KPDN Teliti Syor PAC, Pertimbang Langkah Perkukuh Kawalan Harga dan Subsidi Minyak Masak

KONGSI

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meneliti syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung kawalan harga dan pengurusan subsidi minyak masak, termasuk mempercepatkan pelaksanaan Sistem Skim Penstabilan Minyak Masak (eCOSS) bagi membolehkan subsidi bersasar dan menangani isu ketirisan.

Memetik laporan Bernama, Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pembangunan eCOSS yang bermula sejak 2023 kini berjalan dalam dua fasa utama iaitu penguatkuasaan penggunaannya secara berperingkat di sepanjang rantaian bekalan, serta perluasan menerusi aplikasi eCOSS yang dilaksanakan secara rintis sejak Mei 2025.

eCOSS Bantu Halang Manipulasi Rekod dan Penyelewengan Bekalan

Menurut Armizan, pelaksanaan penuh eCOSS merupakan sebahagian daripada strategi pengurusan risiko kementerian untuk mengekang ketirisan dengan mengelakkan manipulasi rekod manual dan penyelewengan bekalan.

Sistem ini juga bakal ditambah baik dengan MyKad versi baharu oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Ciri baharu itu membolehkan pengguna membuat pembelian menerusi imbasan kod QR untuk pengesahan identiti.

Armizan berkata, langkah ini akan membolehkan penjualan minyak masak dibuat secara bersasar sekali gus menghalang sepenuhnya pembelian oleh warga asing. Beliau turut menyatakan KPDN menyambut baik syor PAC berhubung kawalan harga dan subsidi minyak masak seperti yang dibentangkan dalam Penyata PAC di Dewan Rakyat pada 16 Julai.

Kuota Penapisan Bakal Dikaji Semula, Utamakan Syarikat Tempatan

Selain eCOSS, KPDN turut akan meneliti syor PAC untuk mengagihkan semula kuota penapisan minyak masak dengan mengutamakan syarikat tempatan yang berdaya saing, bagi mengekang dominasi syarikat milik asing dalam industri ini.

Armizan menjelaskan bahawa KPDN tidak pernah menetapkan kuota untuk kilang penapis sejak COSS mula dilaksanakan.  Pemilihan pembekal dan kilang penapis selama ini ditentukan sendiri oleh syarikat pembungkus semula berdasarkan faktor seperti kos logistik, syarat kredit, penetapan harga, keupayaan bekalan mampan, serta lokasi kilang penapis dan kemudahan pembungkusan semula.

Bagaimanapun, sebagai sebahagian daripada penambahbaikan COSS, KPDN kini melaksanakan langkah intervensi secara berfasa untuk menggalakkan syarikat pembungkus semula mendapatkan bekalan daripada kilang penapis milik tempatan. Ini termasuk keperluan penggantian kuota dan mekanisme padanan perniagaan antara penapis tempatan dengan syarikat pembungkus semula.

Larangan Jualan Peket 1kg Kepada Bukan Warganegara Turut Diperkenalkan

Antara langkah lain yang diperkenalkan untuk menambah baik skim ini termasuk larangan jualan peket 1 kilogram (kg) minyak masak kepada bukan warganegara, integrasi eCOSS dengan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), serta penyelarasan usaha penguatkuasaan.

Armizan berkata, KPDN komited untuk terus memperkukuh pengurusan COSS dengan mengambil kira laporan naziran dalaman, laporan audit oleh Jabatan Audit Negara pada Julai 2025 dan Laporan Penyata PAC.

“Ini termasuk ketegasan penguatkuasaan terhadap syarikat kilang penapis, syarikat pembungkus, pemborong, peruncit dan mana-mana pihak yang didapati bertindak bertentangan dengan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Rakyat Tempatan Layak Beli Maksimum Tiga Peket Sehari 

Bagi rujukan pengguna, harga siling minyak masak peket bersubsidi 1kg ketika ini kekal pada RM2.50, manakala setiap warganegara dibenarkan membeli maksimum tiga peket sehari melalui sistem eCOSS.

Menurut laporan RTM sebelum ini, Timbalan Menteri KPDN, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata larangan pembelian oleh warga asing telah berkuat kuasa sejak 1 Mac 2026, dengan 3.5 juta rakyat Malaysia telah memuat turun aplikasi mudah alih eCOSS setakat pertengahan Mac lalu bagi memudahkan proses pembelian dan pemantauan.

Bagi yang belum memiliki aplikasi eCOSS, anda boleh memuat naik menerusi Google Play bagi pengguna Android dan App Store untuk iOS.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.  

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen