Kerajaan Jelaskan Pay Day Now Adalah Secara Sukarela, Bukan Skim Wajib

KONGSI

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengesahkan Pay Day Now merupakan inisiatif dari sektor swasta yang dibangunkan oleh Ramssol Group bersama AmBank dan ianya bukan dasar, inisiatif atau program kerajaan. Kemudahan ini ditawarkan secara sukarela dan hanya melibatkan majikan yang memilih untuk menyertainya.

Dalam satu kenyataan yang dipetik daripada The Sun pada 21 Julai 2026, kementerian tersebut menegaskan Pay Day Now adalah tidak diwajibkan dan tidak melibatkan semua majikan atau pekerja di Malaysia. Penyertaan tertakluk kepada terma yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan serta syarat kelayakan pekerja.

Kehadiran Menteri KUSKOP Hanya Sekadar Jemputan

KUSKOP turut menjelaskan bahawa kehadiran menterinya, Steven Sim Chee Keong pada majlis pelancaran Pay Day Now adalah atas jemputan sahaja, bagi menyaksikan penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) antara Ramssol dan AmBank. Perkhidmatan ini dibangunkan sepenuhnya oleh Ramssol Group dengan kerjasama AmBank.

Bagi anda yang mahukan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan, kriteria kelayakan, syarat penyertaan atau ciri-ciri perkhidmatan dinasihatkan untuk terus menghubungi Ramssol Group atau AmBank.

Cara Pay Day Now Berfungsi

AmBank dan Ramssol Group melancarkan Pay Day Now pada 20 Julai 2026 iaitu sehari sebelum kenyataan KUSKOP dikeluarkan. Platform ini dibangunkan melalui RAMS Fintech Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh tidak langsung Ramssol, dan membolehkan majikan menawarkan kemudahan Akses Gaji Diperoleh (Earned Wage Access, EWA).

Pekerja yang layak boleh mengeluarkan sehingga 25% daripada gaji mereka setiap minggu, sebelum tiba hari gaji. Kemudahan ini terbuka kepada pelbagai saiz organisasi termasuk agensi sektor awam, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), syarikat korporat dan syarikat tersenarai awam.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Ramssol Group, Datuk Ts. Clement Tan menyifatkan Pay Day Now sebagai penyelesaian EWA pertama di Malaysia.

Tujuan Pay Day Now Diperkenalkan

Pay Day Now direka untuk membantu pekerja menguruskan keperluan aliran tunai jangka pendek serta mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman berfaedah tinggi. Majikan atau pekerja yang berminat menyertai kemudahan ini boleh menyemak syarat kelayakan terus dengan Ramssol Group atau AmBank.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen