Kempen ‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’ oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) telahpun melabuhkan tirainya pada 28 Ogos 2026 sempena Hari Kebangsaan ke-69, selepas kempen sebulan itu berlangsung sepanjang Ogos menerusi Karnival BSN Mikro MADANI di Wisma BSN, Kuala Lumpur. Kempen ini menampilkan 69 usahawan mikro daripada pelbagai latar belakang di seluruh negara.
69 Usahawan Ini Mewakili Hampir 180,000 Usahawan Mikro BSN
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang turut hadir ke karnival tersebut berkata, kisah perjalanan usahawan mikro BSN ini adalah kejayaan yang wajar diraikan agar dapat terus menjadi inspirasi untuk usahawan lain. “Kejayaan mereka ini mewakili hampir 180,000 usahawan mikro BSN, yang membuktikan komitmen BSN untuk terus memperkukuh asas pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Program Literasi Kewangan Untuk Usahawan OKU dan Desa
Selain pameran produk, BSN turut memperkenalkan program literasi kewangan menerusi MyOKU Preneur untuk usahawan OKU, serta KEMAS, Khadijah Artisans dan USAHANITA untuk usahawan desa.
Hampir 5,000 Cup Sleeve Batik Dihasilkan Oleh Pelajar Sekolah Vokasional
Sebagai sebahagian daripada kempen ini, hampir 5,000 cup sleeve edisi khas diedarkan oleh usahawan yang terlibat kepada pelanggan mereka di seluruh negara. Reka bentuknya diinspirasikan daripada motif batik uniform teller BSN, dan dihasilkan dengan sentuhan kreatif pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam, iaitu Sekolah Angkat MADANI BSN 2025.
Menurut Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid, inisiatif ini bukan sahaja menghubungkan keusahawanan dan kreativiti, malah membuka ruang kepada para pelajar untuk berkongsi bakat serta hasil usaha mereka dengan masyarakat.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tips kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
