Industri Food and Beverage (F&B) di Malaysia sentiasa berdepan dengan masalah sama iaitu makanan yang tidak habis terjual pada penghujung hari terpaksa dibuang. Dari sudut lain pula, para pengguna pula sedang mencari cara untuk berjimat ketika membeli makanan. Melihat kepada dua perspektif ini, platform Value Food hadir untuk menghubungkan kedua-dua belah pihak.
Value Food menghubungkan pembeli dengan kafe, kedai roti, restoran, hotel dan kedai runcit yang mempunyai lebihan stok makanan. Pengguna boleh membeli apa yang dipanggil sebagai “Value Bag” iaitu beg berisi makanan lebihan dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga biasa.
Penjual, Pembeli dan Alam Sekitar Dapat Kebaikan
Value Food beroperasi atas konsep “tiga pemenang”. Peniaga boleh mengubah makanan lebihan kepada pendapatan semula. Pengguna pula mendapat makanan berkualiti pada harga diskaun antara 50% hingga 70%. Dengan cara ini, makanan yang terbuang dapat dikurangkan dan secara tidak langsung ia dapat menjaga alam sekitar dengan lebih baik.
Cara Menggunakan Aplikasi Value Food
Muat turun aplikasi Value Food di App Store atau Google Play. Selepas anda membuka aplikasi, anda boleh lihat senarai kedai berdekatan yang menawarkan Value Bag . Antara kedai makan yang tersenarai termasuklah Krispy Kreme, Kenny Rogers Roasters, dan Paris Baguette.
Kedai-kedai ini disusun dalam empat kategori:
- Makanan
- Barangan Runcit
- Roti dan Pastri
- Lain-lain
Aplikasi turut menunjukkan bilangan Value Bag yang masih ada, serta tempoh masa untuk mengambil makanan tersebut.
Pilih kedai yang anda mahu, buat tempahan, dan selesaikan bayaran secara atas talian dalam aplikasi. Selepas itu, anda boleh pergi ambil sendiri makanan yang telah dibeli dalam masa yang ditetapkan. Kalau anda tidak sempat pergi sendiri, anda boleh atur penghantaran menggunakan perkhidmatan e-hailing.
Anda Tak Boleh Pilih Apa Yang Ada Dalam Beg
Perlu diingatkan, kandungan setiap Value Bag bergantung sepenuhnya kepada apa yang berbaki di kedai berkenaan pada hari tersebut. Jadi anda tidak boleh pilih secara spesifik makanan yang diinginkan. Setiap beg disediakan dan dibungkus oleh peniaga sendiri, mengikut piawaian operasi dan keselamatan makanan mereka.
Sehingga kini, Value Food telah bekerjasama dengan lebih 300 peniaga dan terbuka untuk menambah lebih banyak rakan kongsi. Platform ini buat masa ini beroperasi di kawasan Lembah Klang dan sedang dalam perancangan untuk berkembang ke seluruh negara.
ReMeal Jadi Pilihan Lain Untuk Jimat Makan
Platform ReMeal turut menawarkan perkhidmatan yang sama iaitu untuk memastikan lebihan makanan yang masih berkualiti tidak dibuang dan orang ramai dapat menikmati makanan dengan harga yang lebih murah. Aplikasi ini pernah tampil dalam BFM 89.9 dalam episod “The Business of Food Waste: How Malaysia Can Turn Loss Into Value“ yang membincangkan potensi platform seperti ini dalam menangani masalah pembaziran makanan di Malaysia.
Selain diskaun harga yang ditentukan oleh peniaga, ReMeal turut menawarkan kupon dalam aplikasi sebagai penjimatan tambahan untuk pengguna. ReMeal boleh dimuat turun di App Store dan Google Play. Pengguna juga boleh menjana sehingga RM20 melalui program rujukan dengan mengajak rakan untuk mendaftar.
Bajet Makan Yang Dapat Dijimatkan Boleh Disimpan
Tidak dinafikan, kedua-dua aplikasi ini boleh mengurangkan kos makan anda. Penjimatan dalam sehari mungkin kelihatan kecil, tetapi jika kerap diamalkan ia berpotensi memberi penjimatan yang lebih banyak dalam sebulan.
Wang lebihan itu boleh digunakan untuk pelbagai tujuan yang lebih memberi manfaat jangka panjang, seperti:
- Masukkan ke dalam tabung kecemasan, yang disyorkan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan gaji
- Tambah caruman ASB atau akaun pelaburan lain
- Bayar lebih pada ansuran pinjaman untuk kurangkan tempoh hutang
- Guna untuk keperluan tetap lain seperti bil utiliti atau yuran anak
Berjimat pada perbelanjaan harian adalah salah satu cara paling mudah untuk mula mengawal kewangan peribadi, tanpa perlu ubah banyak perkara dalam rutin harian anda.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
