Pengusaha kenderaan jip dan trak pikap dalam sektor pengangkutan barangan darat kini layak menikmati subsidi diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), berkuat kuasa 1 Jun 2025.
Pengumuman ini dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, selepas keputusan dibuat dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu.
Untuk makluman, sebelum ini, kelayakan SKDS untuk jip dan pikap hanya terhad kepada kawasan Cameron Highlands sahaja.
Perkara Yang Berubah Mulai 1 Jun 2026
Tiga perubahan utama yang akan berkuat kuasa pada tarikh tersebut:
1. Kelayakan diperluaskan ke seluruh negara
Syarikat dalam sektor pengangkutan barangan darat yang memiliki jip dan pikap boleh mendaftar dibawah SKDS tanpa had kawasan.
2. Pemilikan individu boleh dipindah milik ke syarikat
Kenderaan yang sebelum ini didaftarkan atas nama individu juga layak mendapat manfaat subsidi, dengan syarat pemilikan dipindahkan kepada nama syarikat.
Pengusaha individu perlu mendaftarkan syarikat atau perniagaan mereka dengan:
- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)
- Pihak berkuasa berkaitan di Sabah atau Sarawak mengikut undang-undang negeri
Pemindahan pemilikan kenderaan pula perlu dilakukan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
3. Had kuota tetap disemak semula
Setiap fleet card akan diperuntukkan kuota tetap antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan, bergantung pada kategori kenderaan. Had ini meliputi 23 kategori kenderaan dalam sektor pengangkutan barangan darat.
Kadar kuota baharu ini ditentukan berdasarkan analisis corak penggunaan bahan api sepanjang dua tahun pelaksanaan SKDS.
Boleh Kemuka Rayuan Jika Perlu Lebih Daripada Had Kuota
Syarikat yang memerlukan penggunaan bahan api melebihi had yang ditetapkan pula boleh mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum, di bawah pengurusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Rayuan boleh dikemukakan melalui dua cara:
- Dalam talian: e-mel ke mysubsidi@kpdn.gov.my
- Fizikal: hadir ke pejabat kementerian yang berhampiran
Permohonan akan dinilai berdasarkan keperluan operasi sebenar dan rekod penggunaan bahan api bulanan dalam sistem SKDS.
Syarikat Dalam Sektor Pengangkutan Digalak untuk Daftar
Armizan turut menggalakkan syarikat dalam sektor pengangkutan awam darat, pengangkutan barangan darat, dan pengangkutan awam air yang belum mendaftar untuk berbuat demikian sekarang melalui SKDS atau Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Namun, beliau mengingatkan semua penerima subsidi supaya menggunakan kad armada secara bertanggungjawab. Sebarang penyalahgunaan boleh menyebabkan kad armada digantung serta-merta dan syarikat berkenaan disenaraihitamkan.
Statistik Terkini SKDS dan SKPS (Setakat 20 Mei)
Sehingga 20 Mei, sejumlah 179,716 syarikat melibatkan 432,495 kenderaan layak telah menerima manfaat subsidi petrol dan diesel, iaitu:
| Program | Bilangan Syarikat | Bilangan Kenderaan |
| SKPS | 19,189 | 38,817 |
| SKDS | 160,527 | 393,678 |
| Jumlah | 179,716 | 432,495 |
Anda juga boleh baca artikel harga minyak Malaysia terkini untuk mengetahui perkembangan semasa mengenai harga petrol dan diesel di negara ini.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
