Tabiat Harian Lebih Berkait Dengan Kewangan Sihat Berbanding Pendapatan

KONGSI

Kajian terbaharu Mastercard dan GXBank mendapati tabiat harian pengguna lebih berkait dengan kemajuan kewangan berbanding pendapatan atau latar belakang demografi. Tabiat yang dimaksudkan termasuk kerap menggunakan akaun sejak awal, menyimpan secara berdisiplin dan yakin dengan keselamatan data.

Kajian ini berdasarkan data lebih 39,000 pelanggan GXBank dan dikongsi dalam kertas putih Building financial health: the power of digital-first banking yang diumumkan pada 21 September 2026.

Ramai Ada Akaun Bank, Tapi Kurang Yang Menyimpan

Data Global Findex 2025 Bank Dunia yang dipetik dalam laporan itu menunjukkan 89% rakyat Malaysia memiliki akaun kewangan. Namun, hanya 52.5% menyimpan wang di bank atau institusi kewangan formal, manakala yang meminjam daripada institusi sedemikian hanya 15%.

Kaedah Kajian Dan Empat Peringkat Kewangan Pengguna

Kajian ini dijalankan oleh Kaiser Associates Research & Analysis dan ditauliahkan oleh Mastercard. GXBank merupakan rakan kongsi penerbit kad Mastercard. Penyelidik menganalisis data transaksi selama 12 bulan daripada pelanggan GXBank yang membuka akaun antara November 2023 dan Disember 2024, disokong oleh tiga sesi kumpulan fokus pada September 2025.

Pengguna dibahagikan kepada empat peringkat, bermula dengan Access (ada akaun tetapi masih banyak bergantung kepada tunai), diikuti Usage (penggunaan), Financial Security (keselamatan kewangan) dan Financial Health (kesihatan kewangan).

Aktiviti Perbankan Meningkat Dalam 60 Hari Pertama Selepas Buka Akaun

Kajian mendapati 60 hari pertama selepas membuka akaun boleh memberi kesan besar kepada pembentukan tabiat kewangan jangka panjang. Dalam tempoh ini, pelanggan aktif GXBank, iaitu mereka yang membuat purata sekurang-kurangnya satu transaksi sebulan, mencatatkan pertumbuhan berikut.

Jenis aktivitiPertumbuhan dalam 60 hari pertama
Transaksi kad debit250%
Pembayaran P2P (antara individu)139%
Pembayaran QR119%
Deposit44%

Sumber: Mastercard dan GXBank, September 2026

Kekerapan Deposit Pada Bulan Pertama Lebih Penting Daripada Jumlahnya

Menurut laporan itu, kekerapan deposit merupakan pendorong awal utama kepada tabiat perbankan rutin. Pada bulan pertama, pelanggan aktif membuat 51% lebih banyak transaksi deposit melalui Retail Payments Platform (RPP), sistem pembayaran masa nyata yang menyokong DuitNow, berbanding pelanggan yang kurang aktif. Aktiviti jangka panjang pula hampir tidak berkait dengan saiz deposit awal.

Peratusan Simpanan Bermatlamat Dikaitkan Dengan Kemajuan Kewangan

Savings Pockets GXBank ialah subakaun simpanan berasaskan matlamat. Pelanggan yang memperuntukkan 10% hingga 20% dana mereka ke Savings Pockets 22% lebih cenderung maju ke peringkat Usage dan seterusnya, manakala mereka yang memperuntukkan 15% atau lebih 31% kurang cenderung kembali ke peringkat Access.

Pengguna yang membuka Savings Pockets dalam tempoh 90 hari selepas mendapat kad debit juga 69% kurang cenderung jatuh semula dari peringkat Usage ke Access sepanjang tahun pertama mereka.

Ganjaran Dikaitkan Dengan Penggunaan Lebih Aktif, Tapi Nilainya Perlu Kekal

Pelanggan yang memautkan kaedah pembayaran kepada ekosistem Grab 25% lebih cenderung menjadi pelanggan aktif. Walau bagaimanapun, sebanyak 38% responden kajian menyatakan penurunan ganjaran, seperti pengurangan kadar faedah atau cashback, sebagai antara sebab mereka kurang aktif. 

Pengambilan Produk Serentak Lebih Stabil Selepas Tempoh Penyesuaian

Pengguna yang mengambil beberapa produk yang saling melengkapi dalam bulan kalendar yang sama empat kali lebih cenderung mencapai peringkat Financial Security. Namun, terlalu banyak produk dalam bulan pertama boleh membebankan pengguna. Hasil yang lebih stabil diperhatikan apabila beberapa produk diambil serentak selepas tempoh penyesuaian, contohnya selepas hari ke-45.

Kepercayaan Dan Keselamatan Antara Penunjuk Terkuat Kemajuan Kewangan

Pengguna aktif didapati mengambil Cyber Fraud Protect, iaitu insurans penipuan siber GXBank dengan kos serendah RM1 sebulan pada masa kajian dijalankan, tiga kali lebih cepat.

“Salah satu dapatan yang lebih ketara ialah betapa cepatnya tingkah laku kewangan harian boleh membentuk hala tuju kewangan jangka panjang pengguna,” kata Joyce Bo, Naib Presiden Eksekutif, Core Payments, Asia Pasifik, Mastercard.

Ketua Pegawai Eksekutif GXBank, Kaushik Chowdhury pula berkata bahawa sejak kajian dijalankan, GXBank telah memperkenalkan produk dan kerjasama baharu untuk menyokong pelanggan di setiap peringkat perjalanan kewangan mereka.

Tabiat Kewangan Yang Boleh Anda Pertimbangkan Di Mana-mana Bank

Kajian ini tertumpu kepada pelanggan GXBank, jadi dapatannya tidak semestinya terpakai untuk semua bank. Bagaimanapun, anda boleh mula menyimpan walaupun jumlahnya kecil dan membuat deposit secara berkala. Jika bank anda menawarkan akaun simpanan bermatlamat, gunakannya untuk mengasingkan sebahagian gaji setiap bulan.

Ambil masa untuk memahami setiap produk kewangan sebelum menambah yang lain. Kadar faedah dan ganjaran boleh berubah, jadi bandingkan juga yuran, kemudahan pembayaran dan ciri keselamatan akaun sebelum membuat pilihan.

Laporan ini merupakan kajian kes pemerhatian, dan dapatannya menunjukkan kaitan antara tabiat dan kemajuan kewangan. Jika anda memerlukan nasihat mengikut keadaan kewangan anda, pertimbangkan untuk berbincang dengan perancang kewangan berlesen.

Mahu lebih banyak perkongsian dan tip kewangan? Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen