Malaysia berada dalam kedudukan yang lebih kukuh berbanding beberapa ekonomi Asean lain ketika berhadapan dengan kesan konflik AS-Israel-Iran.
Walaupun tekanan ekonomi global dijangka semakin meningkat dalam beberapa bulan akan datang, Malaysia ada kelebihan tersendiri.
Malaysia Mempunyai Penampan Yang Tidak Dimiliki Oleh Thailand dan Filipina
Pakar ekonomi kanan MARC Ratings, Kamal Zharif Jauhari berkata, Malaysia tidak terlalu bergantung kepada import tenaga. Ia berbeza jika dibanding Thailand dan Filipina yang lebih terdedah kepada kejutan harga minyak global.
Sebagai negara pengeksport hidrokarbon, Malaysia masih mempunyai penampan untuk menyerap kejutan luaran. Walaupun konflik di Asia Barat terus mengganggu pasaran tenaga dan aliran perdagangan dunia.
“Thailand dan Filipina adalah pengimport tenaga bersih, dan situasi ini memberi lebih banyak tekanan kepada pertumbuhan ekonomi mereka apabila harga minyak naik.
“Malaysia berada dalam kedudukan yang lebih seimbang kerana kita masih mempunyai sektor minyak dan gas yang boleh menyokong ekonomi,” katanya semasa webinar edisi khas MARC360 semalam (18 Mac).
Suku Kedua 2025 Jadi Penanda Aras Penting
Menurutnya, kesan penuh konflik ini belum lagi kelihatan dalam data Malaysia. Suku kedua tahun ini dijangka menjadi ujian penting bagi prospek ekonomi domestik.
Ini kerana kejutan geopolitik biasanya mengambil masa sebelum memberi kesan kepada kos operasi, inflasi serta sentimen pengguna dan pelabur.
Jika prestasi suku kedua kekal selari dengan suku pertama, ada kemungkinan unjuran pertumbuhan Malaysia akan dinaikkan.
Unjuran Pertumbuhan 4.4% Masih Konservatif
Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 4.4% tahun ini. Namun, Kamal menyifatkan angka itu masih konservatif.
Sokongan kepada ekonomi domestik datang daripada beberapa sumber iaitu permintaan pengguna yang stabil, aktiviti pelaburan, serta sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang mendapat manfaat daripada peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pengembangan pusat data.
Perdagangan borong dan runcit, serta perbelanjaan kad kredit domestik juga masih berkembang pada kadar sekitar 5%, mencerminkan sentimen pengguna yang positif.
Harga Minyak Tinggi Boleh Memberi Keuntungan Kepada Malaysia
Konflik di Asia Barat turut membuka peluang bagi Malaysia sebagai pengeksport hidrokarbon. Dengan harga minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) yang lebih tinggi, eksport produk petroleum Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 23.5% pada Mac, selepas menguncup dalam dua bulan sebelumnya.
Namun, Kamal memberi amaran bahawa tekanan inflasi kemungkinan akan semakin ketara dalam beberapa bulan akan datang. Khususnya melalui kenaikan kos pengangkutan dan logistik susulan gangguan di Selat Hormuz.
“Inflasi pengangkutan meningkat 2.1% bulan ke bulan pada Mac, dan kesan penuh konflik ini hanya dijangka dapat dilihat dalam dua hingga tiga bulan akan datang,” katanya.
Ringgit Antara Mata Wang Berprestasi Baik Di Rantau Ini
Pakar Ekonomi MARC Ratings, Revina Sidhu pula berkata, pasaran kewangan Malaysia setakat ini kekal agak stabil walaupun ketidaktentuan global semakin meningkat. Pasaran masih memandang Malaysia sebagai antara ekonomi yang lebih berdaya tahan di rantau ini, terutamanya dari segi kestabilan pasaran bon dan dasar monetari.
Ringgit turut menunjukkan prestasi yang baik, dan merupakan antara mata wang terbaik di rantau ini dalam suku pertama 2026 walaupun ketegangan geopolitik berterusan memberi tekanan kepada perdagangan global, harga tenaga, dan aliran modal.
Bank Negara Malaysia (BNM) pula dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75% memandangkan inflasi masih terkawal.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
