Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan menaikkan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam masa terdekat sebagai usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Beliau berkata langkah ini diambil selepas kerajaan mengambil kira maklum balas dan rintihan rakyat, walaupun pelbagai bentuk bantuan sudah disalurkan sebelum ini.
Bantuan Sedia Ada Belum Selesaikan Masalah Rakyat Sepenuhnya
Menurut Anwar, walaupun kerajaan turut memberi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), SARA, serta bonus yang tinggi kepada penjawat awam di Negeri Sembilan di bawah Datuk Seri Aminuddin, masalah rakyat masih belum selesai sepenuhnya.
“Kerana itu, kita dengar rintihan rakyat dan insya-Allah dalam masa terdekat, kita akan naikkan lagi SARA untuk rakyat semua,” katanya.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian pada 22 Julai 2026 ketika berucap dalam Ceramah Jelajah Kekal Harapan di Senawang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada 1 Ogos akan datang.
Kenaikan STR dan SARA Bergantung Kepada Keadaan Ekonomi
Terdahulu, Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI akan terus memperhalusi kemungkinan meningkatkan jumlah bantuan untuk rakyat, termasuk STR dan SARA, jika keadaan ekonomi negara mengizinkan.
Beliau berkata, perkara ini turut dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican, dan akan dipertimbangkan dalam pembentangan Belanjawan 2027.
SARA Catat Kadar Penggunaan 99%
Pada 16 Julai lalu, Kementerian Kewangan (MOF) menerusi satu jawapan bertulis mendedahkan kadar penggunaan SARA mencatat 99% dalam kalangan hampir sembilan juta penerima bulanan di bawah STR dengan nilai transaksi perbelanjaan di pasaran tempatan mencecah RM3.45 bilion setakat tahun ini.
Bagi program SARA Untuk Semua pula, MOF melaporkan kira-kira 22 juta rakyat membuat perbelanjaan iaitu 87% daripada keseluruhan jumlah penerima, dengan nilai transaksi di pasaran tempatan melebihi RM1.77 bilion.
Semak Baki SARA Anda Dalam Portal Rasmi
Penerima SARA Bulanan 2026 [PDF] yang berstatus Miskin Tegar atau Miskin eKasih layak menerima RM200 sebulan (kategori isi rumah), RM150 sebulan (warga emas tiada pasangan), atau RM100 sebulan (bujang berusia 21 hingga 59 tahun).
Penerima STR selain dari dua kategori itu pula layak menerima kurang daripada kadar tersebut iaitu RM100, RM50, dan RM50 sebulan mengikut kategori yang sama seperti diatas.
Program SARA Untuk Semua pula memberikan RM100 secara sekali sahaja kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas, yang dikreditkan dalam MyKad masing-masing.
Baki SARA dalam MyKad boleh disemak melalui portal rasmi SARA, aplikasi SARA yang tersedia di Google Play dan App Store atau resit pembelian yang memaparkan baki semasa dan baki selepas transaksi.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
