggaran sementara berkaitan pemakaian seragam
- Disediakan pengangkutan dari pusat pemindahan ke sekolah, jika perlu
- Diberi keutamaan untuk kembali ke sekolah secepat mungkin
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
