JustGO Kini Di Jambatan Pulau Pinang, Tak Perlu Pilih Lorong Tol

KONGSI

JustGO kini boleh digunakan untuk membayar tol di Jambatan Pulau Pinang. Anda perlu mendaftar akaun, kenderaan dan kad pembayaran dalam aplikasi JustGO terlebih dahulu. Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, pada 23 September 2026.

Guna Mana-Mana Lorong Tol di Jambatan Pulau Pinang

JustGO menggunakan teknologi pengecaman nombor plat automatik atau Automatic Number Plate Recognition (ANPR). Apabila anda melalui plaza tol, sistem ANPR akan mengesan nombor pendaftaran kenderaan anda. Caj tol kemudian ditolak secara automatik daripada kad pembayaran yang dipautkan pada akaun anda. Melalui ciri LaneFreedom, anda boleh menggunakan mana-mana lorong tol yang tersedia di Jambatan Pulau Pinang.

Menurut Zairil, dengan JustGO, pengguna berdaftar boleh memandu melalui plaza tol tanpa perlu memilih lorong berdasarkan kaedah pembayaran tertentu. “Teknologi ANPR dijangka dapat membantu memperbaiki aliran trafik di plaza tol, mengurangkan kebergantungan kepada kaedah pembayaran fizikal dan menyokong aspirasi Pulau Pinang untuk menjadi negeri pintar,” tambah beliau.

Di Plaza Tol Bandar Cassia, JustGO buat masa ini hanya tersedia di lorong RFID yang ditandakan dengan bulatan merah.

Pindahkan Diskaun Jimat Di Penang 20% Ke JustGO

Zairil berkata, penduduk Pulau Pinang yang mendaftar melalui JustGO akan menikmati diskaun 20% bagi tol Jambatan Pulau Pinang.

Terma dan syarat [PDF] di laman rasmi JustGO menjelaskan bahawa diskaun ini merujuk kepada diskaun sedia ada di bawah program Jimat di Penang (JPP) bagi kategori Penduduk, Pekerja dan Pelajar. Diskaun ini terhad kepada satu kenderaan dan satu kaedah pembayaran sahaja.

Jika diskaun JPP anda kini dipautkan pada Tag RFID atau kad bank, anda perlu menghantar borang persetujuan untuk menyahaktifkannya terlebih dahulu. Kelulusan mengambil masa sehingga 48 jam, dan selepas itu barulah anda boleh mendaftar diskaun tersebut dalam aplikasi JustGO. Tag RFID atau kad bank anda masih boleh digunakan, tetapi pada kadar tol biasa 

Untuk bantuan berkaitan pemindahan diskaun, hubungi JustGO melalui emel contact@justgo.com.my dengan tajuk “JPP20% ANPR ASSISTANCE”. Terma dan syarat turut menyatakan persetujuan yang dihantar selepas tempoh program mungkin tidak diproses, namun tempoh tersebut tidak dinyatakan.

Cara Daftar JustGO

Anda perlu memuat turun aplikasi JustGO melalui App Store untuk pengguna iOS, Google Play bagi Android atau Huawei AppGallery. Daftar akaun dan kenderaan anda, kemudian pautkan kad pembayaran pada akaun tersebut.

Syarat Kenderaan Dan Kad Sebelum Guna JustGO 

Soalan Lazim JustGO menyatakan bahawa pembayaran tol ANPR hanya tersedia untuk kenderaan Kelas 1, iaitu kereta penumpang seperti sedan, SUV, MPV dan pikap kecil. Semasa menambah kad pembayaran, anda akan melihat caj pengesahan sementara sebanyak RM4. Jumlah ini bukan caj sebenar dan akan dibatalkan selepas pengesahan, namun tempoh pelepasannya bergantung kepada bank anda.

Pastikan juga baki kad anda mencukupi sebelum memulakan perjalanan. Anda tidak boleh membuat bayaran tunai untuk keluar dari lebuh raya jika baki tidak mencukupi, dan bayaran tertunggak akan menyebabkan akaun ANPR anda digantung.

Jika anda menjual kenderaan, padam kenderaan tersebut daripada aplikasi dengan segera. Jika tidak, anda akan terus dicaj apabila pemilik baharu melalui plaza tol ANPR. Proses pemadaman juga mengambil masa pengesahan selama 24 jam.

Notifikasi Lewat Dan Cara Semak Caj Tol 

Anda mungkin hanya menerima notifikasi pembayaran sedikit selepas melalui plaza tol. Ini kerana transaksi ANPR kadangkala memerlukan pengesahan tambahan.

Rekod transaksi penuh, termasuk masa dan lokasi setiap perjalanan, boleh disemak dalam aplikasi. Gunakan rekod ini untuk memastikan caj tol pada kad anda tepat. Jika terdapat caj yang salah, hubungi JustGO melalui emel contact@justgo.com.my.

JustGO Diperkenalkan Di NSE Sejak Januari 2026 

Menurut PLUS, JustGO mula diperkenalkan di Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) melalui projek rintis awam di sembilan plaza tol antara Hutan Kampung dan Sungai Dua pada Januari 2026. Sistem ini kemudiannya diperluas ke Plaza Tol Jitra di NSE serta Plaza Tol Lunas dan Kubang Semang di Lebuhraya Butterworth-Kulim pada Jun 2026.

Pada 15 Julai 2026, PLUS mengaktifkan JustGO di enam lagi plaza tol di Wilayah Selatan. Ketika itu, PLUS turut merancang untuk melaksanakan JustGO di semua plaza tol kendaliannya bermula Ogos 2026.

Mahu lebih banyak perkongsian dan tip kewangan? Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen