Pas Rapid Bulanan RM150 Kini Boleh Dibeli Terus di TNG eWallet

KONGSI

Rapid KL kini menawarkan Pas Rapid Bulanan kepada semua penumpang dengan harga RM150 yang boleh dibeli melalui aplikasi Touch ‘n Go (TNG) eWallet. Bagi bukan warganegara Malaysia yang tidak layak untuk membeli Pas My50, mereka boleh mendapatkan pas bulanan ini untuk lebih penjimatan.

Dengan pas ini, anda dapat menikmati perjalanan tanpa had selama 30 hari merentasi seluruh rangkaian Rapid KL. Ia meliputi LRT, MRT, Monorel, BRT Sunway, bas Rapid KL, dan bas perantara MRT (MRT feeder bus).

Pastikan Telefon Anda Miliki Ciri NFC

Anda perlukan telefon pintar yang mempunyai ciri Near Field Communication (NFC) dan versi terkini aplikasi TNG eWallet untuk menggunakan pas digital ini. Jika telefon anda tidak menyokong NFC, pas fizikal masih boleh dibeli di kaunter stesen Rapid KL.

Jika sebelum ini, penumpang perlu ke kaunter stesen untuk membeli atau memperbaharui pas bulanan. Kini segalanya di hujung jari sahaja, lebih mudah dan pantas.

Perbezaan Pas My50 dan Pas Rapid Bulanan

Perbezaan paling ketara antara Pas My50 dengan Pas Rapid Bulanan adalah pada harga, siapa yang layak memohon dan cara pembelian. Walau bagaimanapun, kedua-duanya masih menawarkan tempoh sah 30 hari yang sama dan boleh digunakan untuk rangkaian pengangkutan awam yang serupa.

Dari segi kos, Pas My50 jauh lebih jimat kerana harganya hanya RM50 sebulan tetapi pas ini khusus untuk warganegara Malaysia sahaja. Bagi bukan warganegara termasuk pelancong asing, mereka perlu mengambil Pas Rapid Bulanan yang berharga RM150 sebulan.

Cara membelinya juga berbeza. Untuk Pas My50, prosesnya agak ketat sedikit kerana pas ini perlu diaktifkan terus ke dalam MyKad atau kad Touch ‘n Go pintar yang sudah didaftarkan. Manakala untuk Pas Rapid Bulanan pula boleh dibeli secara digital menerusi TNG eWallet atau terus ke kaunter stesen.

Mana Yang Berbaloi Untuk Anda?

Jika anda warganegara Malaysia dengan MyKad berdaftar, Pas My50 jelas lebih menjimatkan sekiranya anda menggunakan Rapid KL sebagai pengangkutan utama untuk berulang-alik ke tempat kerja setiap lima atau enam hari dalam seminggu.

Sebagai contoh, jika anda berulang-alik ke tempat kerja menaiki LRT Laluan Kelana Jaya dari stesen Setiawangsa ke stesen Kerinchi dengan tambang RM3.30 (tanpa tunai). Tambang yang akan dikenakan dalam sehari RM6.60 atau RM33 seminggu untuk lima hari. Dalam sebulan anda membelanjakan sebanyak RM132, tetapi dengan menggunakan Pas My50 berharga RM50, anda boleh jimat sebanyak RM82.

Manakala Pas Rapid Bulanan pula sesuai untuk bukan warganegara Malaysia yang sering menggunakan Rapid KL untuk ke tempat kerja atau berjalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur untuk tempoh yang lama.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen