Kad e-Ketibaan Kini Diwajibkan Untuk Rakyat Malaysia Sebelum Terbang Ke India

KONGSI

Merancang untuk makan angin ke India? Ada satu perkara penting yang perlu anda buat sebelum berlepas ke sana dan kalau terlupa, ia akan menyukarkan perjalanan anda.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telah mengeluarkan notis perjalanan rasmi yang mewajibkan semua rakyat Malaysia yang melancong ke India untuk memohon Kad e-Ketibaan (e-Arrival Card) terlebih dahulu.

Bila Perlu Mohon?

Permohonan mestilah dibuat sekurang-kurangnya 72 jam sebelum berlepas. Anda dinasihatkan agar mengisi borang lebih awal supaya ada ruang masa untuk selesaikan sebarang isu teknikal yang mungkin timbul.

Syarat mengisi kad e-Ketibaan ini terpakai kepada semua warganegara Malaysia tanpa pengecualian. Mereka yang memegang kad Overseas Citizen of India (OCI) juga diwajibkan.

Cara Mohon Kad e-Ketibaan

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi kerajaan India.

Setelah selesai mengisi semua maklumat yang diperlukan, anda perlu simpan salinan pengesahan e-Ketibaan sama ada dalam bentuk digital di telefon atau bercetak.

Perlu diingatkan, kad e-Ketibaan ini hanyalah dokumen tambahan yang diwajibkan dan tidak menggantikan visa atau dokumen perjalanan sah sedia ada.

Semak Peraturan Perjalanan Sebelum Bertolak

Pesuruhjaya Tinggi turut menggesa rakyat Malaysia agar sentiasa menyemak peraturan perjalanan terkini sebelum berlepas, serta merujuk terus kepada pihak berkuasa India untuk mendapatkan garis panduan terbaru kerana peraturan boleh berubah pada bila-bila masa.

Peringatan sekali lagi kepada anda semua agar mohon kad e-Ketibaan awal, simpan salinan setelah selesai mengisi semua maklumat dan semak semula syarat perjalanan sebelum ke lapangan terbang.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments