Kewangan Islam Malaysia Semakin Kukuh, Peroleh 48% Pembiayaan Daripada Jumlah Keseluruhan

KONGSI

Pembiayaan Islamik di Malaysia kini mencapai 48% daripada jumlah keseluruhan pembiayaan negara. Penyertaan takaful pula mencecah 24.5%. Peratusan ini menggambarkan bagaimana sistem kewangan Islam semakin menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.

Dalam Laporan Tahunan 2025 yang diterbitkan, Bank Negara Malaysia (BNM) menggariskan tiga teras strategik yang memacu pertumbuhan ini sepanjang tahun lalu.

Apa Itu VBI dan Kenapa Ia Penting?

BNM meletakkan pengantaraan berasaskan nilai (value-based intermediation, VBI) sebagai tunjang utama sistem kewangan Islam Malaysia.

VBI ini berfungsi untuk memastikan institusi kewangan Islam (IKI) bukan sekadar mengejar keuntungan. Sebaliknya, perlu beroperasi atas nilai-nilai maqasid Syariah iaitu keadilan, pengagihan kekayaan yang saksama, dan tanggungjawab bersama.

Pada tahun 2024, IKI telah menyalurkan RM148.6 bilion ke dalam aktiviti yang selaras dengan VBI. Ini merangkumi pembiayaan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pembiayaan hijau, serta aktiviti kewangan sosial.

Tiga Inisiatif Baru Yang Perlu Anda Tahu

BNM melancarkan beberapa inisiatif baru di bawah teras pertama untuk menyokong inovasi yang memberi impak sebenar:

  • Penghjiauan perniagaan halal: Geran RM15 bilion untuk memperkasa PKS halal mengamalkan amalan mampan
  • Dana perkongsian risiko i-CITA: Pembiayaan RM100 juta bagi meningkatkan penggunaan instrumen perkongsian risiko dalam kalangan bank-bank Islam
  • iTEKAD Protection: Geran RM5 juta untuk meningkatkan daya tahan kewangan usahawan mikro

Ekosistem Syariah Yang Lebih Kukuh

Di bawah teras kedua, BNM mengambil pendekatan keseluruhan ekosistem (whole-of-ecosystem). Ini bermakna bukan hanya produk dan perkhidmatan yang diperkasa, malah, persekitaran kawal selia, pasaran kewangan Islam, serta kepastian Syariah turut dipertingkatkan secara serentak.

BNM turut meneruskan pelaburan dalam penyelidikan, pembangunan bakat, dan pemahaman awam tentang kewangan Islam bagi memastikan ekosistem Syariah kekal relevan pada masa hadapan.

Malaysia Kekal Sebagai Peneraju Global

Pada peringkat antarabangsa, BNM terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pemikiran global dalam kewangan Islam melalui teras ketiga. Fokusnya merangkumi pengukuhan hubungan perniagaan, promosi pengiktirafan Syariah bersama, dan pembinaan keupayaan global.

“Melalui usaha-usaha ini, Malaysia berhasrat untuk membina ekosistem kewangan Islam global yang lebih bersepadu dan progresif,” kata BNM.

BNM turut menegaskan komitmennya untuk terus memajukan ekosistem kewangan Islam negara agar pertumbuhannya membawa manfaat yang berkekalan bukan sahaja kepada sektor kewangan, tetapi kepada semua lapisan masyarakat.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments