BKS Selangor Kini Terbuka Kepada Isi Rumah RM8,000 Sebulan

KONGSI

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 21 September 2026, had pendapatan yang layak untuk Baucar Kita Selangor (BKS) telah dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM8,000 sebulan bagi mereka yang tinggal di Selangor dan mempunyai pendapatan isi rumah. 

BKS Sebahagian Daripada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor 

BKS dilaksanakan secara berfasa sebagai sebahagian daripada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor, untuk membantu rakyat yang terjejas akibat kos sara hidup yang naik dan ekonomi global yang tidak menentu.

Fasa awal BKS mengutamakan golongan paling memerlukan dahulu, iaitu mereka yang dikenal pasti melalui pradaftar seperti ibu tunggal dan ketua isi rumah miskin tegar.

Permohonan BKS Dibuka Secara Berperingkat

Permohonan BKS pada mulanya dibuka kepada isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah. Selepas fasa itu selesai, had dinaikkan sekali lagi kepada RM8,000 ke bawah. Anda perlu memohon melalui aplikasi SELangkah yang boleh dimuat turun melalui Google Play bagi pengguna Android atau App Store untuk iOS.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, pendekatan berfasa ini sengaja dibuat supaya golongan berpendapatan rendah mendapat bantuan terlebih dahulu sebelum akses diperluaskan kepada kumpulan berpendapatan lebih tinggi.

Syarat Kelayakan BKS Untuk Isi Rumah RM8,000 

Antara syarat utama untuk membuat permohonan BKS ialah pemohon perlu warganegara Malaysia dan pemilih berdaftar yang menetap di Selangor. 

Jika anda merupakan pasangan berkahwin atau ibu bapa tunggal, isi rumah anda perlu ada sekurang-kurangnya seorang anak berumur 18 tahun ke bawah, dengan pendapatan bulanan RM8,000 ke bawah.

Setiap isi rumah cuma layak untuk seorang penerima BKS sahaja. Kalau anda penerima aktif Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), anda tidak layak memohon BKS.

RM100 Sebulan Selama Enam Bulan Untuk Beli Barangan Keperluan

Penerima yang layak akan menerima RM100 sebulan selama enam bulan, menjadikan jumlah keseluruhan RM600 bagi setiap penerima. Bantuan ini dimasukkan terus ke dalam e-wallet SELangkah anda pada setiap bulan.

Sekiranya anda tidak menghabiskan RM100 dalam sesuatu bulan, baki itu dibawa ke bulan berikutnya. Anda perlu habiskan keseluruhan nilai BKS selewat-lewatnya pada 31 Disember 2026. Baki yang masih ada selepas tarikh itu akan luput.

Baucar ini cuma boleh digunakan untuk barangan keperluan asas yang diluluskan, di kedai panel yang mengambil bahagian sahaja. Untuk semak senarai penuh barangan yang boleh dibeli dan kedai panel yang menerima BKS, layari terus di baucarkitaselangor.com.

Pemohon Sedia Ada Turut Dinilai Semula

Menurut Anfaal, setiap perluasan syarat ini menambah kumpulan berkelayakan dan tidak menjejaskan kelayakan mereka yang layak pada fasa sebelumnya.

Jika permohonan anda masih dalam proses semakan, dalam kategori ditolak, atau anda sedang membuat rayuan, anda akan dinilai semula berdasarkan syarat kelayakan terbaharu ini.

Untuk semak kelayakan dan mohon, layari portal rasmi BKS di baucarkitaselangor.com.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen