Kerajaan Tanggung RM8.28 Juta Subsidi Bahan Api Sejam, RM2,300 Setiap Saat

KONGSI

Sebagai rakyat Malaysia yang memiliki lesen kenderaan, anda layak untuk menikmati subsidi bahan api RON95 di bawah program BUDI95 yang memperuntukkan kuota sebanyak 200 liter minyak setiap bulan.

Di sebalik kemudahan itu, tahukah anda bahawa setiap jam kerajaan telah membelanjakan RM8.28 juta hanya untuk subsidi minyak. Nak tahu angka yang lebih mengejutkan? RM2,300 untuk setiap saat.

Itulah beban yang sedang ditanggung kerajaan Malaysia akibat krisis bekalan global yang tercetus susulan konflik geopolitik di Asia Barat.

Angka Yang Semakin Meningkat

Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein mendedahkan bahawa jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan pada Mac lalu sahaja sudah mencecah RM6 bilion dan ia meningkat kepada RM7 bilion pada April.

“Saya mengira tanggungan subsidi setiap saat ialah RM2,300. Setiap saat kita membelanjakan RM2,300 untuk subsidi bahan api,” kata Nurhisham kepada Berita Harian dalam temu bual di Putrajaya baru-baru ini.

Beliau mengakui bahawa tanggungan sebesar ini tidak mampu bertahan dan tidak dapat dikekalkan untuk jangka masa panjang.

Kenapa Cabaran Kali Ini Berbeza Daripada COVID-19?

Nurhisham menekankan bahawa krisis yang berlaku kini berbeza daripada apa yang berlaku semasa pandemik.

Semasa COVID-19 melanda, cabaran yang berlaku adalah permintaan yang lemah di mana orang ramai tidak membeli dan ekonomi bergerak perlahan. 

Namun apa yang berlaku pada kali ini pula adalah agak berbeza di mana bekalan yang agak terhad akibat konflik di Asia Barat dan ia telah mengganggu pengeluaran minyak global, sehingga harga minyak mentah dunia melangkaui AS$110 setong pada Mac lalu. Buat masa ini, bekalan ini tidak akan pulih dengan cepat.

Telaga Minyak Tidak Boleh Dibuka Balik Serta-Merta

Walaupun Selat Hormuz iaitu laluan perkapalan utama untuk minyak global dibuka semula, itu tidak bermakna bekalan akan kembali normal sekelip mata.

Mengapa? Banyak telaga minyak di Asia Barat telah ditutup, malah ada yang dimeterai dengan konkrit sebagai langkah keselamatan. Untuk mengaktifkan semula telaga-telaga ini, ia akan mengambil masa tiga hingga enam bulan, atau lebih lama bergantung kepada tahap kerosakan.

Sebagai perbandingan, pemulihan bekalan selepas COVID-19 mengambil masa sehingga 18 bulan. Sementara bekalan minyak global dijangka kekal terhad dalam tempoh yang panjang.

Apa Kesannya Kepada Harga Barang?

Berkongsi lanjut, Nurhisham menjelaskan bahawa kesan daripada perkara ini akan menyebabkan berlakunya inflasi.

Namun, kerajaan sedang berusaha meredakan kesannya dengan mengawal kos pengangkutan supaya harga barang asas tidak melambung terlalu tinggi.

Buat masa ini, bekalan bahan api dalam negara masih mencukupi sehingga Jun pada tahun, seperti yang dijamin oleh PETRONAS.

Kerajaan akan mengumumkan harga minyak pada setiap minggu dan jika anda ingin mengetahuinya, artikel kami tentang Harga Minyak Malaysia Terkini (RON95, RON97 & Diesel) boleh membantu anda.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen