Kadar Sewa PPR Selangor Mungkin Dinaikkan, Ini Sebabnya

KONGSI

Kerajaan Negeri Selangor sedang mempertimbangkan kenaikan kadar sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) secara berperingkat.

Kenaikan ini bukanlah keputusan yang dibuat secara melulu. Tetapi ia dilakukan sebagai pelan untuk memperbaiki perumahan berkenaan dari segi penyelenggaraan serta keselesaan penduduk. 

Siapa Yang Bertanggungjawab Terhadap Pengurusan PPR?

Pengurusan PPR kini telah diambil alih oleh Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) melalui perjanjian antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Borhan Aman Shah, mengumumkan perkara ini selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pengambilalihan pengurusan PPR Lembah Subang 1, Petaling Jaya.

Sewa RM124 Akan Dinaikkan, Tetapi Belum Ada Harga Baharu Yang Ditetapkan

Kadar sewa semasa adalah RM124 sebulan. Jumlah kenaikan baru belum ditentukan kerana sesi libat urus bersama penduduk masih dalam proses.

“PPR yang menempatkan 3,000 penduduk ini memerlukan penyelenggaraan menyeluruh, termasuk mengecat semula bangunan, pembersihan tangki air dan pembaikan lif. Kami akan menaik taraf kemudahan sedia ada kerana setelah kami mengambil alih, sudah tentu kami akan memberikan perkhidmatan terbaik,” kata Borhan.

Kerajaan Negeri Dapat RM2.3 Juta Untuk Penyelenggaraan PPR

KPKT turut menyalurkan RM2.3 juta kepada kerajaan negeri untuk tempoh satu tahun bagi membantu kos pengurusan dan penyelenggaraan kawasan PPR berkenaan.

PHSSB yang sudah berpengalaman menguruskan program Smart Sewa akan memperkenalkan sistem lebih terstruktur termasuk kad akses dan kawalan tempat letak kereta.

Penyewa Yang Sewakan Semula Unit Dalam Pantauan

Kerajaan negeri juga sedang menyiasat kes penyewa PPR yang menyewakan semula unit mereka kepada pihak ketiga.

Mereka yang terlibat sudah dipanggil untuk pengesahan status. Tindakan lanjut akan diambil selepas siasatan selesai.

“Kami mendapati ramai daripada mereka menyewakan semula unit kepada orang lain, dan kami rasa ini tidak adil kepada penduduk lain,” katanya lagi.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen