Harga Bahan Api Jet Semakin Naik, Syarikat Penerbangan Mula Kaji Semula Tambang

KONGSI

Kenaikan mendadak harga bahan api jet akibat konflik di Asia Barat mula memberi tekanan kepada industri penerbangan global. Beberapa syarikat penerbangan kini terpaksa menilai semula tambang dan memperkenalkan caj tambahan bahan api bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat.

Batik Air Malaysia mengesahkan pihaknya telah mengeluarkan notis kepada rakan perdagangan perjalanan tentang pelarasan caj bahan api laluan domestik dan antarabangsa.

Batik Air Laraskan Caj Bahan Api Bermula 11 Mac 2026

Menurut notis bertarikh 9 Mac, pelarasan caj bahan api akan mula berkuat kuasa pada 11 Mac 2026. Bagi kebanyakan laluan penerbangan.

Bagi penerbangan melibatkan negara-negara seperti Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun, perubahan caj itu akan dilaksanakan mulai 25 Mac 2026.

Langkah ini dibuat susulan peningkatan kos bahan api jet di pasaran global yang memberi tekanan kepada kos operasi syarikat penerbangan.

Firefly dan Malaysia Airlines Turut Umum Pelarasan Caj Bahan Api

Selain Batik Air, Firefly juga akan melaksanakan pelarasan caj bahan api secara dua peringkat.

Firefly yang berada di bawah Malaysia Aviation Group (MAG), akan memulakan:

  • Fasa 1: 11 Mac (semua pasaran kecuali Filipina)
  • Fasa 2: 25 Mac (melibatkan Filipina)

Malaysia Airlines turut dilaporkan akan membuat pelarasan yang sama, walaupun syarikat itu belum mengesahkan perkara tersebut secara rasmi.

Harga Bahan Api Jet Kini Lebih RM393 Setong

Harga bahan api jet meningkat dengan ketara dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.

Sebelum konflik tercetus, harga bahan api jet berada sekitar AS$85 hingga AS$90 setong, namun kini telah melonjak melebihi AS$100 setong (kira-kira RM393 setong).

Lonjakan ini memberi kesan besar kepada industri penerbangan kerana bahan api biasanya menyumbang sekitar 20% hingga 30% daripada kos operasi syarikat penerbangan.

Tambang Penerbangan Berkemungkinan Akan Menjadi Semakin Mahal 

Menurut pakar industri penerbangan dari Universiti Kuala Lumpur, Mohd Harridon Mohamed Suffian, syarikat penerbangan mungkin terpaksa menaikkan harga tiket antara 5% hingga 10% jika harga minyak terus meningkat.

Beliau turut memberi amaran bahawa harga minyak boleh mencecah AS$150 setong sekiranya gangguan bekalan di Selat Hormuz berterusan.

Menurut International Air Transport Association (IATA), laluan strategik itu biasanya mengendalikan sekitar 20% bekalan minyak dunia, menjadikan sebarang gangguan memberi kesan besar kepada bekalan bahan api jet global.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments