JPN Sahkan MyKad Baharu Masih Bermasalah Untuk eKYC

KONGSI

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan sebahagian pemegang MyKad generasi baharu masih gagal melengkapkan proses eKYC. Setakat ini, JPN belum mengumumkan tarikh khusus bila isu ini akan selesai sepenuhnya.

Pengesahan ini menyusul laporan bahawa MyKad baharu ditolak oleh beberapa sistem eKYC, termasuk Touch ‘n Go eWallet, Ryt Bank, AEON Bank dan GXBank. Pendaftaran atas talian MyDigital ID turut gagal mengenali kad ini. JPN kini bekerjasama dengan agensi serta penyedia perkhidmatan eKYC berkenaan untuk selesaikan masalah ini.

Status Semasa Mengikut Perkhidmatan

PerkhidmatanStatus eKYC
Touch ‘n Go eWalletBelum dapat sahkan MyKad baharu
Ryt BankBelum dapat sahkan MyKad baharu
AEON BankBelum dapat sahkan MyKad baharu
GXBankBelum dapat sahkan MyKad baharu
MyDigital IDPendaftaran atas talian dijangka tersedia 1 Oktober 2026

Berdasarkan laporan terkini setakat 21 September 2026, isu ini belum disahkan pulih.

Sistem eKYC Sedang Dikemaskini, Kata JPN

JPN berkata penyedia perkhidmatan eKYC kini mengemas kini sistem masing-masing supaya dapat mengecam reka bentuk dan ciri MyKad baharu. Pihaknya telah berikan maklumat berkenaan kepada penyedia perkhidmatan dan sedang memantau proses kemaskini itu.

Beberapa sesi libat urus turut diadakan antara JPN dengan agensi dan penyedia perkhidmatan eKYC untuk percepatkan penyelesaian. Sekiranya eKYC anda gagal dengan MyKad baharu, JPN sarankan anda semak terus dengan bank atau penyedia perkhidmatan berkenaan untuk kaedah pengesahan alternatif.

MyKad Baharu Ada Reka Bentuk Berbeza Sepenuhnya 

MyKad generasi baharu dilancarkan seluruh negara pada 17 September 2026, dengan reka bentuk berbeza sepenuhnya dan 53 ciri keselamatan. Gambar pemegang kad kini di sebelah kiri (bukan kanan seperti dulu), manakala cip fizikal pula dipindahkan ke belakang kad. Kad ini turut ada kod QR baharu dan tiada lagi cip Touch ‘n Go terbenam.

JPN belum jelaskan sebab teknikal spesifik kenapa sistem eKYC sedia ada tidak dapat mengecam kad baharu ini. Jika anda pengguna baharu MyDigital ID dan sudah ada MyKad baharu, anda buat masa ini perlu mendaftar di kiosk fizikal, atau pilih pra-pendaftaran semasa mohon MyKad baharu di kaunter JPN.

Tiada Keperluan Segera Untuk Tukar MyKad Lama 

Kalau MyKad lama anda masih elok, anda tidak perlu terburu-buru menukarnya kerana ia masih sah digunakan. JPN turut mengesahkan peralihan ke struktur MyKad baharu tidak akan menjejaskan bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) atau Budi Madani RON95 (BUDI95). Senarai penerima kekal dan pemindahan data berlaku secara automatik. 

Kalau anda ada MyKad baharu dan sedang merancang membuka akaun Ryt Bank, AEON Bank atau GXBank, atau ingin mendaftar Touch ‘n Go eWallet dan MyDigital ID, sebaiknya anda tangguhkan dahulu sehingga penyedia perkhidmatan sahkan sistem mereka sudah boleh menerima MyKad baharu. Ini bagi mengelak anda berulang kali gagal semasa proses pengesahan.

Sekiranya urusan terbabit penting dan tidak boleh ditangguhkan, contohnya untuk membuka akaun menerima gaji, semak dahulu dengan pihak bank atau e-dompet berkenaan sekiranya ada kaedah pengesahan lain seperti di cawangan fizikal.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.  

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen