Akaun Bank Dah Lama Tidak Digunakan? Ini Yang Akan Berlaku

KONGSI

Pernah terjumpa kad ATM lama ketika mengemas dan tertanya-tanya sama ada akaun tersebut masih aktif atau tidak?

Ramai rakyat Malaysia mempunyai lebih daripada satu akaun bank yang mungkin telah dibuka ketika zaman sekolah, kolej, atau pekerjaan pertama. Jika akaun tersebut sudah lama tidak digunakan, penting untuk anda fahami status akaun tersebut selepas tempoh tertentu.

Berikut adalah perkara yang anda perlu tahu jika akaun bank dibiarkan tidak aktif untuk tempoh yang lama.

Bilakah Akaun Dianggap ‘Dorman’?

Dalam sistem perbankan, akaun akan dikategorikan sebagai akaun dorman (tidak aktif) apabila tiada sebarang transaksi dilakukan selama 12 bulan berturut-turut.

Transaksi yang diambil kira termasuk:

  • Pengeluaran wang
  • Deposit wang
  • Pemindahan dana

Nota: Transaksi automatik seperti kemasukan faedah atau caj perkhidmatan bank biasanya tidak dianggap sebagai aktiviti akaun.

Tempoh 12 bulan ini digunakan oleh kebanyakan institusi kewangan di Malaysia, walaupun kaedah pemberitahuan mungkin berbeza antara bank.

Sesetengah bank akan menghantar notis ke alamat pelanggan yang telah didaftarkan sebelum akses akaun disekat, manakala ada juga bank yang mungkin tidak memberi pemberitahuan awal kepada pelanggan.

Pada kebiasaanya, pemilik akaun hanya menyedari akaun mereka telah menjadi dorman secara tidak sengaja. Contohnya apabila kad ATM lama tiba-tiba tidak boleh digunakan, atau apabila mereka cuba log masuk ke perbankan dalam talian dan mendapati akses akaun telah disekat.

Apa Yang Akan Jadi Dengan Wang Dalam Akaun?

Wang dalam akaun anda tidak akan hilang begitu sahaja kerana peraturan perbankan di Malaysia melindungi baki dalam akaun dorman. Jadi, walaupun terdapat RM3,000 dalam akaun yang sudah enam tahun tidak disentuh, wang tersebut masih kekal sebagai milik anda.

Apabila akaun menjadi dorman, akses akaun akan disekat sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang akses tanpa kebenaran ketika akaun tersebut tidak dipantau. Anda tidak boleh membuat pengeluaran tunai, pemindahan wang, atau menggunakan kad ATM, serta akses kepada perbankan dalam talian juga akan dinyahaktifkan.

Bagi akaun simpanan, faedah biasanya masih akan terus terkumpul. Namun, dalam masa yang sama, bank juga mungkin mengenakan caj tertentu. Untuk akaun dengan baki melebihi RM10, kebanyakan bank di Malaysia mengenakan caj perkhidmatan tahunan sebanyak RM10 sepanjang tempoh akaun dorman. Ia akan ditolak daripada baki akaun pada setiap tahun.

Jika baki akaun adalah RM10 atau kurang apabila akaun tersebut menjadi dorman, bank biasanya akan menutup akaun tersebut dan menggunakan baki yang tinggal sebagai caj perkhidmatan.

Sekiranya akaun kekal dorman selama tujuh tahun, bank diwajibkan memindahkan baki yang tidak dituntut kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut di bawah Jabatan Akauntan Negara Malaysia, selaras dengan peruntukan Unclaimed Moneys Act 1965.

Walau bagaimanapun, wang tersebut tidak menjadi milik kerajaan. Ia disimpan sebagai amanah sehingga pemiliknya membuat tuntutan. Namun, proses untuk mendapatkannya semula tidak lagi melalui bank, sebaliknya ia perlu dibuat melalui tuntutan rasmi dengan pihak kerajaan.

Tiada had masa untuk membuat tuntutan wang tersebut daripada Pendaftar Wang Tak Dituntut. Oleh itu, anda tidak perlu bimbang sekiranya hanya menyedari kewujudan wang tersebut selepas bertahun-tahun.

Bagaimana Jenis Akaun Berbeza Mengendalikan Status Dorman

Akaun Simpanan dan Akaun Semasa

Jenis AkaunMenjadi Dorman SelepasDipindahkan kepada Pendaftar
Akaun Simpanan12 bulan tanpa sebarang transaksiSelepas 7 tahun dorman
Akaun Semasa12 bulan tanpa sebarang transaksiSelepas 7 tahun dorman

Deposit Tetap Dengan Pembaharuan Automatik

Bagi deposit tetap (fixed deposit) yang mempunyai pembaharuan automatik, akaun tersebut tidak dianggap dorman dengan cara yang sama seperti akaun simpanan atau akaun semasa.

Hal ini kerana, pembaharuan automatik tidak dianggap sebagai aktiviti yang dimulakan oleh pelanggan.

Bagi tujuan pengiraan tempoh tujuh tahun sebelum wang dipindahkan kepada Wang Tak Dituntut, tempoh tersebut biasanya bermula dari:

  • Tarikh deposit asal dibuat, atau
  • Tarikh terakhir anda memberikan arahan secara aktif kepada bank,

mengikut mana-mana yang lebih lewat.

Oleh itu, sesuatu deposit tetap masih boleh dikategorikan sebagai wang tak dituntut, walaupun pada rekod bank ia kelihatan seolah-olah masih “aktif” kerana pembaharuan automatik.

Cara Mengaktifkan Semula Akaun Dorman

Kebanyakan bank di Malaysia memerlukan pelanggan hadir sendiri ke cawangan bank untuk mengaktifkan semula akaun yang telah menjadi dorman. Anda perlu membawa kad pengenalan untuk tujuan pengesahan identiti.

Jika masih akaun masih wujud, membawa buku akaun (passbook) atau kad ATM lama boleh membantu mempercepatkan proses, walaupun dokumen tersebut biasanya tidak wajib untuk pengesahan.

Semasa proses pengaktifan semula, pihak bank akan:

  • Mengesahkan identiti anda
  • Mengemas kini maklumat perhubungan
  • Meminta pengesahan alamat semasa
  • Meminta tandatangan baharu, terutamanya jika akaun telah dorman selama beberapa tahun

Dalam kebanyakan kes, proses ini boleh diselesaikan pada hari yang sama. Berdasarkan polisi Bank Negara Malaysia berkaitan Basic Banking Services, bank tidak dibenarkan mengenakan caj untuk mengaktifkan semula akaun dorman.

Selepas akaun diaktifkan semula, anda mungkin perlu mendapatkan kad ATM baharu. Bergantung kepada bank, kad tersebut mungkin:

  • Dikeluarkan serta-merta di cawangan
  • Dihantar ke alamat anda melalui pos
  • Disediakan untuk diambil kemudian di cawangan

Sekiranya anda tidak pasti bank mana yang menyimpan akaun lama anda, anda boleh membuat semakan melalui portal eGUMIS dengan menggunakan nombor kad pengenalan.

Portal ini membolehkan anda menyemak sama ada terdapat Wang Tak Dituntut yang telah dipindahkan kepada kerajaan, termasuk baki akaun dorman serta dana lain seperti bayaran insurans yang tidak dituntut atau deposit keselamatan yang terlupa.

Kesan Terhadap Skor Kredit

Secara amnya, akaun deposit yang dorman tidak akan muncul dalam laporan kredit seperti Central Credit Reference Information System (CCRIS) atau CTOS.

Ini kerana biro kredit di Malaysia biasanya hanya menjejaki kemudahan kredit, seperti:

  • Pinjaman
  • Kad kredit
  • Kemudahan pembiayaan lain

Akaun simpanan atau akaun semasa biasa tidak direkodkan dalam laporan kredit.

Walau bagaimanapun, isu boleh timbul sekiranya akaun tersebut mempunyai kemudahan kredit yang berkaitan. Contohnya:

  • Akaun semasa dengan kemudahan overdraf
  • Akaun yang dipautkan kepada kad kredit

Dalam situasi ini, caj atau bayaran tertunggak yang tidak dijelaskan boleh menyebabkan rekod bayaran tertunggak atau baki negatif, yang akhirnya boleh menjejaskan laporan kredit.

Ringkasnya, status dorman itu sendiri tidak menjejaskan skor kredit. Sebaliknya, hanya sebarang kewajipan kewangan yang belum diselesaikan berkaitan akaun tersebut yang boleh memberi kesan kepada rekod kredit anda.

Cara Mengesan Akaun Lama Yang Anda Mungkin Terlupa

Jika anda tidak pasti bank mana yang menyimpan akaun lama anda, beberapa rekod lama boleh membantu. Contohnya, rekod pekerjaan terdahulu sering mendedahkan akaun yang pernah digunakan untuk menerima gaji.

Anda boleh menyemak dokumen seperti:

  • penyata cukai lama
  • rekod caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
  • dokumen atau surat berkaitan pekerjaan terdahulu

Dokumen ini mungkin mengandungi maklumat akaun bank yang pernah anda buka.

Akaun yang dibuka semasa promosi, contohnya untuk mendapatkan bonus tunai atau hadiah tertentu juga mudah dilupakan, terutamanya selepas berpindah rumah beberapa kali atau bertukar pekerjaan.

Jika anda masih ingat bank yang berkaitan, anda boleh mengunjungi cawangan bank tersebut dengan membawa kad pengenalan. Pihak bank biasanya boleh membuat semakan dalam sistem mereka menggunakan nama dan nombor kad pengenalan anda untuk mengenal pasti akaun yang berkaitan.

Walaupun bank dikehendaki berusaha mengambil inisiatif untuk menghubungi pemilik akaun sebelum memindahkan wang kepada kerajaan, notis tersebut sering tidak sampai kepada pelanggan kerana nombor telefon atau alamat yang sudah tidak dikemas kini.

Oleh itu, membuat semakan melalui pangkalan data dalam talian kadangkala boleh membantu anda menemui baki wang yang mungkin telah lama anda lupakan.

Untuk menuntut wang melalui Jabatan Akauntan Negara Malaysia, anda perlu menyediakan:

  • Borang UMA-7
  • Dokumen asal yang membuktikan pemilikan wang tersebut
  • Dokumen pengenalan diri

Tempoh pemprosesan tuntutan biasanya mengambil masa sekitar 30 hingga 90 hari, bergantung kepada kerumitan kes.

Perlukah Akaun Lama Dikekalkan atau Ditutup?

Selepas mengaktifkan semula akaun lama, pertimbangkan sama ada anda masih memerlukannya.

Mempunyai beberapa akaun bank boleh membantu dalam mengurus kewangan, contohnya untuk memisahkan simpanan bagi tujuan berbeza atau mengurus bajet isi rumah. Namun, akaun yang tidak digunakan hanya menambah kerumitan dan berisiko menjadi dorman semula.

Jika anda mengaktifkan semula akaun hanya untuk menutupnya, kebiasaannya kedua-dua proses ini boleh dilakukan dalam satu lawatan ke cawangan bank.

Bawa kad pengenalan anda dan sediakan nombor akaun lain sekiranya baki wang perlu dipindahkan. Pihak bank akan mengesahkan penutupan akaun tersebut, sekali gus mengelakkan sebarang isu dorman pada masa hadapan.

Jika anda sedang mempertimbangkan untuk membuka akaun baharu yang lebih sesuai dengan keperluan semasa, luangkan masa untuk membandingkan pilihan akaun simpanan dan akaun semasa yang menawarkan:

  • kadar faedah yang lebih baik
  • caj yang lebih rendah
  • ciri yang lebih sesuai dengan cara anda mengurus wang

Untuk mendapatkan lebih banyak tip kewangan dan kemas kini terkini, ikuti saluran rasmi WhatsApp kami.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments