Proton Kini Miliki Syarikat Pembiayaan Tersendiri Tanpa Perlu Melalui Pihak Bank

KONGSI

Proton baru sahaja melancarkan syarikat pembiayaan sendiri, Proton Capital, pada 21 September 2026. Pelancaran ini memberikan anda satu lagi cara untuk memiliki kereta Proton tanpa perlu memohon terus di bank. Proton Capital akan bekerjasama rapat dengan rangkaian pengedar sah Proton, dari peringkat anda mohon sehingga kereta diserahkan kepada anda.

Sewa Beli Standard Dan Pakej Khusus Untuk S70

Buat masa ini, anda boleh memohon pembiayaan sewa beli konvensional untuk kereta Proton baharu melalui Proton Capital. Antara pilihan pakej yang ditawarkan untuk anda, ialah  kadar tetap standard, atau pakej khusus untuk Proton S70 di bawah program Teksi Madani.

Proton Capital turut menyatakan bahawa mereka akan memperkenalkan pembiayaan khusus untuk pelanggan e-hailing secara berperingkat. Jika anda mencari pilihan patuh Syariah pula, ia disasarkan hadir awal November 2026, tertakluk kepada ketersediaan produk dan terma yang berkenaan.

Beroperasi Sama Seperti BMW Credit Dan Mercedes-Benz Financial Services

Menurut laporan Paultan.org, cara Proton Capital berfungsi tidak jauh beza dengan BMW Credit dan Mercedes-Benz Financial Services. Kedua-dua jenama itu mempunyai pakej seperti EasyDrive, Agility dengan Guaranteed Future Value, pembiayaan ansuran rendah dengan bayaran besar di penghujung tempoh (balloon financing), atau pembiayaan ansuran yang meningkat secara berperingkat sepanjang tempoh pinjaman (step-up financing). 

Bagaimanapun, masih belum jelas jika Proton Capital akan menawarkan penyelesaian serupa untuk mengurangkan kos pemilikan kereta anda nanti.

CEO Proton Capital, Song Tao berkata, matlamat syarikat ialah menyediakan penyelesaian pembiayaan yang bertanggungjawab, dibina khusus untuk pelanggan dan kenderaan Proton. Pihaknya turut menyatakan mereka akan memulakan dengan produk sewa beli standard dan mengembangkan tawaran selaras dengan pemahaman mereka yang semakin baik terhadap keperluan pelbagai kumpulan pelanggan.

10 Kumpulan Pengedar Dan 12 Cawangan Terlibat Di Lembah Klang

Sempena pelancaran ini, 10 kumpulan pengedar sudah diberi kelulusan rasmi untuk menawarkan perkhidmatan Proton Capital. Fasa awal beroperasi di 12 cawangan di Lembah Klang sahaja, khusus untuk pelanggan individu yang ingin membeli Proton baharu. 

Anda boleh menghantar permohonan terus di mana-mana cawangan Proton berdaftar yang mengambil bahagian dalam program ini. Anda layak memohon sama ada sebagai pekerja bergaji, bekerja sendiri, atau ada sumber pendapatan lain yang boleh anda sahkan. Setiap permohonan anda akan dinilai satu-persatu berdasarkan pendapatan, komitmen kewangan sedia ada, rekod kredit, dan keupayaan anda membayar semula. 

Tiada Yuran Permohonan, Tapi Semak Caj Lain Dahulu

Anda tidak perlu membayar yuran untuk menghantar permohonan ke Proton Capital. Tetapi caj lain seperti duti setem, caj statutori, premium insurans atau takaful, caj pendaftaran, dan yuran lain yang berkenaan akan didedahkan dalam helaian pendedahan produk sebelum anda menandatangani perjanjian pembiayaan. Kelulusan anda tetap tertakluk kepada dasar kredit semasa syarikat, dokumen yang diperlukan, serta terma dan syarat berkaitan.

Untuk permohonan yang lengkap dan tidak rumit, Proton Capital menyasarkan untuk memberi keputusan awal dalam tempoh sehari bekerja. Kalau permohonan anda perlukan dokumen tambahan, pengesahan, atau penilaian kredit lanjut, tempoh ini boleh mengambil masa lebih lama.

Bagaimana Anda Membayar Ansuran Nanti

Selepas diluluskan, anda boleh membayar ansuran bulanan melalui perbankan dalam talian atau DuitNow ke akaun CIMB Bank khas yang ditetapkan untuk akaun pembiayaan anda. Pilihan debit terus turut disediakan. Proton turut menggalakkan anda melindungi kereta sepenuhnya melalui Proton Insurance Program, tertakluk kepada pendaftaran kenderaan anda berjaya.

Kalau anda perlukan maklumat lanjut sebelum membuat keputusan, anda boleh hubungi terus mana-mana outlet Proton berdaftar yang mengambil bahagian, atau hubungi Proton Capital Customer Care di talian 03-5888 1668 atau emel procap_cs@proton.com.

Butiran mengenai produk baharu seperti pembiayaan e-hailing dan pilihan patuh Syariah masih tertakluk kepada pengumuman lanjut daripada Proton Capital.

Bagi anda yang sedang merancang untuk membeli kereta, anda boleh rujuk artikel kami berkaitan kereta apa yang anda mampu beli berdasarkan gaji setiap bulan. 

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen