Guna Buy Now, Pay Later (BNPL) untuk membeli barangan dapur dan runcit kini semakin biasa dalam kalangan rakyat Malaysia. Menurut seorang pakar ekonomi, trend ini boleh menjadi tanda tekanan kewangan buat sesetengah pengguna.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan dari Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak berkata, trend semasa menunjukkan BNPL semakin kerap digunakan untuk menampung jurang antara pertumbuhan pendapatan dan perbelanjaan isi rumah, berbanding sekadar membiayai perbelanjaan gaya hidup.
“Apabila kredit jangka pendek digunakan untuk membiayai barangan keperluan asas berbanding pembelian diskresi, ia menunjukkan sesetengah pengguna sedang bergelut dengan pendapatan boleh guna yang tidak mencukupi ketika menghadapi kos sara hidup yang meningkat,” katanya.
Kalau Anda Golongan Muda, Anda Antara Golongan Paling Terdedah
Menurut beliau, golongan muda dilihat lebih terdedah dalam menjadikan BNPL sebagai cara mengurus aliran tunai bulanan. Pendapatan tidak menentu, gaji lewat masuk, dan komitmen bulanan yang semakin banyak membuatkan ramai anak muda memilih untuk membuat bayaran ansuran walaupun untuk barangan kecil.
40% pengguna BNPL adalah berusia 30 tahun ke bawah. Ujar Idham, kumpulan ini masih di peringkat awal kerjaya dan mengumpul harta, dengan pendapatan yang biasanya lebih rendah, simpanan terhad, dan rekod kredit yang masih pendek, menjadi mereka lebih mudah terjejas apabila berlakunya kejutan kewangan.
Walaupun begitu, Idham turut akui BNPL boleh bantu lebih ramai orang mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan. Tetapi jika golongan muda terlalu bergantung kepadanya, ini boleh menjejaskan daya tahan kewangan mereka dalam jangka panjang sekiranya obligasi bayaran terus bertambah.
Bila Corak Guna BNPL Anda Jadi Tanda Amaran
Menurutnya lagi, tahap kebergantungan kepada BNPL untuk membeli barang keperluan asas boleh menjadi tanda amaran, lebih-lebih lagi apabila anda mula gagal membayarnya atau menggunakan beberapa akaun BNPL serentak sekadar untuk menampung perbelanjaan harian.
Beliau turut mengingatkan pihak berkuasa perlu melihat lebih jauh daripada jumlah keseluruhan hutang BNPL negara, termasuk profil pendapatan, keupayaan bayar balik, dan corak bayaran setiap pengguna.
Had Kadar Faedah Sahaja Belum Cukup Lindungi Anda
Idham turut berkata cadangan had kadar faedah BNPL yang sedang dibincangkan merupakan satu langkah baik tetapi perlu disertakan dengan langkah lain yang lebih menyeluruh seperti semakan kemampuan bayar sebelum kredit diluluskan, pelaporan wajib obligasi BNPL kepada agensi kredit, pendedahan yang jelas tentang yuran dan jadual bayaran, had bilangan akaun BNPL serentak, serta program literasi kewangan yang lebih kukuh.
Statistik BNPL Terkini Di Malaysia
Data Kementerian Kewangan menunjukkan bilangan pemegang akaun BNPL aktif meningkat kepada 8 juta pada suku pertama 2026. Baki tertunggak pula mencecah RM5.3 bilion, dengan RM181 juta atau 3.4% daripadanya merupakan bayaran lewat.
Pada pandangan kami, kalau anda mendapati diri anda kerap menggunakan BNPL untuk membeli barangan dapur setiap bulan, ambil masa untuk semak semula bajet anda. Senaraikan semua akaun BNPL yang anda ada sekarang supaya anda nampak jumlah komitmen sebenar, sebelum ia terkumpul jadi terlalu banyak untuk diuruskan.
Ikuti kami di saluran WhatsApp rasmi untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
