Nestlé Products Sdn Bhd melancarkan semula Peraduan Nestlé Gaji Seumur Hidup untuk edisi ketiga, dengan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM4 juta. Kempen ikonik ini akan berlangsung dari 1 Ogos hingga 30 September 2026.
Hadiah Utama, Sehingga 50 Tahun Bayaran Bulanan
Hadiah utama peraduan ini ialah bayaran tunai bulanan RM3,500 sebulan sehingga maksimum 50 tahun, iaitu bersamaan dengan 600 bayaran bulanan, tertakluk kepada terma dan syarat. Bayaran ini akan berhenti sekiranya tempoh 50 tahun tamat, atau lebih awal jika pemenang meninggal dunia.
Hadiah Pertama, Saguhati dan Hadiah Lain
Dua pemenang Hadiah Pertama akan menerima cek sekali bayar sebanyak RM84,000, iaitu bersamaan gaji RM3,500 sebulan selama dua tahun. 18 pemenang Hadiah Saguhati pula menerima cek sekali bayar RM42,000, bersamaan setahun gaji pada kadar yang sama. Pemenang Hadiah Utama, Pertama dan Saguhati ditentukan melalui NESTLÉ Grand Final Challenge 2026.
Sebanyak 10,000 peserta lain berpeluang memenangi pin tambah nilai e-Dompet Touch ‘n Go bernilai RM100 menerusi cabutan bertuah mingguan sepanjang tempoh peraduan. Pemenang Ganjaran Istimewa ini dipilih secara rawak tetapi perlu jawab satu soalan dengan betul untuk mengesahkan kemenangan.
Selain hadiah ini, terdapat juga hadiah tambahan khusus untuk pembeli di cawangan terpilih seperti Lotus’s, 99 Speedmart, Mydin, Econsave, Bataras dan TF Value-Mart, dengan syarat belian berbeza mengikut outlet.
Syarat Kelayakan Peserta
Peraduan ini terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan mempunyai dokumen pengenalan sah serta alamat kediaman di Malaysia. Nestlé berhak meminta bukti dokumen pengenalan anda untuk pengesahan.
Cara Anda Boleh Sertai
Anda perlu membeli produk Nestlé yang layak bernilai sekurang-kurangnya RM20 dalam satu resit atau invois asal, bertarikh antara 21 Julai hingga 30 September 2026. Sebahagian jenama Nestlé seperti produk formula bayi, Starbucks dan Nespresso tidak layak disertakan dalam peraduan ini, jadi semak senarai penuh produk layak di laman rasmi sebelum membeli. Setiap resit layak untuk maksimum 15 nombor siri, jadi perbelanjaan melebihi RM300 dalam satu resit tidak menambah peluang anda untuk Hadiah Utama/Pertama/Saguhati lagi (had berbeza terpakai untuk hadiah outlet eksklusif).
Anda boleh menghantar penyertaan melalui laman rasmi Nestle Home of Good, atau melalui nombor WhatsApp rasmi peraduan di 018-3223320. Namun setiap resit hanya boleh digunakan untuk satu kaedah penyertaan sahaja, sama ada laman web atau WhatsApp, bukan kedua-duanya.
Peluang anda untuk memenangi peraduan ini bergantung kepada jumlah penyertaan sah yang diterima, jadi baca dahulu terma dan syarat penuh di laman rasmi Nestlé Malaysia sebelum menghantar penyertaan. Keputusan pemenang akan diumumkan di laman rasmi peraduan dalam tempoh enam hingga lapan minggu selepas peraduan bermula.
Kempen Ketiga Sejak 2020
Menurut laporan NST, kempen Gaji Seumur Hidup mula diperkenalkan pada 2020, ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19. Kempen ini kembali pada 2024 selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, dan kini masuk edisi ketiga. Sepanjang dua edisi lepas, Nestlé Malaysia telah mengagihkan lebih RM8 juta dalam bentuk hadiah wang tunai.
Nestlé Mahu Manfaat Sampai Kepada Lebih Ramai
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata kempen ini mencerminkan komitmen syarikat untuk mencipta nilai bersama dengan pengguna dan komuniti.
“Gaji Seumur Hidup mempunyai tempat istimewa di hati kami kerana ia mencerminkan harapan, aspirasi dan realiti kehidupan seharian rakyat Malaysia. Apa yang menjadikannya lebih bermakna ialah kesannya yang melangkaui pemenang, iaitu melalui sokongan kepada pertubuhan amal,” katanya semasa pelancaran kempen pada 22 Julai 2026 dipetik NST.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
